Servis Menulis Artikel
Berapa lama masa yang diperlukan untuk menulis dan menyediakan sebuah artikel yang mengandungi 2,000 patah perkataan?
Jawapannya pasti tak sama antara setiap orang.
Dari pengalaman saya sendiri menghasilkan karya penulisan untuk disiarkan dalam blog, saya boleh katakan masa yang diambil adalah berbeza-beza dan ini bergantung kepada beberapa faktor, antaranya
(1) Tahap pengetahuan tentang topik
Ada topik yang memang saya sangat familiar.
Ada topik yang saya pernah tulis berkali-kali dan saya terbitkan artikel tersebut di beberapa blog yang berbeza. Topik penulisan yang memang dalam lingkungan pengetahuan saya, saya boleh siapkan dengan lebih cepat.
Tetapi kalau topik tersebut saya kurang familiar dan ia merupakan kali pertama saya menulis mengenai topik tersebut, biasanya ia akan memakan masa yang lebih lama.
(2) Kelajuan menaip artikel
Skil menaip juga memberi impak kepada masa untuk menyiapkan sesebuah artikel.
Saya masih ingat lagi, saya pernah menaip artikel menggunakan keyboard yang agak keras. Saya rasa agak kurang selesa menaip dan sedikit sebanyak ia menyebabkan saya menaip dengan lebih perlahan.
(3) Penyediaan draf artikel
Lazimnya sebelum saya mula menulis sebarang artikel, saya akan menyediakan draf terlebih dahulu. Draf artikel ini merupakan persediaan awal sebelum saya menyiapkan artikel yang complete.
Pada saya menyediakan draf ini merupakan satu langkah yang penting, bagi menentukan kemana hala tuju artikel yang bakal dihasilkan. Kalau tak ada draf, saya perlu menulis secara spontan dan ia akan memakan masa yang lebih lama berbanding menulis artikel yang telah saya sediakan drafnya dari awal.
Bahaya menulis tanpa draf ini. Kadang-kadang akan rasa blur bila mengadap skrin komputer yang kosong.
(4) Tahap kesukaran sesuatu topik
Ada topik yang boleh dikatakan sebagai topik yang senang nak tulis, dan ada topik yang agak sukar dan memerlukan banyak pembacaan tambahan untuk menyiapkan artikel tersebut. Kalau artikel yang memerlukan banyak pembacaan tambahan, sudah tentu masa untuk menyiapkan satu artikel juga akan bertambah.
Saya tak kisah untuk tulis suatu topik yang agak sukar.
Asalkan kalau topik tersebut memang saya minat.
Biasalahkan, bila kita buat sesuatu yang memang kita minat, kadang-kadang tak rasa pun masa berlalu.
Kenapa menulis artikel 2,000 patah perkataan?
Mengikut pemerhatian, pembacaan dan pengalaman yang saya sendiri lalui, saya dapati zaman penulisan artikel-artikel pendek untuk disiarkan di blog supaya berjaya masuk ke page pertama Google untuk kata kunci tertentu telahpun berlalu.
Pada hari ini, Google lebih mengutamakan kandungan artikel yang mempunyai bilangan patah perkataan yang lebih panjang.
Kalau ada yang bertanya, mana lagi bagus artikel panjang atau artikel pendek?
Jawapannya adalah bergantung kepada keadaan, situasi dan apa tujuan artikel tersebut dihasilkan.
Tapi kalau anda ingin memastikan artikel tersebut berjaya masuk ke halaman pertama Google, anda perlu pastikan artikel tersebut mempunyai jumlah perkataan yang banyak. Sekurang-kurangnya dalam lingkungan 1,500 – 2,000++ patah perkataan.
Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna artikel yang pendek itu tak bagus.
Ataupun, kalau tulis artikel yang panjang, confirm akan masuk ke page pertama Google.
Tak.
Bukan macam tu.
Google E-A-T
Google telah pun memperkenalkan konsep E-A-T dalam sistem algorithm. E-A-T ini berfungsi sebagai satu sistem atau formula untuk pihak Google menilai tahap kualiti dan kredibiliti bagi halaman yang terdapat pada sesebuah laman web.
Dengan ini, hanya halaman yang betul-betul berkualiti sahaja yang akan berjaya masuk ke muka surat pertama search engine result page (SERP).
Tapi, apa maksud E-A-T tu?
