Taufan Melissa Badai Kepulauan Caribbean Ragut 50 Nyawa
Taufan Melissa Badai Kepulauan Caribbean, Ragut 50 Nyawa
Taufan Melissa yang berlaku di kepulauan Caribbean termasuk di Jamaica telah meragut 50 nyawa setakat Jumaat.
Memetik laporan AFP, taufan itu sedang bergerak pantas menjauhi kawasan Bermuda pada awal pagi Jumaat.
Menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC), ribut kuat itu telah memusnahkan beberapa pulau di Caribbean dan dijangka bertukar menjadi ‘taufan luar tropika’ pada lewat hari yang sama, sebelum menuju ke timur laut Amerika Syarikat dan timur Kanada.
“Selepas Melissa menjadi pasca-tropika, dijangka akan berlaku tempoh singkat hujan lebat dan angin kencang di Semenanjung Avalon Selatan, Newfoundland malam ini,” kata NHC dalam kenyataan terbaharunya.
Air banjir dijangka beransur surut di Bahamas, namun paras air tinggi masih berisiko di Cuba, Jamaica, Haiti dan Republik Dominican.
BACA: Taufan Kajiki Badai Vietnam, Ragut 3 Nyawa Setakat Ini
Taufan itu melanda Jamaica dan Cuba dengan kekuatan luar biasa, menyebabkan penduduk berdepan kerugian dan perlu melalui proses pemulihan.
Di Jamaica, Menteri Penerangan Dana Morris Dixon berkata, angka korban kini mencecah 19 orang, termasuk sembilan di daerah Westmoreland dan lapan di St. Elizabeth. Difahamkan, dua kawasan tersebut paling teruk terjejas di barat negara itu.

Kredit: AFP
Bekalan komunikasi dan pengangkutan masih lumpuh di Jamaica dan Cuba, dan penilaian penuh terhadap kerosakan dijangka mengambil masa beberapa hari.
Sementara itu, Agensi Pertahanan Awam Haiti memaklumkan pada Khamis bahawa jumlah kematian meningkat kepada 30 orang, dengan 20 cedera dan 20 lagi dilaporkan hilang.
Dalam masa yang sama, lebih 1,000 rumah telah dinaiki air dan sekitar 16,000 penduduk kini berlindung di pusat pemindahan.

Kredit: AFP
Amerika Syarikat (AS) telah menghantar pasukan bantuan bencana dan penyelamat bandar yang kini berada di Republik Dominican, Jamaica dan Bahamas, sementara pasukan tambahan sedang menuju ke Haiti.
Setiausaha Negara, Marco Rubio berkata AS juga bersedia menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat Cuba yang terjejas akibat taufan itu.
Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS, Taufan Melissa menyamai rekod tahun 1935 sebagai taufan paling kuat pernah melanda daratan, ketika ia membadai Jamaica pada Selasa.
https://x.com/iCyclone/status/1983746411142509004
https://x.com/JamaicaGleaner/status/1983242701425266924
Sumber: AFP
The post Taufan Melissa Badai Kepulauan Caribbean, Ragut 50 Nyawa appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/10/31/taufan-melissa-badai-kepulauan-caribbean-ragut-50-nyawa/