Siri Anekdot Dan Kisah Kehidupan Fasa 2 Terbitan Wacana Mbm
Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Alhamdulillah, menuju ke akhir tahun 2018, masih ada buku baharu hasil tulisan saya diterbitkan walaupun hanya antologi bersama.
  Masih ingat Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan; Rimbun Kehidupan, Langit  Kehidupan, Rencah Kehidupan, Lautan Kehidupan dan Pelangi Kehidupan  terbitan Wacana MBM? Buku-buku ini pernah dilancarkan di Red Card Cafe,  Bangi oleh Datuk. Dr. Awang Sariyan.
 Kini, Fasa 2: Siri Anekdot  dan Kisah (Bertema - Kerjayaku, Kembaraku, Jalan ke Negeri Abadiku,  Umrah dan Hajiku dan Bibliofilku) bakal diterbitkan dan dilancarkan pada  22 Disember 2018 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor oleh  Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor.

 Fasa 2 ini turut  menampilkan lima judul baharu, iaitu Arkitek Kehidupan, Kompas  Kehidupan, Hijrah Kehidupan, Kiblat Kehidupan dan Naskhah Kehidupan.  Tidak seperti buku Fasa 1, buku-buku Fasa 2 lebih tersusun daripada segi  tema penulisannya.
 Saya terlibat secara langsung dan tidak  langsung dalam penerbitan buku-buku Fasa 2 ini. Terus terang, saya lebih  teruja menyertai projek ini dan menantikan buku-buku ini terbit kerana;
1. Tajuk Arkitek Kehidupan, Kompas Kehidupan dan Naskhah Kehidupan  merupakan hasil cetusan saya setelah penerbit membuka peluang dan  pelawaan untuk penulis mencadangkan judul bagi setiap tema.
  Pemilihan Arkitek - setiap kerjaya memerlukan "arkitek" atau perancang,  perunding, pembina dan pelaksana yang efisien dan efektif.
 Pemilihan Kompas - kompas dipilih sebagai simbolik kepada perjalanan atau kembara.

 Pemilihan Naskhah - dengan mengambil kira kesesuaian tema - bibliofil  (buku), penjodoh bilangan bagi buku ialah "naskhah" atau "buah" dipilih.
  2. Naskhah Kehidupan, merupakan antara tema yang saya cadangkan agar  penerbit menyediakan ruang dalam Fasa 2 ini untuk diterokai dan  dicernakan oleh penulis. Bagi saya tema tentang buku ini sangat menarik  dan jarang-jarang buku tentang buku diterbitkan.
 3. Saya turut  diberikan peluang oleh penerbit untuk membantu bahagian editorial  sebagai penolong editor/pembaca pruf bagi manuskrip Arkitek Kehidupan  dan Naskhah Kehidupan.
 4. Dalam Fasa 2 ini saya menulis untuk  dua edisi, iaitu Arkitek Kehidupan dan Naskhah Kehidupan. Arkitek  Kehidupan, saya berkongsi pengalaman saya sebagai penulis. Manakala  dalam Naskhah Kehidupan, saya mencatatkan pengalaman saya sebagai  seorang pembaca dan bibliofil (jika layak).

 Terima kasih saya ucapkan kepada penerbit Wacana MBM yang diterajui oleh Munsyi Dewan Mohamad Musip yang membuka peluang kepada penulis muda seperti saya untuk terlibat  sama ada sebagai penulis mahupun pembantu di belakang tabir.

  Syabas dan tahniah jua diucapkan kepada lebih daripada 60 orang penulis  yang terlibat dalam penulisan edisi Fasa 2 ini. Teruslah memartabatkan  bahasa Melayu melalui medium penulisan.
 Buku-buku ini sesuai  dibaca oleh semua peringkat umur. Saya suka mencadangkan kepada GPM  sekolah untuk memasukkan buku-buku ini dalam senarai pembelian buku pada  tahun 2019 nanti.
 Rakan-rakan yang berminat untuk memiliki  kelima-lima buku Fasa 2 ini, jangan lepaskan peluang untuk membuat  tempahan awal daripada penerbit atau penulis yang terlibat.
 #CatatanPenerbitanBuku #SiriAnekdotWacanaMBM #ArkitekKehidupan #KompasKehidupan #HijrahKehidupan #KiblatKehidupan #NaskhahKehidupan
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://mieadham86.blogspot.com/2018/12/siri-anekdot-dan-kisah-kehidupan-fasa-2.html