Sultan Johor Sertai Statut Rom Bercanggah Perlembagaan Persekutuan
MALAYSIAKINI
Sultan Johor dalam titah ucapan sempena hari keputeraan baginda hari ini menyifatkan tindakan kerajaan persekutuan yang menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam titah itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga menyorot hasrat kerajaan sebelum ini untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
"Mana-mana pihak yang telah menyentuh hak dan kuasa raja atau kerajaan negeri, adalah melanggar undang-undang negara dan boleh dianggap sebagai penderhaka.
"Tindakan kerajaan persekutuan yang ingin meratifikasi Icerd dan menandatangani Statut Rom, adalah satu tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kerana ia menyentuh kuasa raja-raja dan keistimewaan orang Melayu serta kemuliaan agama Islam di negara ini," titah baginda.
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail sebelum ini mendakwa kerajaan tidak merujuk Majlis Raja-raja Melayu ketika membuat keputusan menyertai Statut Rom.
Tunku Ismail juga mendakwa langkah kerajaan untuk menyertainya akan menjadikan Raja-raja Melayu tidak relevan dan memberi kesan kepada kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia.
Wisma Putra sebelum ini menyatakan bahawa perkara itu sudah dibentangkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.
ICC telah ditubuhkan di bawah Statut Rom dan telah berkuat kuasa pada tahun 2002.
Ia merupakan mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama yang melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa seperti genosida, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.
Sementara itu, dalam titah sama hari ini, Sultan Ibrahim berpesan agar kerajaan tidak menyertai konvensyen antarabangsa yang boleh menggugat kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan haruslah ingat tentang kontrak sosial dalam sejarah pembentukan persekutuan tanah Melayu dahulu, di mana keistimewaan orang Melayu dan kuasa Yang Dipertuan Agong dan raja-raja Melayu tidak boleh disentuh atau dikurangkan.
"Oleh yang demikian, suka saya ingatkan kepada kerajaan supaya tidak terus mengikut apa juga konvensyen antarabangsa hanya untuk mendapatkan pengiktirafan orang luar, tetapi akhirnya nanti ia akan memusnahkan kedaulatan negara dan menggugat kesejahteraan hidup rakyat sendiri," tambah baginda.
Berikut merupakan titah ucapan penuh baginda:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad semulia-mulia rasul, serta keluarga dan sahabatnya sekalian.
Alhamdulillah, syukur saya kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat kita berkumpul dalam dewan singgahsana yang mulia ini, bagi meraikan sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi saya bagi tahun 2019.
Saudara saudari sekalian,
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah mengaturkan beberapa acara bersempena dengan sambutan ulang tahun hari keputeraan saya pada tahun ini.
Namun begitu, saya mengambil keputusan untuk membatalkan majlis jamuan teh dan majlis santapan malam kerana berat rasa hati saya bila memikirkan keadaan rakyat yang terkesan dalam insiden pencemaran sisa kimia di pasir gudang baru-baru ini.
Saya berasa amat dukacita dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa kimia berbahaya ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
Tindakan ini bukan sahaja telah mencemarkan sungai dan alam sekitar, tetapi telah memberi mudarat kepada nyawa dan kesihatan penduduk di sekitar Pasir Gudang.
Tindakan yang tegas mesti diambil kepada pelaku yang cuai dan tidak berhati perut ini.
Bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang, saya menyeru kepada kerajaan supaya segera melaksanakan tindakaan kawalan dan penguatkuasaan yang bersepadu terhadap semua kilang yang menggunakan bahan kimia beracun.
Mana-mana kilang yang gagal mematuhi peraturan pengurusan keselamatan dan alam sekitar, hendaklah diarahkan tutup serta merta.
Dan untuk jangka masa panjang, saya mahu kerajaan mengkaji semula jenis-jenis industri yang terdapat di Pasir Gudang dengan menutup atau memindahkan industri gas dan bahan kimia yang mudah meletup dan membahayakan penduduk sekitarnya.
Ambillah pengajaran daripada peristiwa letupan kilang gas di bhopal india pada tahun 1984, yang telah mengorbankan lebih 3000 nyawa, dan lebih 500,000 orang yang sakit akibat terhidu gas kimia yang beracun.
Saudara saudari sekalian,
Insiden pencemaran sisa kimia di pasir gudang juga telah menguji tahap kesiap-siagaan jentera kerajaan dalam menangani sesuatu bencana.
Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, yang bekerja siang dan malam, berkorbankan tenaga dan keselamatan diri, untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan, dan memastikan punca pencemaran segera di atasi.
