Siapa Sebenarnya Pencatur Keretakan Hubungan Umno Dan Pas Dalam Muafakat Nasional
Sejarah mencatitkan, perselisihan antara 2 parti terbesar masyarakat Melayu Islam, UMNO dan PAS telah memakan masa lebih dari 6 dekad.
Kejatuhan UMNO dari takhta pemerintahan pada 2018 dalam PRU 14, telah membuka lebaran baru dalam hubungan politik antara UMNO dan PAS.
14 September 2019 menjadi satu tarikh yang akan dicatit dalam sejarah politik tanah air sebagai tarikh keramat penyatuan masyarakat Melayu Islam setelah berseteru selama lebih 6 dekad.
Selepas dari tarikh itu, UMNO dan PAS telah melangkah seiringan serta berganding bahu, bantu membantu antara satu sama lain di atas pentas politik.
Ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, hati gajah sama kita lapah dan hati kuman sama kita cicah, cubit peha kiri, peha kanan pasti akan terasa sakitnya.
Bukan sedikit kejayaan yang telah dicapai di bawah jenama Muafakat Nasional.
Kejayaan Muafakat Nasional di dalam 6 pilihanraya kecil (tidak termasuk PRK Slim, kerana dikatakan PPBM ada membantu) merupakan bukti yang cukup jelas bahawa rakyat di pelbagai peringkat merestui dan menyokong sepenuhnya kerjasama antara UMNO dan PAS.
Kekuatan kerjasama antara UMNO dan PAS di dalam Muafakat Nasional menjadi mimpi ngeri kepada Pakatan Harapan.
Sama ada kita sedar atau tidak, dengan menggunakan alasan penyatuan masyarakat Melayu Islam sebagai slogan, musuh telah menjalankan berbagai usaha untuk melerai kekuatan UMNO dan PAS di dalam Muafakat Nasional.
Kongres Maruah Melayu tajaan Dr Mahathir dan PPBM merupakan cubaan pertama untuk meleraikan kekuatan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional.
Secara terancang, pemimpin PAS telah dijemput untuk menghadiri kongres tersebut bagi menimbulkan ketegangan antara pemimpin UMNO dan PAS.
PAS telah menerima jemputan tersebut dan Presiden serta kepimpinan tertinggi PAS telah menyatakan persetujuan untuk menghadirinya.
Pemimpin UMNO kelihatan agak terkejut dan kecewa, tetapi demi menjaga kerjasama yang baru terjalin di dalam Muafakat Nasional, akhirnya UMNO bersetuju untuk menghantar wakil yang diketuai Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Annuar Musa.
Ternyata Kongres Maruah Melayu gagal kerana tiada hala tuju, ucapan Dr Mahathir bukan sahaja tidak menyeru bangsa Melayu supaya bersatu, malah Dr Mahathir secara terang-terangan menghina ketuanan Melayu di tanah air sendiri.
Selepas kongres tersebut, bukan sahaja nasib bangsa Melayu tidak terbela, malah terus-terusan diperlekehkan oleh Pakatan Harapan yang menjadi kerajaan ketika itu.
Penyokong pengganas LTTE yang didokongi DAP semakin menunjukkan taring mereka mereka di bumi Malaysia tanpa apa-apa tindakan tegas dari Muhyiddin Yassin yang menjadi Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Tommy Thomas terus selesa di kerusi Peguam Negara, walau pun Mahkamah Koroner telah mengesahkan beliau campurtangan dalam prosiding inkues Allahyarham Mohd. Adib.
Atas alasan pembangunan, penduduk Kg Baru, satu-satunya penempatan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur hendak dipindahkan dan tanah mereka hendak dijual atas alasan pembangunan.
Kalau nasib bangsa Melayu terus ditindas selepas Kongres Maruah Melayu, apakah sebenarnya tujuan kongres itu diadakan?
Ibarat biduk berlalu, kiambang kembali bertaut, apabila Kerajaan Pakatan Harapan runtuh, kesepakatan antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional dilihat kembali kukuh bila sepakat mahukan parlimen dibubarkan ketika mengadap SPB YDP Agong, selepas perjumpaan di hotel Sheraton yang dikenali sebagai Langkah Sheraton gagal.
Namun selepas SPB YDP Agong tidak memperkenankan permintaan untuk membubarkan parlimen kerana ketika itu negara sedang dilanda pandemik Covid-19, baginda telah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang ke 9.
Berlaku perpecahan yang serius di dalam parti PPBM apabila ianya terpecah dua, satu blok yang menyokong Dr Mahathir dan satu lagi blok yang menyokong Muhyiddin.
Ketika itu PPBM menghadapi 'krisis sokongan akar umbi yang sangat kronik', lalu timbul cadangan supaya PPBM menyertai Muafakat Nasional.