E merujuk kepada Expertise (kepakaran)
A merujuk kepada Authoritativeness (ahli dalam bidangnya atau berkuasa atau berhak)
T merujuk kepada Trustworthiness (boleh dipercayai)
Baru-baru ini, saya ada terbaca yang Google ada memperkenalkan satu lagi huruf E dalam konsep E-A-T menjadikan ia sebagai E-E-A-T dimana tambahan huruf E yang baru itu merujuk kepada Experience atau pengalaman.
Apa maksudnya ini? Dan apa yang akan berlaku dimasa akan datang?
Apa yang saya faham, Google akan mula membuat rombakan kepada sistem mereka menetapkan mana satu laman web atau halaman yang layak untuk menduduki tempat pertama (atau mukasurat pertama) dalam halaman carian search engine.
Para pemain teknik search engine optimization (SEO) dan para usahawan yang bergantung kepada trafik dari Google untuk buat jualan, perlu alert dengan perubahan ini.
Google akan memberi keutamaan kepada kandungan yang ditulis yang mempunyai kriteria seperti
i. Kandungan ditulis dan dihasilkan oleh individu yang berpengalaman (experience)
ii. Individu tersebut adalah pakar dalam bidangnya (expertise)
iii. Individu tersebut merupakan seorang yang ada autoriti dalam bidang atau topik tersebut (authority)
iv. Sumber berita atau informasi tersebut boleh dipercayai (trustworthiness)
Formula atau konsep E-A-T ini sangat penting terutama sekali dalam penerbitan kandungan yang memberikan informasi, nasihat berkaitan topik yang sensitif atau topik yang agak rumit, seperti berkaitan dengan bidang perubatan, dan juga nasihat kewangan.
Apa yang kerap kali berlaku, sebelum adanya konsep E-A-T, boleh dikatakan sesiapa sahaja boleh menerbitkan kandungan tentang bidang perubatan, kewangan, pelaburan dan sebagainya, walaupun mereka ini sebenarnya tak mempunyai kepakaran mahupun authoriti dalam bidang tersebut.
Disebabkan itu, maka tersebarlah maklumat atau informasi yang songsang, yang mengarut, yang tak betul. Maka dengan adanya E-A-T ini sedikit sebanyak ia dapat menangkis dan menapis maklumat yang tak sahih, nasihat yang songsang termasuk juga kandungan yang berniat untuk scam pembaca dari muncul di halaman pertama Google.
Perkara ini pada saya, ada kebaikkan dan ada kekurangannya.
Jika ada kesempatan, mungkin saya akan bincangkan dilain masa.
Adakah lepas ni dah tak boleh hasilkan kandungan?
Bukan begitu.
E-A-T ini hanyalah satu sistem untuk menentukan sama ada sesuatu halaman ini mempunyai kriteria yang diperlukan untuk mendapat kedudukan yang baik di search engine ataupun tidak. Jika konten yang anda hasilkan menepati kriteria yang ditetapkan, maka halaman tersebut akan mendapat kedudukan yang lebih baik di search engine berbanding halaman lain.
Kalau anda tak mahu ambil pusing mengenai konsep E-A-T ini pun tak ada masalah. Boleh sahaja menulis dan menerbitkan artikel seperti biasa. Cuma, anda mungkin akan dapati artikel yang anda hasilkan agak sukar untuk masuk ke halaman pertama Google.
Tapi kalau selama ini, anda memang tak pernah ambil peduli pun tentang search engine optimization, maka anggap sahajalah perkongsian ini sebagai untuk maklumat tambahan semata-mata.
Tak perlu risau, dan tak perlu buat apa-apa.
Banyak laman web dan blog yang sudah tak dikemaskini
Saya dapati, dekat luar sana ada banyak juga laman web dan juga blog yang dah agak lama tak dikemaskini dengan konten terbaru.
Saya ingatkan, saya seorang sahaja yang ada masalah “tak sempat” nak update blog, rupanya ada banyak lagi pemilik laman web diluar sana yang turut mempunyai isu yang sama seperti saya.
Kalau dalam situasi saya sendiri, memang ada blog yang saya tak dapat nak update selalu disebabkan
i. Saya ada beberapa buah blog yang saya perlu update
ii. Saya juga ada menerima tugasan untuk menulis artikel bagi pihak pemilik laman web lain
Seperti yang saya ada bincangkan dalam artikel saya tentang menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan sebelum ini, faktor masa adalah salah satu kekurangan yang anda perlu tahu apabila menjalankan bisnes berasaskan perkhidmatan ini.
