Statut Rom Gelombang Besar Boleh Wujud Jika Rakyat Faham
Nizam Zain                                                                                                                                                                                              

Pengerusi  Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  bercakap pada sidang media mengenai Bantahan Statute Rome di Bangunan  UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 
SHAH ALAM – Badan Perhubungan UMNO Selangor tidak menolak  kemungkinan satu gelombang besar rakyat akan wujud hanya selepas kesan  buruk ratifikasi Statut Rom benar-benar difahami oleh orang Melayu di  negara ini.
 Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui bahawa  kepimpinan UMNO hanya memahami serta menolak Statut Rom mendapat  penjelasan sebenar oleh pengamal undang-undang mengenai implikasinya  hingga menggugat keistimewaan Raja-Raja Melayu yang dijamin oleh  Perlembagaan.
 “Kefahaman tentang Statut Rom itu pun agak kurang jelas berbanding  dengan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk  Diskriminasi Kaum), itu menyebabkan ramai keliru pada peringkat awal.
 “Sekarang kita lebih faham setelah dijelaskan oleh peguam-peguam dalam UMNO tentang kesan Statut Rom.
 “Saya percaya semakin lama rakyat akan sedar, sama ada ada gelombang  besar itu saya tak boleh pastikan,” katanya pada sidang media selepas  mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Selangor, di sini,  hari ini.
 Naib Presiden UMNO itu berkata, isu Statut Rom mengelirukan rakyat  berbanding isu ICERD yang mudah difahami kerana ia menyentuh secara  langsung tentang hak istimewa orang Melayu dan Islam.
 “Kita tak tahu lagi, sebab ICERD itu isu langsung, ia menyentuh hak  istimewa orang Melayu, hak istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu.
 “Tetapi Statut Rom ini berlaku secara tiba-tiba, tidak dibincangkan  dalam Parlimen walaupun perkara besar sepatutnya dibincang dalam  Parlimen, dia tiba-tiba saja tandatangan.
 “Sedangkan ICERD dulu dimaklumkan mungkin akan ditandatangani,  akhirnya rakyat boleh menilai dan selepas itu mengambil tindakan. Ini  tandatangan dulu, tiada siapa tahu, tiba-tiba sudah tandatangan,”  jelasnya.
 Ditanya tentang bantahan secara jalanan, Ismail Sabri enggan memberi  jawapan sebaliknya UMNO Selangor hanya akan menyerahkan memorandum  kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa  terdekat.
 “Bantahan jalanan saya tak tahu lah, cuma hari ini UMNO Selangor akan  menghantar memorandum kepada Sultan Selangor untuk menunjukkan protes  kita kepada tindakan itu.
 “Kita akan hantar memorandum kepada Sultan Selangor secepat mungkin,  kalau tuanku Sultan beri tarikh cepat, cepatlah kita hantar,” katanya.
 Ditanya tentang usul bantahan itu akan dibawa kepada Majlis Tertinggi  UMNO untuk membuat pendirian sama, Ismail Sabri bagaimanapun berkata  walaupun tiada mesyuarat rasmi dibuat, namun pendirian mereka adalah  sama.
 “UMNO pusat belum ada mesyuarat lagi kerana kita sibuk PRK Rantau, mungkin lepas ini mungkin ada negeri-negeri lain.
 “Saya percaya seluruh UMNO di negara ini mempunyai pandangan sama  dengan kita di Selangor, mungkin belum ada mesyuarat rasmi lagi.
 “Dari segi pandangan dan perbincangan kita, keseluruhan UMNO  menentang Statut Rom ini, malah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga  menentang.
 “Kita telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk  membentangkan usul membantah tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom  dan minta supaya dibatalkan,” katanya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/statut-rom-gelombang-besar-boleh-wujud.html