Sesi Persekolahan Bersemuka Di Sabah Libatkan 16 328 Pelajar
Kesemua 16,328 pelajar ini akan hadir ke sekolah tanpa perlu penggiliran dan guru yang terlibat pula kira-kira 2,700 orang sahaja. klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)
KOTA KINABALU: Seramai 16,328 pelajar di seluruh negeri ini akan mengikuti sesi persekolahan bersemuka yang bermula pada 4 Oktober ini.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin berkata, jumlah berkenaan hanya melibatkan tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di Sabah.
Katanya, hanya empat kumpulan pelajar sahaja yang akan memulakan sesi persekolahan bersemuka memandangkan Sabah masih berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, kumpulan berkenaan termasuklah pelajar tingkatan enam atas, murid berkeperluan khas, pelajar pra universiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia Sabah dan murid mengambil peperiksaan antarabangsa.
"Kesemua 16,328 pelajar ini akan hadir ke sekolah tanpa perlu penggiliran dan guru yang terlibat pula kira-kira 2,700 orang sahaja.
"Daripada jumlah pelajar ini, seramai 2,347 pelajar tingkatan enam atas dan murid berkeperluan khas akan tinggal di asrama selepas sesi pendaftaran masuk ke asrama dijalankan bermula 3 Oktober ini.
"Sebagai langkah pencegahan sebelum sesi persekolahan bermula, pelajar yang tinggal di asrama akan menjalani ujian kendiri COVID-19 yang akan dilakukan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh 14 hari pelajar kembali ke asrama," katanya ketika ditemu bual oleh stesen radio Sabah FM di sini.
Mistirine berkata, pelajar asrama harian yang bergejala atau menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 semasa berada di asrama dan sekolah turut diminta menjalani ujian kendiri.
Katanya, kit ujian kendiri akan dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan dan pengoperasian sekolah 3.0 yang dikeluarkan pada 24 September lepas.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, kumpulan pelajar lain dari pra sekolah sehingga tingkatan enam rendah akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Apabila Sabah beralih kepada Fasa 3 PPN kelak, KPM akan memberi tempoh selama 14 hari kepada jabatan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk membuat persediaan pertambahan pelajar yang akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka.
"Bagi Fasa 3 PPN, pelajar tingkatan lima akan dibenarkan hadir ke sekolah dan jumlah mereka ini agak ramai iaitu kira-kira 40,000 orang manakala, guru pula sekitar 7,000 orang.
"Sehubungan itu, kita perlu memberi panduan berkaitan pematuhan SOP yang lebih ketat termasuk kaedah penyuraian murid dan sistem penggiliran," jelasnya.
Beliau berkata, antara pendekatan yang akan diambil adalah membuat sesi libat urus bersama PPD dan sekolah untuk memberi kefahaman tentang tindakan kita mengikut garis panduan KPM.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sabahup2date.blogspot.com/2021/09/sesi-persekolahan-bersemuka-di-sabah.html