Tauke Nasi Kandar Tutup Dine In
Oleh NOOR HASLIZA NUSI RESTORAN Nasi Kandar Deen Maju di Jalan Gurdwara, Georgetown, Pulau Pinang masih belum bersedia menawarkan semula perkhidmatan 'dine-in' biarpun berdepan kerugian akibat pandemik Covid-19. GEORGETOWN: Majoriti pengusaha makanan signature Pulau Mutiara seperti nasi kandar dan roti bakar di negeri ini masih belum bersedia membenarkan pelanggan makan atau dine-in di premis biarpun berdepan kerugian berganda berikutan pandemik Covid-19.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pusat bandar ini mendapati, kebanyakan restoran nasi kandar dan perniagaan warisan hanya menawarkan perkhidmatan bungkus kepada pelanggannya.
Di Restoran Nasi Kandar Deen Maju di Jalan Gurdwara, Pengurusnya, Tajudeen S. Jamaldeen mengambil inisiatif dengan meletakkan sepanduk bersaiz besar di pintu pagar utama mengenai larangan makan di lokasi berkenaan buat sementara waktu.
Akui Tajudeen, pihaknya belum bersedia memperkenalkan semula perkhidmatan dine-ini sehingga ke hari ini memandangkan para pekerjanya belum lengkap divaksinasi.
“Hanya dua daripada 18 pekerja sahaja yang sudah lengkap dua dos manakala yang lain masih menunggu giliran divaksinasi.
“Melihat keadaan ini, perkhidmatan ‘dine-in’ di restoran dijangka bermula pada November nanti sebaik sahaja semua pekerja menerima vaksin lengkap.
“Memang kami berdepan kerugian kira-kira 20 peratus disebabkan tidak membuka ruang ‘dine-in’, namun saya percaya ini merupakan langkah terbaik bagi menyekat penularan jangkitan wabak Covid-19,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Tajudeen memberitahu, pihaknya juga tidak akan terburu-buru membenarkan pelanggan makan di restoran berikutan kes harian penularan wabak tersebut di negeri ini masih melebihi 1,000 kes.
“Selain itu, bukan senang nak (hendak) kawal pelanggan pada suatu masa dan menyemak status vaksinasi seorang demi seorang. Kami juga perlu agihkan pekerja untuk berada di bahagian hadapan sebelum pelanggan masuk ke premis,” tambahnya.
Sementara itu, pemilik gerai Naina Roti Bakar di Jalan Transfer, Mohamed Idris Nagoor Gani memberitahu, dia mereka juga masih belum menyediakan perkhidmatan makan di gerai disebabkan majoriti pekerjanya belum lengkap dua dos.
“Saya termasuk enam pekerja kini hanya menunggu tarikh pengambilan dos kedua pada hujung Oktober nanti dan jika keadaan kembali stabil, kemungkinan aktiviti makan di kedai akan dibuka semula pada November ini.
“Sudah lebih setahun kami terkesan dengan pandemik sehingga saya berdepan kerugian lebih RM10,000 bagi menjelaskan gaji pekerja dan hutang rakan semata-mata mahu meneruskan perniagaan warisan ini yang dibuka sejak 25 tahun lalu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/tauke-nasi-kandar-tutup-dine-in.html