Semua Orang Dia Nak Buat Musuh Hemmm Entahlah
Ketika penderitaan Puteri Balqis Azizi, 13, semakin mendapat perhatian ramai, segelintir pihak tampil membuat dakwaan konon nasib pelakon cilik itu tidak mendapat pembelaan golongan artis.
Sedangkan, teman seperjuangan dalam seni tidak melupakan kesempitan hidup pelakon itu, biarpun usaha murni mereka tidak dipertontonkan kepada umum.
Baru-baru ini, pelakon, Sharifah Sakinah, menerusi Instagramnya membuat perkongsian mengenai usaha pernah dilakukan mereka bagi membantu pelakon itu.
Menurut Sakinah, dia pula berkongsi kenangan bersama teman artis lain menjual barang terpakai milik pengarah, Michael Ang, kira-kira dua tahun lalu, bukan bermaksud mahu menunjuk baik atau membuktikan sesuatu.
“Memang seronok menjual barang milik Michael Ang, ketika itu, untuk kutipan derma untuk Adik Balqis. Sampai terbaring di kaki lima.
“Kegembiraan ada kalanya menuntut pergelutan. Semua orang mempunyai masalah dan ujian datang dengan pelbagai cara.
“Menjadi perkara biasa, kalau kawan atau mereka yang kita saya sayang berdepan masalah, kita pasti akan membantu mengurangkan bebannya. Malah, Michael sendiri banyak menghulurkannya tawaran berlakon,” kata Sakinah.
Dia juga sempat berpesan agar pelakon terbabit tidak ‘membuang’ jauh orang yang dikenali ketika ditimpa masalah, sebaliknya perlu sentiasa berbuat baik dan berusaha.
Sakinah agak ralat apabila pelakon cilik itu didakwa memandang orang seni, termasuk mereka yang pernah rapat dengannya sebelum ini, seperti ‘musuh’.
“Kami tak mahu membenci dia, tetapi habis semua orang dia jadikan musuh. Saya tak faham. Ikutkan, banyak kutipan derma dan sumbangan yang diberi teman artis kepada keluarganya.
“Kalau tak percaya, tanyalah teman artis lain yang pernah terbabit dan berbesar hati membantunya. Tetapi, ke mana duit derma dan wang pendapatan yang diperoleh ketika dia aktif berlakon?” katanya.
Sebagai isteri dan ibu, Sakinah juga berharap soal pembelajaran pelakon itu perlu dititikberatkan.
“Dalam hidup ini, tak kira susah atau senang, soal pembelajaran perlu diutamakan. Hantarlah dia ke sekolah. Tak perlu nak belajar di sekolah yang memerlukan yuran mahal, sebaliknya pergi sahaja ke sekolah pendidikan biasa. Ukur baju di badan sendiri.
“Begitu juga hal kesihatan, hantar dan dapatkan rawatan di hospital. Jangan ambil mudah soal ini jika dia benar-benar memerlukan pemerhatian khusus untuk mengubati masalah atau penyakit yang ada,” katanya.
Berita Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bankami.blogspot.com/2020/01/semua-orang-dia-nak-buat-musuh-hemmm.html