Tadabbur Ayat 1 Surah Al Fatihah Kelebihan Bismillah Dalam Kehidupan Seharian
Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Tiada yang setanding dengan kebesaran-Nya, dan tiada yang dapat menandingi rahmat-Nya. Hanya dengan izin-Nya kita dapat bernafas, berbicara, dan memahami kalam-Nya. Ya Allah, Engkau Maha Mulia dan Maha Agung, segala pujian selayaknya hanya bagi-Mu. Semoga Engkau merahmati setiap langkah kami dalam memahami ayat-ayat-Mu. Aamiin. 🤲
Hari ini, saya ingin mengajak anda semua untuk bertadabbur bersama-sama. Kita akan melihat dan menghayati Tadabbur Ayat 1 Surah Al-Fatihah, iaitu ayat yang sering kita baca dalam setiap solat, tetapi sejauh mana kita benar-benar memahami maksudnya?
Insya Allah, kita akan mulakan tadabbur setiap ayat di dalam Al-Quran dengan sebaik mungkin. Bimbang juga nak berjanji 1 hari 1 ayat, tetapi insya Allah, setiap ayat yang bakal saya tadabbur dan tazakkurkan adalah mengikut susunan Surah di dalam Al-Quran. Kita akan belajar bersama-sama menggunakan cara tadabbur yang telah dipelajari semasa pengajian TOTIQ batch 3 ya. Adakah kita mampu bertadabbur dalam kesemua level tersebut? Mari kita cuba bersama-sama.
Untuk ulang kaji boleh rujuk entri ini: Tadabbur dan Tazakkur Al-Quran Cara TOTIQ
Baca tadabbur Surah Al-Fatihah di sini: Tadabbur Surah Al-Fatihah
Dengan merujuk keperluan level-level tadabbur, kita akan dalami pemahaman kepada setiap ayat ini.
Bismillah, mari kita mulakan Tadabbur ayat 1, Surah Al-Fatihah.
Tadabbur Ayat 1 Surah Al-FatihahAyat pertama dalam Surah Al-Fatihah ialah بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ. Ini bukan sekadar bacaan biasa, tetapi ia membawa keberkatan dan rahmat dalam setiap aspek kehidupan kita. Tadabbur Ayat 1 Surah Al-Fatihah membuka pemahaman kita tentang pentingnya memulai setiap perkara dengan nama Allah.
Tadabbur Mengikut Level TOTIQL1 - Memahami Ayat Secara LangsungAyat ini bermula dengan Bismillah – sebuah ungkapan yang menandakan permulaan dengan keberkatan dan izin Allah. Dua sifat utama Allah disebut:
🔹 Ar-Rahman – Maha Pemurah, kasih-Nya luas untuk semua makhluk di dunia ini.
🔹 Ar-Rahim – Maha Penyayang, kasih-Nya khusus untuk orang beriman di akhirat.
L2 - Kaitan Sebelum dan Selepas AyatSurah ini dinamakan Al-Fatihah kerana ia merupakan pembukaan kepada kitab suci Al-Quran. Setelah saya menyebut Bismillah, saya akan membaca الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam). Ini mengingatkan saya bahawa saya bukan sekadar meminta bantuan daripada Allah, tetapi juga memuji-Nya terlebih dahulu sebelum mengajukan permintaan dalam ayat-ayat seterusnya.
L3 - Kaitan dengan Nama SurahSurah ini dinamakan Al-Fatihah, yang bermaksud pembukaan. Seperti pintu yang dibuka dengan kunci, kehidupan juga perlu dimulakan dengan menyebut nama Allah agar diberkati.
L4 - Tema Surah dan Kaitannya dengan AyatMenurut buku Sinopsis 114, Tuan Fazrul Ismail, tema utama Al-Fatihah ialah membuka kejayaan. Setiap permulaan yang saya lakukan dalam hidup – pekerjaan, perjalanan, hubungan – akan lebih bermakna jika dimulakan dengan Bismillah, kerana itu adalah kunci keberkatan dan kejayaan sebenar.
L5 - Sinopsis Awal dan Akhir SurahSurah ini bermula dengan pujian kepada Allah (ayat 1-3) dan berakhir dengan doa memohon hidayah dan perlindungan daripada kesesatan (ayat 6-7). Ini mengajar saya bahawa setiap langkah hidup saya perlu bermula dengan mengingati Allah dan diakhiri dengan harapan agar diberi petunjuk ke jalan yang lurus.
L6 - Perkataan yang Sama dalam Ayat/Surah Lain🔹 Bismillah disebut dalam Surah An-Naml ayat 30:
"Sesungguhnya (surat ini) dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi kandungannya): Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang."
Nabi Sulaiman memulakan surat kepada Ratu Balqis dengan Bismillah, menunjukkan kepentingan menyebut nama Allah sebelum sesuatu perkara penting dilakukan.
🔹 Ar-Rahman dan Ar-Rahim disebut dalam Surah Ar-Rahman ayat 1-3:
"Ar-Rahman. Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia menciptakan manusia."
Ini mengingatkan saya bahawa kasih sayang Allah sangat luas, hingga Dia sendiri yang mengajarkan saya yakni Al-Quran satu-satunya sebagai panduan hidup.
Tahukah pembaca sekalian?