Dalam satu-satu masa, kita hanya dapat fokus untuk menyiapkan satu tugasan yang diamanahkan oleh pelanggan. Tak sama seperti bisnes yang menjual barangan atau produk, dalam satu masa kita boleh uruskan tempahan untuk beberapa pelanggan sekali gus.
Tapi ini bukanlah bermakna saya menyesal atau mengeluh kerana menawarkan perkhidmatan menulis artikel seperti ini.
Bukan.
Malahan bagi saya itu merupakan satu rezeki.
Apa salahnya kita penat sikit, rasa sibuk sebab kita bekerja. Bukannya buat perkara yang sia-sia.
Jadi, jika anda merupakan pemilik laman web yang memerlukan khidmat penulisan artikel, In Shaa Allah saya boleh bantu. Boleh dapatkan khidmat sedemikian melalui saya.
Saya faham, anda mungkin pernah atau biasa dapatkan khidmat menulis artikel ini dari beberapa penulis sebelum ini.
Jika anda ingin cuba gaya penulisan yang baru, yang mungkin ada pada saya tapi tak ada pada penulis lain, boleh cuba dapatkan servis ini dari saya pula.
Saya juga merupakan penulis blog yang agak aktif dan agak berpengalaman.
Anda boleh baca artikel saya yang terdahulu, sama ada yang saya siarkan dalam blog ini, atau dalam blog berikut
i. blog Sabree Hussin
ii. Soal Jawab MY
iii. Xplorasi Destinasi
Jika anda merasakan gaya dan cara penulisan saya ini sesuai untuk perniagaan anda, In Shaa Allah saya akan berikan khidmat terbaik untuk anda.
Penutup
Saya mulakan artikel ini dengan bertanya soalan, berapa lama masa yang diperlukan untuk menulis artikel yang mengandungi 2,000 patah perkataan.
Kalau saya, biasanya saya akan perlukan masa 4 jam ke 8 jam. Kadang-kadang lebih lama dari itu.
Tapi kalau topik tersebut merupakan topik yang memang saya sangat familiar, yang saya pernah tulis berkali-kali sebelum ini, dari 4 jam mungkin boleh turun kepada sekitar 2 jam sahaja.
Cepat atau lambat menulis artikel ini bukan semata-mata dipengaruhi oleh faktor seperti
i. Pemilihan topik
ii. Skil menaip
iii. Tahap kesukaran sesuatu topik
Bukan itu sahaja.
Sebenarnya ada banyak lagi perkara yang akan memberi pengaruh.
Misalnya, kreativiti.
Menulis itu sendiri merupakan satu aktiviti yang memerlukan kreativiti untuk menghasilkan karya yang bagus.
Saya dapati, ada masa-masa tertentu, saya langsung tak kreatif.
Nak menulis perenggan pertama pun saya rasakan terlalu seksa.
Tapi ada masa-masa tertentu, saya merasakan proses penulisan ini sangat mudah dan idea mengalir dengan sangat baik.
Saya juga pernah dan biasa melalui satu fasa dimana saya hilang minat dalam bidang penulisan.
Saya jadi tak bersemangat untuk menulis, dan saya merasakan karya penulisan saya terlalu teruk kualitinya.
Kemudian saya tersedar, bidang penulisan ini juga ada naik dan turunnya. Bila kita mula hilang minat dengan sesuatu yang kita sangat suka, boleh jadi itu tandanya kita terlalu penat (burn out).
Namun disebabkan saya memang telah agak lama menulis, saya berupaya untuk recover dari fasa burn out lebih cepat berbanding dengan orang lain yang bukan penulis, tapi nak menulis.
Sebab itu, ada masa-masa saya buka tawaran untuk terima job penulis upahan, dan ada masa-masa tertentu, saya terpaksa berdiam diri dan menolak semua permintaan untuk saya menulis bagi pihak klien.
Adakah anda perlukan khidmat menulis artikel?
Boleh hubungi saya.
Nyatakan juga maklumat seperti
i. Apa topik yang anda mahu saya tulis
ii. Berapa banyak bilangan patah perkataan
iii. Berapa bajet anda
Manalah tahu, kita boleh bekerjasama dimasa akan datang. Kan?
The post Servis menulis artikel appeared first on Sabree Hussin Dot Biz.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sabreehussin.biz/servis-menulis-artikel/