Tambah Ilmu Untuk Berdakwah
Sesiapa sahaja perlu lebih berhati-hati dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Elok kita berkongsi satu kisah.
Kisah ini berkenaan dengan anak murid Imam Abu Hanifah yang amat cemerlang iaitu Imam Yaqub bin Ibrahim al-Ansari yang mashyur dengan panggilan Abu Yusuf.
Pada suatu hari, Imam Abu Yusuf merasakan ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Sudah sampai masanya beliau keluar berhadapan dengan masyarakat bagi menjawab persoalan-persoalan agama.
Beliau meninggalkan majlis ilmu Imam Abu Hanifah dan membuka majlis ilmunya sendiri. Dalam majlis ilmu itu, Imam Abu Yusuf mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan soalan kepadanya.
Mengetahui perkara ini, Imam Abu Hanifah berniat untuk menyedarkan muridnya itu. Beliau mengutuskan seseorang ke majlis Imam Abu Yusuf dengan beberapa soalan untuk mengujinya.
Orang itu bertanya kepada Imam Abu Yusuf: “Saya menyerahkan sepotong kain ini kepada seorang penjahit untuk dijadikan baju. Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada saya. Namun keesokannya, dia memberikan saya kain itu yang dijahit menjadi baju. Soalan saya, apakah ia berhak menerima upah?”
Abu Yusuf menjawab: “Dia berhak menerima upah.” Orang itu berkata: “Jawapanmu salah.” Abu Yusuf mengubah jawapannya: “Dia tidak berhak menerima upah.” Orang itu kembali berkata: “Jawapanmu salah.”
Abu Yusuf menjadi sangat keliru. Orang yang dilatih oleh Imam Abu Hanifah ini lalu berkata: “Jawapan yang benar adalah, jika baju itu dijahit sebelum dia menolak untuk menerima kain, maka dia berhak menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah dia menolak untuk menerima kain, maka dia tidak berhak.”
Orang ini terus mengajukan beberapa soalan lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab, dia menyatakan bahawa jawapan itu salah lalu mengemukakan jawapan yang tepat.
Perbincangan tersebut berjaya menyedarkan Abu Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang ulama, malah masih banyak yang perlu belajar lagi daripada gurunya.
Akhirnya, beliau memutuskan untuk kembali ke majlis ilmu Imam Abu Hanifah untuk melanjutkan pengajiannya.
Imam Abu Yusuf menyedari kekurangannya lalu Imam Abu Hanifah menegurnya: “Kamu telah menjadi kismis sebelum menjadi anggur.”
Semoga kisah yang ringkas dengan makna mendalam ini, dapat difahami oleh kita semua agar tidak tergesa-gesa untuk menyampaikan ilmu dalam keadaan tidak betul-betul bersedia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/09/fdh.html