Tabung Haji Bukannya Bank Asyraf
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak wajar diletakkan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia bukannya bank yang menjalankan aktiviti menawarkan pinjaman mahupun insurans atau takaful kepada orang ramai.
Malah, ia juga tidak terdedah kepada risiko kredit iaitu risiko yang terkait dengan keberangkalian peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman yang menjadi fokus BNM
TH bukannnya bank yang jaminan ke atas wang-wang pendeposit hanya dijamin sebanyak RM250,000 oleh Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PIDM), sebaliknya di bawah Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang pendeposit dijamin oleh kerajaan tanpa had dan bukannya bank yang mana kadar hibah bank-bank dikawalselia oleh BNM supaya tidak terlalu jauh nilainya agar wujud padang yang sama rata, bagi mengelakkan pendeposit mudah berpindah dari satu bank ke bank lain.
Sebaliknya, tegas Datuk Asyraf Wajdi Dasuki, TH bebas menawarkan hibah berasaskan keuntungan selepas tolak zakat selagi mana tidak melanggar akta dan dipersetujui oleh lembaga pengarah dan diluluskan Ketua Audit Negara.
Jelasnya, aktiviti utama TH adalah menguruskan hal ehwal operasi haji, selain menguruskan dana-dana pendeposit untuk dilaburkan sama ada dalam bentuk jual-beli saham/sekuriti, terlibat dalam aktivisi perkongsian dan perusahaan, ataupun dibenarkan menubuhkan anak syarikat untuk terlibat dalam pelbagai bentuk perniagaan seperti perladangan, hartanah, perhotelan, minyak dan gas serta lain-lain.
TH bukan bank yang hanya fokus aktiviti memberi pinjaman, sebaliknya terlibat dalam banyak bentuk perniagaan selaras dengan mandat Akta Tabung Haji yang jelas di luar skop kawalselia dan kepakaran BNM.
Lagipun, BNM sebagaimana peranan Bank Pusat di seluruh dunia tidak mempunyai kepakaran mengawal selia aktiviti perniagaan selain pinjaman/insurans yang terdedah kepada pelbagai risiko lain selain risiko kredit, seperti perladangan, hartanah, perhotelan, minyak dan gas dan lain-lain.
Sebaliknya, TH adalah insitusi seperti syarikat pengurusan dana yang lebih sesuai dikawalselia oleh Suruhanjaya Sekuriti berbanding BNM.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO itu memberi beberapa cadangan sekiranya aspek tadbir urus TH menjadi asas pertimbangan untuk dikawal selia BNM.
Yang pertama, Sektor Pengurusan Dana yang bertanggungjawab menguruskan wang simpanan bakal haji dan ditadbir secara profesional oleh pihak pengurusan dana yang bertauliah dan berlesen mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Manakala Sektor Operasi Pengurusan Haji yang bertanggungjawab sepenuhnya perihal pengendalian kebajikan dan urusan jemaah haji daripada aspek sebelum menunaikan haji (kursus, dokumentasi) sehinggalah pengurusan manasik haji sepanjang berada di Tanah Suci yang menjadi kelebihan dan kepakaran utama TH sejak awal penubuhan.
Kedua, pembahagian dua sektor ini bagi memastikan mereka yang mengurus dana dan membelanjakan dana adalah daripada dua entiti yang berbeza, sekali gus dapat meningkatkan lagi tahap keberkesanan dan kecekapan tadbir urus korporat TH.
Cadangan ketiga, Lembaga TH adalah badan induk yang mengawal kedua-dua sektor ini dengan lembaga pengarah dan pengurusannya masing-masing dan tidak boleh berlaku pertindihan personaliti mahupun tanggungjawab bagi memastikan wujud kemandirian antara dua sektor yang terlibat dengan pengurusan dana dan penggunaan dana dalam bentuk operasi haji.
Keempat, pemilihan ahli Lembaga TH dan lembaga pengarah kedua-dua sektor di atas boleh dilakukan oleh sebuah Jawatankuasa Parlimen yang bertindak memilih calon-calon yang benar-benar berkelayakan, profesional dan mempunyai kepakaran khusus yang diperlukan mengikut keperluan aktiviti perniagaan yang TH terlibat.
Terakhir, pemilihan ahli Lembaga TH dan lembaga pengarah kedua-dua sektor di atas mesti bebas daripada mereka yang berjawatan dalam mana-mana parti politik.
Katanya, amalan ini boleh diambil manfaat daripada Garis Panduan Tadbir Urus Institusi Kewangan oleh BNM yang mensyaratkan antara kriteria Ahli Lembaga Pengarah Bank tidak boleh menjawat jawatan parti politik.
”Seharusnya apa jua tindakan untuk memperkemaskan dan menambah baik aspek tadbir urus TH mestilah bersandarkan kefahaman holistik mengenai tabii dan sifat organisasi tersebut yang unik dan istimewa bagi mengelakkan sebarang pendekatan simplistik yang dilihat terburu-buru hingga bakal mengorbankan matlamat penubuhan TH yang selama zaman BN menunjukkan prestasi kewangan yang amat baik dan diyakini oleh rakyat,” ujar beliau. – MG
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/07/tabung-haji-bukannya-bank-asyraf.html