Tidak Perlu Permohonan Maaf Ini Kes Jenayah Kata Ahli Dewan Negara
Staff Writers Beliau turut mempersoalkan  mengapa polis 'memberikan layanan istimewa' dengan membenarkan majikan  itu mengadakan sidang media ketika sedang direman.

Kesan rotan di badan mangsa. Gambar: PDRM     Seorang ahli Dewan Negara  menyelar tindakan majikan yang didakwa memukul dua pengawal peribadinya  kerana berpuasa pada bulan Ramadan membuat permohonan maaf semalam.
Muhammad Zahid Md Arip berkata ini kerana kes ini sudah menjadi kes jenayah.
“Perlu apa minta maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong?  Apakah dengan penyataan maaf ini, maka kes jenayah kekerasan yang  dilakukan akan ditutup dan suspek berkenaan akan bebas dan lepas begitu  sahaja?” soal Zahid dalam satu kenyataan hari ini.
  Semalam  media melaporkan lelaki berusia 43 tahun itu memohon maaf ketika  diiringi dan diapit oleh dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis Dang  Wangi.
“Sekiranya apa yang saya katakan kepada pengawal peribadi saya  menyinggung perasaan sesiapa, saya rasa saya harus minta maaf kepada  semua umat Islam di negara ini, kepada Yang di-Pertuan Agong dan dua  bekas pengawal peribadi saya.
“Bagaimanapun saya tidak bermaksud menghina sesiapa dengan apa yang saya katakan,” katanya.
Zahid turut mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara Abdul Hamid  Bador yang dikatakan sebagai “memberikan layanan istimewa” dengan  membenarkan majikan itu mengadakan sidang media.
“Hamid tidak boleh membisu kerana ketika reman masih belum selesai  dan siasatan sedang berjalan, dua anggota polis ditugaskan khas untuk  mengiringi suspek bertemu pihak media, sedangkan apa yang sepatutnya  dibuat adalah melengkapkan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara  untuk tujuan pendakwaan.
“Justeru, saya menuntut Hamid sendiri perlu tampil memberi penjelasan  dalam isu ini bagi membuktikan kesungguhan beliau dalam memerangi  sebarang salah laku dalam pasukan polis,” katanya.
Lelaki yang sedang direman polis itu merupakan salah seorang daripada  empat individu yang direman oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
  Sebelum  ini, polis dilaporkan sebagai berkata penahanan itu berjaya membongkar  aktiviti judi dan sindiket ceti haram atau “Along” yang dijalankan  syarikat milik majikan terbabit.
Pihak polis turut merampas sepucuk pistol dan 10 butir peluru serta rotan yang digunakan untuk memukul kedua-dua mangsa.
Hasil penangkapan tersebut turut membawa kepada penemuan 100 kg  jongkong emas dan 12,500 wang kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan  rampasan dianggarkan berjumlah RM28.25 juta
Zahid berkata, apakah rampasan yang dilakukan polis itu akan kembali  dipulangkan dan pemilik syarikat itu akan dapat meneruskan aktiviti  seperti biasa.
“Jika itu mesej yang cuba disampaikan pihak polis, maka layanan  serupa juga perlu diberikan kepada Najib Razak, kerana sehingga kini  barangan rampasan milik bekas perdana menteri tersebut terkait siasatan  1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dikembalikan oleh polis.”
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/tidak-perlu-permohonan-maaf-ini-kes.html