Suka Kisah Curang Khianat Ini 5 K Drama Ala Ala The World Of The Married
Tidak dapat dinafikan bahawa drama “The World Of The Married” berjaya menggoncang dunia K-Drama untuk tahun 2020 ini. Bahkan rating yang dicatatkannya mencanak tinggi sehingga mencecah 28% dan merupakan catatan terbaik bagi seluruh saluran berbayar.
Membawa kisah seorang doktor keluarga yang dicurangi oleh suami sendiri dengan perempuan muda, kehidupan sempurnanya musnah. Bukan itu sahaja, dia turut dikhianati oleh teman rapat dan anak sendiri yang lebih berpihak kepada suaminya.
Kalau anda nak tahu, banyak sebenarnya drama lain yang membawa tema kecurangan dan pengkhianatan. Nah ini adalah senarainya!
VIP
Apabila seorang wanita bekerjaya menerima mesej mengatakan bahawa suaminya yang merupakan ketua jabatan di tempat kerjanya sedang bermain kayu tiga dengan seorang staf lain, dia mula menjalani misi untuk menjejak siapakah perempuan durjana itu. Lebih mengejutkan apabila wanita tersebut membongkar lebih banyak rahsia kakitangan lain di tempat kerjanya itu.
Secret Love Affair
Seorang wanita yang berjaya dan mempunyai profesor sebagai seorang suami membuatkan hidupnya nampak sempurna dan tanpa cela. Walaubagaimanapun, semuanya berubah apabila seorang lelaki muda berusia 20 tahun yang miskin namun pandai bermain piano hadir dalam hidup wanita itu. Saksikan bagaimana mereka tewas dengan nafsu dan berusaha menyorokkan hubungan terlarang itu daripada pengetahuan orang ramai.
Misty
Seorang pembaca berita popular ini pasti akan cuba dapatkan apa sahaja yang dihajatinya. Walaubagaimanapun pertemuan dengan kekasih lama dan isterinya membawa kepada satu kes pembunuhan yang tidak dijangka. Meskipun hubungan perkahwinan mereka goyah dan hampir hancur tetapi suami wanita ini yang bekerja sebagai peguam tekad membantu isterinya dan menyelamatkan perkahwinan mereka.
My Wife Is Having An Affair This Week
Sudah pun berkahwin selama 8 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki yang comel, hidup pengarah di sebuah saluran televisyen mula gelap apabila terjumpa beberapa bukti sahih yang mengatakan bahawa isterinya bermain kayu tiga dengan lelaki lain. Dengan menceritakan hal tersebut kepada orang yang tidak dikenali, lelaki itu nekad meminta bantuan secara rahsia daripada forum atas talian.
Love Affairs In The Afternoon
Bekerja sebagai pekerja separuh masa di pasar raya dan dalam masa yang sama menjadi suri rumah tangga nyata membuatkan wanita ini berasa lemah dan terperangkap dengan perkahwinan yang tidak bahagia. Perkenalan dengan seorang guru biologi yang turut berasa kesepian kerana tinggal jauh daripada isterinya membuatkan jantung mereka mula berdegup kencang. Walaupun tahu perbuatan itu salah namun mereka sepertinya tidak mampu menjauhkan diri daripada masing-masing.
Siapa yang seronok menonton “The World Of The Married”, pasti akan suka menonton drama yang tersenarai ini. Marathon hujung minggu nanti!
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kimchidaily.my/suka-kisah-curang-khianat-ini-5-k-drama-ala-ala-the-world-of-the-married/