Tambah Lagi Barangan Kawalan Kata Bekas Menteri
M Fakhrull Halim
Bekas menteri pertanian dan industri asas tani Salahuddin Ayub menggesa kerajaan menambah bilangan barangan kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), menjelangnya musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, hasil makluman dan lawatan yang dibuatnya di Pasar Chow Kit pagi tadi, hanya terdapat 10 barangan yang disenarai di bawah skim harga kawalan berkenaan.
Sedangkan, katanya, di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu, kerajaan mengawal sebanyak 22 hingga 30 jenis barangan setiap kali tibanya musim perayaan.
“Terbukti kita telah berjaya mengawal daripada 22 hingga 30 harga barang keperluan rakyat termasuklah ayam, daging, bawang, lada, telur dan sebagainya.
"[...] Saya rasa tindakan yang lebih proaktif perlu dilakukan. Menteri perlu turun padang, jangan segan untuk menyingsing seluar untuk melihat barang-barang keperluan ini.
"Ini baru 10 yang dikuatkuasakan pada hari ini. Saya rasa banyak lagi barang-barang keperluan yang sememangnya dapat dikawal …" katanya kepada pemberita, elepas melakukan lawatan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur pagi tadi.
Berdasarkan notis semakan harga yang diterima peniaga pasar, 10 jenis barangan yang dikawal harganya ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dam C, daging lembu tempatan, daging kerbau import (India), ikan kembung termasuk ikan mabung, serta ikan selayang.
Menurut peniaga yang ditemui, mereka baru menerima notis itu pagi tadi.
Sebelum ini, dilaporkan secara meluas tentang aduan pembeli berkenaan harga ayam yang melambung sehingga RM9.50 sekilogram setelah menjelangnya musim puasa lebih seminggu lalu.
Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi kelmarin memaklumkan kementeriannya (KPDNHEP) telah mengadakan libat urus dengan pemilik ladang ayam besar di negara ini, berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.
Hasilnya, harga ayam standard ditetapkan pada harga RM7.90 dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021, yang bermula hari ini sehingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020.
Menurutnya, SHMMP Hari Raya Puasa 2021 berlangsung 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan, sepatutnya melibatkan 12 jenis barangan membabitkan empat kategori iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.
Kata Salahuddin, kawalan harga pada zaman PH dilakukan dua minggu sebelum tarikh perayaan dan dua minggu selepasnya, merangkumi hari raya puasa, tahun baru Cina, Hari Gawai, Krismas, Deepavali dan lain-lain.
Mengulas mengenai SHMPP yang dilaksanakan hari ini, kata Salahuddin, ia boleh diperbaiki dengan mengadakan perbincangan lebih awal dengan pembekal-pembekal utama sebelum bermulanya puasa.
Hal itu, katanya, akan memberikan keputusan rundingan menang,-menang kepada pembekal dan peniaga agar margin keuntungan yang diraih peniaga tidaklah terlalu kecil.
"Mereka (peniaga ayam di Pasar Chow Kit) kata tadi kalau 30-40 sen (untung), nak beli plastik lagi, bayar kos sampah lagi. Macam dah tak ada untung," katanya.
Salahuddin memberikan usul agar KPDNHEP dan Mafi sepatutnya melakukan rundingan dengan pembekal, sebulan lebih awal daripada tarikh hari perayaan, serta mengumumkan jadual harga kepada peniaga sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kawalan harga dikuatkuasakan.
Peniaga yang ditemui di Pasar Chow Kit memaklumkan bahawa harga ayam standard di situ semalam adalah dalam sekitar lebih RM8.00 sekilogram.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/tambah-lagi-barangan-kawalan-kata-bekas.html