Kalimah Bismillah disebut sebanyak 114 kali dalam Al-Quran. Ia muncul di awal setiap surah kecuali Surah At-Taubah, tetapi terdapat tambahan dalam Surah An-Naml ayat 30:
"Sesungguhnya surat itu daripada Sulaiman dan sesungguhnya (isi kandungannya): 'Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'" (An-Naml: 30)
Jadi, walaupun Surah At-Taubah tidak bermula dengan Bismillah, jumlah keseluruhannya tetap 114 kali kerana tambahan dalam Surah An-Naml.
Ar-Rahman diulang sebanyak 56 kali, manakala Ar-Rahim disebut sebanyak 116 kali, dan kedua-dua kalimah ini mempunyai root word yang sama iaitu ر ح م yang diulang sebanyak 313 kali di dalam ayat Al-Quran.
Rujukan: Al-Quran (Tafsir & by Word)
L7 - Konsep dalam Ayat/Surah LainKonsep rahmat Allah sangat luas dan disebut dalam Surah Az-Zumar ayat 53:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang."
Ayat ini memberi saya harapan bahawa walaupun saya banyak melakukan dosa, pintu taubat dan kasih sayang Allah sentiasa terbuka khusus buat hamba-Nya yang ingin bertaubat.
L8 - Tadabbur Bersama HadithRasulullah ﷺ bersabda:
"Setiap perkara penting yang tidak dimulakan dengan ‘Bismillah’ akan terputus (kurang keberkatan)." (HR Abu Dawud)
Hadis ini mengingatkan saya untuk menjadikan Bismillah sebagai amalan harian dalam setiap urusan hidup.
Tazakkur Sebagai Hamba Allah: Menyandarkan Diri Sepenuhnya Kepada-NyaSedarkah sahabat? Kita semua sering merancang banyak perkara dalam hidup, tetapi akhirnya hanya dengan izin Allah semuanya dapat terjadi. Setiap kali kita menyebut kalimah Bismillah, seharusnya ia mengingatkan diri kita semua bahawa kita ini hanyalah seorang hamba yang bergantung sepenuhnya kepada Ar-Rahman Ar-Rahim
Peringatan buat diri sendiri:🔹 Jangan mulakan sesuatu tanpa menyebut nama Allah
🔹 Berserah kepada Allah bukan bererti menyerah, tetapi meletakkan kepercayaan kepada-Nya
🔹 Yakin bahawa kasih sayang dan rahmat Allah mendahului segala ketentuan-Nya
Tazakkur Sebagai Ibu: Mendidik Anak dengan Keberkatan Nama AllahSebagai seorang ibu, saya adalah madrasah pertama bagi anak-anak. Mereka belajar dari setiap perkataan dan tindakan saya
Bismillah dalam kehidupan seorang ibu:🔹 Sebelum menyusukan bayi – agar anak membesar dengan kasih sayang dan keberkatan
🔹 Sebelum memasak – agar makanan yang diberikan bukan sekadar mengenyangkan tetapi juga menjadi sumber kebaikan
🔹 Sebelum memarahi anak – agar kata-kata yang keluar mendidik, bukan melukai
Sebagai ibu, perasan tak kita juga sering berasa letih dan kehabisan tenaga. Tetapi ayat ini mengingatkan saya dan kita semua para ibu bahawa Allah adalah sumber kasih sayang yang tidak terbatas. Oleh itu, jika kita merasa tidak mampu memberi lebih banyak, maka kita harus kembali kepada Allah dan meminta kekuatan daripada-Nya. Saya juga percaya bahawa dengan menyebut nama Allah, ia akan membawa kebaikan dan ketenangan dalam hati saya dan anak-anak
Peringatan buat ibu-ibu:🔹 Biasakan mendidik anak-anak memulakan sesuatu dengan Bismillah
🔹 Ketika lelah, ingatlah bahawa rahmat Allah lebih luas daripada segalanya
🔹 Setiap cabaran membesarkan anak adalah peluang untuk lebih dekat dengan Allah
Doa Yang Boleh Di Amalkan"Ya Allah, dengan nama-Mu yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, berkatilah segala usaha saya sebagai hamba-Mu. Limpahkan rahmat-Mu dalam setiap langkah yang saya ambil sebagai ibu, agar anak-anak saya membesar dalam naungan kasih-Mu. Kurniakan saya kekuatan untuk mendidik mereka dengan cinta dan kesabaran. Amin."
KesimpulanSurah Al-Fatihah bukan sahaja pembuka Al-Quran, tetapi juga pembuka kepada segala kejayaan dalam hidup. Bismillah bukan sekadar lafaz, tetapi sebuah kunci keberkatan yang boleh mengubah kehidupan kita. Semoga dengan Tadabbur Ayat 1 Surah Al-Fatihah, kita dapat memahami dan mengamalkan Kelebihan Bismillah dalam Kehidupan dengan lebih mendalam
Jadi, marilah kita sama-sama membiasakan diri untuk memulakan segala urusan dengan Bismillah. Semoga setiap langkah kita diberkati Allah SWT. Aamiin. 🤲 Emme Marina, suri rumah sepenuh masa (WAHM), memiliki M.Sc. dalam Kimia Industri. Penulis dan usahawan yang aktif, mengikuti pelbagai kursus penulisan dan bisnes. Menghasilkan beberapa buah e-book, seperti "Panduan Bisnes di Shopee." Pengalaman 12 tahun berniaga secara online. Kini aktif sebagai blogger, peniaga jam azan, al Quran digital, emas orodesign serta perunding harta perwarisan Islam. Ingin dapatkan khidmat servis dan produk jualan, bolehlah hubungi saya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.emmemarina.com/2025/02/tadabbur-ayat-1-surah-al-fatihah-kelebihan-bismillah.html