Semua Laporan Berkaitan Usaha Pemuliharaan Tasik Chini Sudah Di Hantar Kepada Unesco
KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang sudah menghantar semua laporan berkaitan usaha pemuliharaan di Tasik Chini kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dalam sidang media di sini hari ini.
"(Mengenai) Tasik Chini ini, sebenarnya kita (kerajaan Pahang) telah pun menghantar 'report' kita dan semua perkara-perkara yang diperlukan supaya kita pastikan bahawa kita memenuhi dengan apa yang dibuat.
"Jadi, kita tunggu nantilah keputusan pihak UNESCO," katanya.
Dia bagaimana pun tidak dapat memberikan tarikh sebenar laporan itu dihantar selepas ditanya lebih lanjut mengenai perkara itu.
"Kita dah hantar (laporan) sebab dia juga ada 'collaborate' dengan kerajaan Pusat jugaklah, kerajaan Pusat yang akan hantar.
"Tapi laporan itu kita sudah bagi, apa-apa yang perlu untuk ditambah baik itu semua kita dah buat, jadi kita tunggu keputusan sajalah," katanya lagi.
Terdahulu, Mohd Sharkar mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan majlis prapelancaran Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022.
Acara sukan bertaraf antarabangsa yang dijadualkan September ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 membabitkan lima lokasi bermula di Pantai Hiburan, Rompin dan berakhir di Pantai Teluk Chempedak.
Semalam, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) melalui satu kenyataan media menyatakan komitmennya untuk menyokong kerajaan Pahang dalam memulihkan Tasik Chini dan mengekalkan kedudukannya sebagai Rizab Biosfera.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan pengurusan Rizab Biosfera Tasik Chini (TCBR) sejak UNESCO mengeluarkan penemuannya tahun lepas.
Katanya, inisiatif yang dijalankan adalah selaras dengan saranan Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR), termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan tiga fungsi TCBR, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menjalankan aktiviti penguatkuasaan bersepadu, dan menghentikan semua aktiviti perlombongan di kawasan tasik.
Status rizab biosfera UNESCO Tasik Chini mendapat perhatian selepas Malaysiakini pada Ahad lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.
Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.
Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO MAB pada September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.
Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2022/07/kerajaan-pahang-sudah-hantar-semua.html