Tanda Tanya Dua Okt Sebagai Ketua Umat Umno Pas
A Kadir Jasin
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Najib dan Zahid ketuai umat Umno-PasPELANTIKAN bekas Perdana Menteri Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dan bekas timbalan beliau, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai dua orang terpenting dalam penyatuan umat Pas-Umno adalah “intrigue” politik yang sukar difahami.
Ia tidak masuk akal jika himpunan umat (ummah dalam bahasa Arab) yang dimasyhurkan Sabtu lalu adalah serius dan ikhlas.
Atau apakah ia sekadar “political posturing” untuk kepentingan orang tertentu dan dengan tujuan semasa yang bersifat sementara?
Ia mungkin hanyalah tindak balas “knee-jerk” bagi mengambil kesempatan daripada tanggapan bahawa sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin merosot dan dengan itu boleh diambil kesempatan.
Tetapi dengan melantik dua orang pemimpin Umno yang kini sedang menghadapi berpuluh-puluh tuduhan jenayah di mahkamah sebagai ketua gerakan itu, ia mencetuskan tanda tanya mengenai matlamat sebenar para penganjur himpunan penyatuan ummah (HPU).
Kalau ia adalah gerakan jangka panjang yang ada idealisme dan kewibawaan maka ia tentulah tidak memilih dua orang kena tuduh (OKT) bagi mengetuainya.
Apatah lagi mereka ini jugalah yang menjadi punca kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum 9 Mei 2018 lalu.
Atau adakah dalam pelantikan Mohd Najib dan Ahmad Zahid sebagai orang nombor satu dan nombor dua itu pun ada “intrigue”?
Kita tidak boleh menolak terus bahawa ini adalah mainan licik Pas untuk menguasai gerakan itu dalam jangka panjang.
Dengan melantik Mohd Najib dan Ahmad Zahid, Pas memberi muka kepada Umno dengan tujuan menarik sebanyak mungkin ahli dan simpatisan Umno untuk menyertai gerakan itu.
Kemudian jika ditakdirkan Mohd Najib dan Ahmad Zahid disabitkan kesalahan masing-masing maka bolehlah Pas mengambil alih gerakan itu.
Kita kena ingat, Pas bukan bodoh. Malah ia cukup peka hal politik dan bersikap oportunis. Dalam PRU lalu ia berjaya mengambil kesempatan daripada keterdesakan Umno untuk merampas balik Terengganu dan memenangi kerusi tambahan.
Pelantikan Mohd Najib dan Ahmad Zahid juga luar biasa kerana selama ini yang dilihat sebagai pelopor gerakan umat ini adalah Pas.
Malah jika dilihat daripada gambar-gambar yang keluar daripada Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu lalu, hadirin berkopiah putih nyata lebih banyak daripada yang bersongkok hitam.
Jadi bagaimana pula tiba-tiba dua orang pemimpin tertinggi gerakan umat itu adalah daripada kalangan songkok hitam?
Lantas timbullah persoalan apakah perhimpunan itu dipelopori oleh kopiah putih tetapi dibiayai oleh songkok hitam?
Hal ini menjadi lebih jelas apabila lokasi tidak berkecuali telah dijadikan tempat perhimpunan. Seperti kita semua tahu PWTC adalah simbol politik dan ekonomi Umno.
Pengajaran Sejarah
Timbul juga persoalan adakah secara diam-diam Mohd Najib meniru sebahagian daripada taktik bapanya, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, apabila Perikatan hampir kalah dalam Pilihan raya Umum 1969?
Ketika itu, atas nama Melayu dan perpaduan nasional, Abdul Razak berjaya memujuk Pas untuk menyertai kerajaan campuran dan seterusnya menubuhkan BN.
Situasi Mohd Najib lebih teruk daripada bapanya. Abdul Razak hampir kalah tetapi Mohd Najib kalah terus. Jadi tentulah dia lebih terdesak daripada bapanya kerana dia juga menghadapi perbicaraan jenayah.
Abdul Razak berpengaruh dan pintar. Tetapi Pas tidaklah bodoh umpama lembu dicucuk hidung.
Abdul Razak ikhlas mahukan perpaduan tetapi secara diam-diam Pas mengambil kesempatan.
Dengan menggunakan kedudukannya dalam Kabinet dan Exco kerajaan negeri, Pas secara agresif membuka ranting (cawangan) di tempat-tempat yang selama ini “off-limit” baginya seperti di rancangan-rancangan Felda.
Setelah menyedari bahaya perluasan pengaruh Pas itu, pada tahun 1977, Umno melakukan operasi belakang tabir di Kelantan dengan diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.
Akhirnya tumbanglah Kerajaan BN pimpinan Pas dan digantikan oleh pemerintahan darurat. Ia disusuli oleh tindakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn, menyingkir Pas dari BN pada akhir 1977.
Kita sudah pun tahu yang Pas mendapat anjakan besar dalam PRU lalu hasil “persefahaman” dengan Umno-BN sehingga membolehkannya menawan semula Terengganu.
Sejak itu Pas menjadi semakin kuat manakala Umno kian lemah apabila ramai wakil rakyatnya keluar parti untuk menjadi wakil Bebas atau menyertai Bersatu.
Setelah merasa kelazatan kemenangan maka adalah tidak mustahil Pas sekarang berasa cukup yakin untuk sekali lagi menikahi Umno setelah melakukan Cina buta dengan PKR dan DAP.
Apa pun, tidak ada pihak yang patut memandang ringan atau menolak bulat-bulat kemungkinan rujuk politik Umno-Pas ini akan menjadi kenyataan jangka panjang.
Wallahuaklam.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kadirjasin.blogspot.com/2019/09/tanda-tanya-dua-okt-sebagai-ketua-umat.html