Tak Perlu Tilik Permainan Pas Dan Umno
Mohsin Abdullah -December 8, 2021
Apa agaknya pendirian Ismail Sabri Yaakob mengenai Muafakat Nasional? Waktu dahulu kita tahu, masa MN ditubuhkan. Tetapi tidak selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri. Ertinya sejak jadi PM beliau agak sepi mengenai MN, khususnya pergolakan partinya dengan PAS berhubung soal Bersatu. Tidak ada komen – apa lagi kenyataan terbuka.
Ada yang percaya beliau tersepit (atau terperangkap untuk guna perkataan lebih lembut) antara Umno dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin. Tidak perlulah kita diperingatkan jawatan Perdana Menteri yang dipegang Muhyiddin diambil Ismail. Kita pun masih ingat mengapa Muhyiddin letak jawatan dan angkara siapa memaksa perletakan jawatan itu dilakukan.
Ramai pemerhati dan penganalisis politik sependapat apabila PAS memeluk Bersatu dan menggunakan lambang Perikatan Nasional dan melawan Umno-BN pada PRN Melaka bulan lalu ia merumitkan Ismail. Apa tidaknya kerana PAS dan Bersatu bersama parti Ismail mendirikan kerajaan persekutuan pimpinannya. Kata pemerhati dan penganalisis politik itu antara contoh keadaan serba salah Ismail. Tentu ada lagi contoh.
Oleh kerana saya bukan ahli nujum dan tidak punya gelok jampi Pak Belalang, saya tidak tahu apa yang Ismail fikirkan akan apa yang berlaku antara Umno, PAS, dan MN keseluruhannya.
Benar Ismail “hanya seorang Naib Presiden Umno lantas ‘memberi laluan’ kepada Presiden dan Timbalan Presiden partinya untuk ulas, komen, dan cakap mengenai MN. Akan tetapi beliau adalah Perdana Menteri dan kata-kata beliau penting dan membawa kesan. Lagi pun dua Naib Presiden Umno yang lain Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid kerap menyuarakan pendapat, pandangan, dan pendirian masing-masing mengenai masalah MN. Terutama Khaled yang lantang mengkritik PAS dan Bersatu.
Sebelum ini kedengaran pendapat bahawa Ismail ‘ditugaskan’ Umno menjaga negara manakala parti dijaga Presiden dan juga Najib Razak bekas Presiden.
Hakikatnya Ismail memilih untuk memendam rasa dan seperti dikatakan tadi mengizinkan bos-bosnya dalam Umno bersuara mengenai isu yang diperkatakan ini. Sama ada ada beliau merestui apa yang dikatakan Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan berhubung isu MN, saya ulangi – saya bukan ahli nujum.
Apa pun, bagi saya, hantaran Facebook terbaharu Zahid paling keras setakat ini. Presiden Umno itu merujuk kenyataan Presiden PAS yang mempersoalkan keikhlasan Umno menjayakan MN.
Abdul Hadi Awang membayangkan Umno sudah ‘lari’ daripada piagam MN apabila “mahu PAS dan mereka (Umno) sahaja dalam MN” dengan menolak Bersatu yang merupakan sekutu PAS dalam PN.
Respon Zahid: “Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah”.
Cukup keras bukan? Sebelum ini musuh PAS kerap menuduh parti itu “menunggang dan memperdagangkan agama” untuk keuntungan politik. Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pernah menuduh PAS macam “pelacur politik”.
Bagaimanapun apabila Zahid menggunakan istilah “memperdagangkan agama” ia sesuatu yang menyentakkan. Ini kerana beliau dilihat satu-satunya pemimpin Umno yang boleh menyatukan Umno dengan PAS. Malah MN dikatakan ilham beliau. Oleh itu ramai pemerhati yang beranggapan jika Zahid sendiri menyelar Hadi keadaan sememangnya amat buruk.
Seperti yang dijangka perang mulut Umno-PAS mencetus reaksi Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari. Beliau saya sifatkan hulubalang terbaharu Presiden PAS kerana kerap tampil mempertahankan Hadi dan melakukan serang balas.
Kali ini Fadhli berkata Umno tidak patut menggunakan keanggotaan Bersatu dalam Pakatan Harapan pada masa lalu sebagai alasan menolak parti itu menyertai MN. “Jika luka kerana Bersatu menjadi sebahagian daripada PH itu sangat besar untuk dilupakan kenapakah Umno sanggup menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin Muhyiddin dahulu?”
Ada logiknya apa yang beliau persoalkan itu. Jelas, beliau merujuk peranan Umno dalam dan selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020. Langkah Sheraton ialah rampasan kuasa cara politik. Lalu, sebagai orang politik, Fadhli pasti tahu dalam bidang yang diceburinya itu tidak ada kawan mahupun lawan yang kekal. Yang kekal hanya kepentingan. Sama ketika PAS berbaik dan bermesra dengan DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat suatu masa dahulu.
Dalam konteks MN, pemimpin Umno yakin PAS faham akan sensitiviti soal hubungan Umno-Bersatu sama seperti Umno faham sensitiviti hubungan PAS–Amanah. Asal Bersatu ialah Umno dan parti itu ditubuhkan untuk “menghapuskan” Umno manakala asal Amanah adalah PAS dan ia ditubuh untuk menentang PAS.
Oleh itu, kata Timbalan Presiden Umno walaupun partinya turut berpendirian Amanah, PKR, serta Pejuang juga sebahagian ummah yang berkepentingan, Umno tidak pernah mempelawa parti-parti itu menyertai MN kerana “tidak mahu menyakiti hati PAS”. Maksudnya Umno menjaga sensitiviti PAS. Itu menurut Tok Mat.
Menarik kerana kini semua parti itu disebut dalam pertelingkahan Umno-PAS. Parti pimpinan Hadi pula turut menyenaraikan Putra yang ditubuhkan oleh orang lama, Ibrahim Ali. Kata Fadhli, PAS tidak bermasalah menerima Putra bersama parti-parti yang disebut Tok Mat masuk MN dengan syarat tertentu.
Saya tidak bercadang menggariskan syarat yang PAS tetapkan. Hanya ingin menjelaskan saya kata ini “perkembangan menarik” kerana nama parti-parti itu tidak pernah timbul sebelum ini.
Pun begitu (ini juga menarik) Ketua Pemuda PAS mengingatkan bahawa Umno dan PAS telah bersepakat untuk mengundang Bersatu ke dalam MN sebelum ini.
Imbas kembali laporan media 21 Ogos 2020 yang menyebut Zahid dan Hadi telah tandatangani surat mengundang Bersatu sertai MN. Ini berikutan keputusan yang dicapai pada mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno dan PAS.
Bagaimanapun pada Perhimpunan Agung Umno 2020 yang diadakan pada Mac tahun ini, perwakilan sebulat suara memutuskan Umno tidak akan membentuk sebarang kerjasama politik dengan Bersatu. Kata Timbalan Presiden Umno, partinya terikat dengan pendirian itu – “jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baharu dalam MN”.
Kesimpulannya, apa yang kita tonton sekarang adalah permainan politik Umno dan PAS dan juga sedikit sebanyak Bersatu yang mengkagumkan dan memualkan pada masa yang sama. Tidak perlu tilik dengan gelok jampi Pak Belalang untuk tengok itu semua.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/12/tak-perlu-tilik-permainan-pas-dan-umno.html