Solat Sunat Isyraq Pahalanya Haji Dan Umrah
Adakah solat sunat Isyraq sama dengan solat sunat Dhuha? Ada pendapat ulama mengatakan ianya adalah sama, namun ada juga pendapat yang menyatakan ianya adalah berbeza.
Perbezaannya solat isyraq lebih menjurus kepada hadis Rasullullah seperti di bawah;
“Sesiapa solat Subuh berjamaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.” (Hadis Riwayat, At-Tirmidzi dan , Ath-Thabrani R.A)
Ganjaran pahala solatnya seperti haji dan umrah yang sempurna.
Apakah syaratnya untuk mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna. Pertamanya solat subuh berjemaah di masjid. Seterusnya berada di dalam masjid dengan berzikir dan beribadah kepada Allah sehingga waktu Isyraq dan seterusnya melakukan solat sunat Isyraq.
Waktu Solat Sunat Isyraq?
Sekiranya solat sunat Dhuha itu bermula apabila matahari tingginya segalah sehingga 10 minit sebelum waktu zohor, manakala waktu solat sunat Isyraq itu matahari tingginya setombak dan tempohnya kira-kira 15 minit sahaja.
Mudahnya kira-kira 12 minit selepas waktu syuruk. Waktu syuruk sebagaimana kita ketahui ia adalah waktu yang dilarang untuk melakukan solat.
Sebagai contoh: Waktu Syuruk pada pukul 7:00 pagi. Apabila pukul 7:12 pagi bermulalah waktu Isyraq. Waktu Isyraq akan berakhir 7:27 pagi dan ketika itu bermulalah waktu Dhuha.
Cara Solat Sunat Isyraq
Cara mengerjakan solat Sunat Isyraq adalah sama seperti solat sunat dua rakaat yang lain. Lafaz niatnya;
“Sahaja aku solat sunat Isyraq dua rakaat kerana Allah Taala.”
Bacaan dalam rakaat:
Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun
Manakala pada rakaat kedua hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas
Doa Solat Sunat Isyraq
Selepas salam bacalah doa ini;
“Segala puji hanya bagi Allah yang telah menjadikan hari ini sejahtera dan telah menerbitkan matahari dari tempat terbitnya. Ya Allah, kurniakanlah bagiku kebaikan hari ini dan jauhkanlah daripadaku keburukan (kejahatan) hari ini. Ya Allah, terangilah hati-hati kami dengan cahaya hidayah-Mu, sebagaimana Engkau terangi bumi ini dengan cahaya matahari-Mu terus menerus, dengan rahmatmu wahai tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”
Inilah doa yang dianjurkan, walau bagaimanapun kita boleh berdoa dengan doa yang lain seperti memohon murahkan rezeki, diberi keselamatan, dijauhkan dari bala, memohon rahmat Allah SWT. dan sebagainya. Wallahua’lam…
The post Solat Sunat Isyraq – Pahalanya Haji Dan Umrah appeared first on MyWaktuSolat.com.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mywaktusolat.com/artikel/solat-sunat-isyraq/