Stabilkan Bekalan Ayam Elak Harga Naik Ppim Harian Metro 07 02 2022
Kuala Lumpur: Kekurangan bekalan ayam segar menyebabkan harga di pasaran meningkat dan membebankan pengguna, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Nadzim berkata, isu kenaikan harga ayam di pasaran kebelakangan ini dikatakan berlaku akibat kekurangan bekalan di negara ini selain masalah perolehan dedak ternakan itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujud pihak tidak bertanggungjawab atau 'kartel' yang semakin berani menaikkan harga dan memanipulasi pasaran.
"Tindakan kerajaan menetapkan harga siling amat baik untuk mengawal harga di pasaran, namun perlu dipastikan bekalan ayam mencukupi dan tidak membiarkan pihak tertentu (pembekal) memanipulasi pasaran.
"Dalam setahun, tiga hingga empat kali harga ayam naik, peniaga tiada pilihan jika dapat ayam pun pada harga yang tinggi. Sampai bila nak hadapi situasi itu.
"Kita perlu pastikan bekalan dalam negara sentiasa ada, import tidak menyelesaikan isu ini sepenuhnya. Antara boleh dilaksanakan adalah menggalakkan lebih ramai menjadi penternak ayam termasuk menghasilkan dedak sendiri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan peniaga yang tersepit berikutan menerima ayam segar pada harga tinggi iaitu RM8.10 sekilogram daripada pembekal.
Ia menyebabkan kebanyakan peniaga tidak dapat mematuhi harga siling ayam segar yang ditetapkan kerajaan.
Media sebelum ini melaporkan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 sekarang kepada RM8.90.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan harga itu bermula Sabtu lalu sehingga 5 Jun nanti.
Selain itu, Nadzim mencadangkan kerajaan dan pihak berkuasa mewujudkan satu polisi jangka panjang yang bukan hanya berupaya menstabilkan harga ayam di pasaran tetapi menjaga kepentingan semua pihak.
"Sekiranya tiada tindakan segera diambil, maka kenaikan harga ini akan berlarutan dan tiada kesudahannya," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
STABILKAN BEKALAN AYAM ELAK HARGA NAIK - PPIM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/02/807892/stabilkan-bekalan-ayam-elak-harga-naik-ppim
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ppim4u.blogspot.com/2022/02/stabilkan-bekalan-ayam-elak-harga-naik.html