Steven Sim Terus Mengambil Anak Angkat Demi Pendidikan Mereka
Syukur, hari ini saya bertambah seorang lagi anak angkat.




Shun Yong pelajar tahun 2 di USM. Sejak kecil, dia tak pernah mengenali ayahnya. Ibunya pula meninggal dunia ketika dia Tingkatan 2.
Sejak itu, nenek tua berusia 87 tahun menjadi tempat Shun Yong menagih kasih. Mereka berdua hidup bergantung kepada bantuan RM500 sebulan daripada JKM.
Walaupun hidup serba kekurangan, Shun Yong bertekad untuk berjaya dalam pelajaran. Akhirnya dia mendapat 4 flat dalam STPM dan kemudian ditawarkan tempat di USM.
Nak sampai ke USM bukan mudah, tapi bila dah sampai, cabaran semakin besar. PTPTN tidak cukup untuk tanggung keseluruhan kos. Setiap kali cuti semester dia bekerja sambilan untuk menampung belanja harian dan kos sara hidup yang lain.
Namun anak muda ini tidak pernah menyalahkan siapa-siapa dan tidak pernah meminta-minta. Dia terus cekal berusaha demi untuk kehidupan yang lebih baik di masa hadapan bersama neneknya.
Beberapa bulan lalu, dia hampir tak dapat daftar semester kerana tidak mampu bayar yuran. Mujur ada seorang uncle yang prihatin—Uncle Ooi, yang selama ini banyak membantu makan minumnya sejak mula masuk USM, menghubungi saya dan memaklumkan tentang keadaannya.
Setelah mendengar kisah perjuangan hidup Shun Yong, saya segera bersetuju dan bantu langsaikan yuran semesternya.
Baru-baru ini, Shun Yong sekali lagi hantar mesej kepada saya. Katanya, laptopnya telah rosak. Semua dokumen penting tak dapat dibuka. Dia sebenarnya tak minta banyak, cuma sedikit belanja untuk baiki laptop itu. Jika tidak dibaiki, semua assignment universiti akan hilang.
Hari ini, saya singgah sebentar di kampus USM untuk bertemu Shun Yong. Niat saya satu, bawa dia ke kedai dan belikan sebuah komputer baru. Tapi rupa-rupanya, ada seorang lagi yang telah mendahului saya.
Uncle Ooi, yang tiada sebarang hubungan kekeluargaan dengan Shun Yong, insan yang selama ini menjadi pelindung senyap buat Shun Yong - Uncle telah pun membelikan laptop baru untuknya. Kata Uncle, dia tak sampai hati lihat anak muda itu terus bergantung pada laptop lama yang sudah uzur.
Saya terdiam seketika.
Dalam dunia yang sering sibuk dengan urusan sendiri, masih ada insan seperti Uncle Ooi. Yang tidak menunggu untuk dirayu. Yang tidak menghakimi. Yang tidak menunggu untuk diberi gelaran. Yang sentiasa bersedia untuk membantu, kerana hatinya sarat kasih.
Kita tak perlu jadi orang besar untuk membuat perubahan besar. Kadang-kadang, satu tindakan kecil dari hati yang ikhlas cukup untuk mengubah masa depan seseorang.
Hari ini juga, saya pelawa Shun Yong untuk menjadi anak angkat saya. Bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi sebagai tanda bahawa dia tidak keseorangan. Bahawa dalam dunia ini, masih ada orang yang yakin dan sayang padanya. Saya mahu dia tahu kita semua berdiri di belakangnya.
Sebenarnya, di USM ini saya dah ada 3 orang anak angkat - Amirul, Jin Wei & Teck Qing.
Kisah Teck Qing, saya pernah ceritakan tahun lalu. Hari ini saya jemput Teck Qing untuk turut serta melawat Shun Yong. Rupa-rupanya, Teck Qing tinggal satu asrama dengan Shun Yong dan tanpa mereka sedar mereka berkongsi kisah perjuangan yang hampir serupa.
Saya gembira melihat Teck Qing kini semakin maju dalam pelajarannya. Dia juga sibuk mengajar kelas Judo untuk menampung perbelanjaan belajar.
Saya berseloroh kini penampilan dia sudah lebih hensem berbanding setahun dulu ketika dia mula-mula jadi anak angkat saya.
Saya minta mereka berdua saling menjaga antara satu sama lain bagai saudara. Maklumlah dua-dua pun anak angkat saya.
Anak muda seperti Shun Yong dan Teck Qing ialah harapan negara. Mereka tidak minta simpati. Mereka hanya perlukan peluang. Dan jika kita mampu membuka satu pintu untuk mereka, siapa tahu mereka akan membina seribu lagi jalan kejayaan untuk orang lain suatu hari nanti.
Jalan Teruih anak-anak. You can do it, and I'll be there for you!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/07/steven-sim-terus-mengambil-anak-angkat.html