Namun PPBM merasakan mereka perlu dijemput bukan memohon untuk menyertai Muafakat Nasional dan mereka mahu menjadi parti yang dominan di dalam gabungan Muafakat Nasional.
Perkara ini sangat jelas dizahirkan oleh Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.
Namun Muhyiddin membatalkan rancangan itu dan menjemput pula parti-parti di dalam gabungan Muafakat Nasional untuk menyertai gabungan baru yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional.
Apa yang pelik, apabila mahu menyertai Muafakat Nasional, Muhyiddin mahu menyertainya sebagai satu gabungan besar dan bukan sebagai parti PPBM sahaja, tetapi apabila menjemput Muafakat Nasional menyertai Perikatan Nasional, parti yang berada dalam Muafakat Nasional hendaklah menyertainya sebagai parti yang berasingan.
Ketika ini berlaku sekali lagi ketegangan antara pemimpin UMNO dan PAS.
Tanpa berunding dengan UMNO, Setiausaha Agung PAS, Takiyudin mengumumkan PAS akan menyertai Perikatan Nasional.
Apakah Takiyudin lupa persetujuan asal yang telah dicapai di dalam Muafakat Nasional bahawa sokongan kepada Muhyiddin hanyalah setakat akhir penggal ini sahaja, apabila parlimen dibubarkan, maka sokongan UMNO dan PAS kepada Muhyiddin akan berakhir.
Usaha seterusnya ialah di dalam PRN Sabah.
Terdapat cubaan untuk melaga-lagakan UMNO dan PAS bila dalam pembahagian kerusi, PAS tidak dapat bertanding walau pun satu kerusi DUN.
Ianya seolah-olah menggambarkan sifat tamak UMNO hingga sanggup mengenepikan sekutunya PAS yang berada di dalam Muafakat Nasional.
Hakikatnya, yang tidak memberikan apa-apa kerusi kepada PAS ialah PPBM sendiri kerana menurut Muhyiddin, PAS tidak popular di Sabah.
PPBM sengaja telah mengumumkan calun mereka sebagai bakal Ketua Menteri Sabah.
Strategi mereka mudah, letakkan Musa Aman sebagai TYT Sabah selepas Perikatan Nasional menang, maka undi penyokong Musa Aman dan Anifah Aman melalui Parti Cinta Sabah akan mereka perolehi dengan meletakkan calon Bebas tajaan mereka di tempat yang sama Barisan Nasional bertanding.
Kemudian membawa masuk Parti Bersatu Sabah (PBS) ke dalam Perikatan Nasional, akhirnya PPBM kini yang menguasai Perikatan Nasional akan mempunyai hak untuk melantik Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Namun selepas strategi ini dilihat tidak membuatkan pemimpin UMNO melatah, maka terkini, timbul cubaan yang baru melalui pengumuman Anwar Ibrahim.
Presiden UMNO cuma memberikan respon bahawa beliau tiada hak untuk menghalang MP UMNO untuk menyokong Anwar, tidak disebut pun UMNO akan menyokong Anwar.
Sebenarnya ada yang tersirat di sebalik yang tersurat dari kenyataan Presiden UMNO itu, tetapi kita agak kecewa kerana Setiausaha Agung PAS, Takiyudin, pula melenting dan kelihatan seolah-olah mengugut UMNO dengan kata-kata sekiranya UMNO menyokong Anwar, maka UMNO sudah melanggar piagam Muafakat Nasional.
Sepatutnya Takiyudin tidak bersikap terburu-buru mengeluarkan kenyataan media sebegitu kerana perkara yang sama pernah beliau lakukan ketika mengumumkan PAS sudah mengeluarkan surat sokongan penubuhan Perikatan Nasional, namun akhirnya dinafikan oleh Timbalan Presiden PAS sendiri, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kali ini juga Tuan Ibrahim Tuan Man sekali lagi secara sindiran menegur sikap terburu-buru Takiyudin dengan mengatakan PAS menganggap kenyataan Presiden UMNO itu sebagai kenyataan peribadi dan bukan mewakili parti.
Kepada pemimpin serta penyokong UMNO dan PAS, janganlah terperangkap dalam permainan politik musuh.
Musuh sedang memasang jerat.
Renungkan sejenak, Muafakat Nasional sememangnya sudah kukuh dan mendapat sokongan yang padu dari rakyat, 7 PRK adalah bukti yang amat nyata.
Siapakah yang dari dulu mahu supaya Muafakat Nasional berpecah?
Siapakah yang dari dulu menggunakan strategi memecah belahkan masyarakat Melayu?
Siapakah yang dari dulu menggunakan strategi Melayu skrew Melayu?
Sepatutnya kita semua tujukan peluru kita kepada mereka dan bukannya kepada sesama kita!!!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://theunspinners.blogspot.com/2020/09/siapa-sebenarnya-pencatur-keretakan.html