Terima kasih juga saya ucapkan kepada para sukarelawan dan dermawan yang telah menghulurkan tenaga dan sumbangan untuk sama-sama membantu mangsa yang terlibat.
Inilah semangat bangsa Johor yang bersatu dan saling membantu apabila berhadapan dengan sesuatu kesusahan.
Melihat kepada insiden di Pasir Gudang ini, kita dapat rasakan terdapat satu keperluan yang amat terdesak yang diperlukan oleh penduduk di Pasir Gudang, iaitu sebuah hospital kerajaan yang berdekatan.
Saya dengar perkara ini telah pun ada dalam perancangan kerajaan. Oleh itu, saya harap pembinaannya akan dapat segera dilaksanakan.
Saya percaya bahawa negeri Johor adalah antara penyumbang utama kepada hasil pendapatan kerajaan persekutuan. Oleh itu, adalah wajar dan adil jika lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan kepada negeri Johor, terutamanya untuk menaiktaraf kemudahan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam dan jaringan lebuhraya.
Saudara saudari sekalian,
Suka saya tegaskan di sini bahawa negeri Johor adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat, lebih awal daripada persekutuan tanah Melayu atau pun Malaysia.
Kedaulatan itu bermakna negeri Johor mempunyai hak dan kuasa dalam melaksanakan perkara-perkara yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri dan persekutuan.
Oleh itu, saya sebagai raja dan pemerintah utama negeri, mempunyai hak dan kuasa ke atas kerajaan saya, dan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri Johor dan rakyat yang bernaung di dalamnya.
Kuasa negeri terhadap agama Islam, sumber air, hutan dan tanah tidak perlu dipersoalkan lagi. Raja sebagai pemerintah negeri pula mempunyai keistimewaan yang termaktub dalam undang-undang dan bertanggungjawab menjaga kesucian agama islam sebagai agama negeri dan keistimewaan orang Melayu sebagai bumiputera.
Mana-mana pihak yang telah menyentuh hak dan kuasa raja atau kerajaan negeri, adalah melanggar undang-undang negara dan boleh dianggap sebagai penderhaka.
Tindakan kerajaan persekutuan yang ingin meratifikasi Icerd dan menandatangani Statut Rom, adalah satu tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kerana ia menyentuh kuasa raja-raja dan keistimewaan orang Melayu serta kemuliaan agama Islam di negara ini.
Kerajaan haruslah ingat tentang kontrak sosial dalam sejarah pembentukan persekutuan tanah Melayu dahulu, di mana keistimewaan orang Melayu dan kuasa yang dipertuan agong dan raja-raja Melayu tidak boleh disentuh atau dikurangkan.
Oleh yang demikian, suka saya ingatkan kepada kerajaan supaya tidak terus mengikut apa juga konvensyen antarabangsa hanya untuk mendapatkan pengiktirafan orang luar, tetapi akhirnya nanti ia akan memusnahkan kedaulatan negara dan mengugat kesejahteraan hidup rakyat sendiri.
Saudara saudari sekalian,
Seperti yang saya sering ucapkan, tidak ada hadiah yang lebih berharga untuk diri saya, selain melihat semua rakyat saya hidup bersatu-padu, dengan aman dan harmoni.
Oleh itu saya menyeru kepada seluruh rakyat negeri johor supaya hidup bekerja-sama, bertolak ansur, hormat menghormati di antara satu sama lain, dan sentiasa bermuafakat, kerana sesungguhnya “muafakat itu berkat”.
Perkara-perkara yang sensitif berkaitan sesuatu kaum atau agama, janganlah dipersenda atau dihina, kerana ia akan menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat majmuk di negara kita.
Saya juga menyeru kepada semua pemimpin dan kakitangan kerajaan supaya memberikan khidmat bakti dengan jujur dan amanah, demi untuk kemakmuran negeri, dan kesejahteraan hidup rakyat.
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan dan ahli jawatankuasanya yang telah menganjurkan sambutan hari keputeraan saya pada tahun ini.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada penerima darjah dan pingat pada tahun ini. Semoga kurniaan ini menjadi lambang kesetiaan dan perangsang untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.
Marilah kita berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'alla semoga negeri Johor Darul Ta’zim akan terus kekal aman dan damai, maju dan makmur, diberkati dan dirahmati, serta dijauhkan dari segala musibah dan bala bencana yang tidak diingini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/sultan-johor-sertai-statut-rom.html