Sprm Akui Ada Kekhilafan Hingga Dua Anggota Pkr Dipecat
MALAYSIAKINI
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki mengakui terdapat kekilafan yang dilakukan oleh pihaknya yang mencadangkan tindakan tatatertib ke atas dua anggota PKR termasuk ke atas ketua cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid, atas dakwaan melanggar kod etika parti.
Ini sehingga menyaksikan kedua-dua mereka dipecat daripada parti itu, semalam
"Mengikut garis panduan tatatertib yang perlu diikuti SPRM, laporan sesuatu salahlaku hanyalah dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri.
“Ia tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik. Bukan menjadi polisi kepada SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik berhubung salahlaku anggotanya.
“SPRM mengakui terdapat kekhilafan yang dilakukan oleh Ketua Cawangan Laporan SPRM (LSPRM) menerusi sepucuk surat kepada parti berkenaan yang mencadangkan tindakan tatatertib kerana melanggar kod etika parti berkenaan,” kata Azam dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan media PKR berhubung pemecatan dua ahlinya - Zakaria yang merupakan bekas setiausaha politik menteri kerja raya Baru Bian dan anggota PKR Pahang, Ismail Dulhadi - yang dikeluarkan pada 24 November lalu.
Kedua-dua mereka didakwa terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti pada Ahad lalu mengumumkan pemecatan mereka.
"Justeru, SPRM akan menghantar surat pemakluman ini kepada pengerusi lembaga tatatertib PKR untuk diperjelaskan kekilafan ini agar tidak timbul salah faham pada masa akan datang," kata Azam.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata pihaknya sebelum ini mendapat surat daripada SPRM pada 23 Oktober 2019 yang menasihati mereka agar meneliti dakwaan terhadap dua ahli mereka.
Siasatan SPRM berhubung perkara itu dibuat susulan laporan yang difailkan oleh penyelaras Pemuda PKR (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razak pada September tahun lepas.
Zakaria, yang juga anggota MPP PKR, dikatakan telah menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 dalam satu pertemuan dengan pemimpin tempatan pada 1 Sept, ketika beliau bertanding kerusi majlis kepimpinan pusat PKR.
Sementara itu, Zakaria yang dihubungi Malaysiakini, berkata beliau akan membuat satu sidang akhbar bagi mengulas kekalutan yang berlaku ini pada Khamis ini
"Saya masih di luar negara atas urusan kerja. Saya akan buat sidang akhbar sekembali Khamis ini," katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/11/sprm-akui-ada-kekhilafan-hingga-dua.html