Sembilan Adun Bn Satu Ph Dilantik Exco Melaka
NOR FARHANA YAACOB05 APR 2023
Rais (lima dari kiri) ketika mengetuai Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada Rabu.
MELAKA – Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka melibatkan sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri, di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka itu diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Upacara lantikan barisan Exco dibuat selepas lima hari Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri.
Sembilan ADUN BN termasuk tujuh ADUN BN yang dilantik semula sebagai Exco iaitu ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Mohd Yasin dilantik sebagai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana; ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menjawat jawatan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan dan ADUN Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Turut dilantik semula, ADUN Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman memegang jawatan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin, dilantik Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti; ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem sebagai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan serta ADUN Gadek VP Shanmugam dilantik sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)
Manakala wakil rakyat tunggal PH iaitu ADUN Kesidang,Seah Shoo Shin dilantik memegang portfolio Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
Tidak dilantik semula sebagai Exco iaitu ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan yang sebelum ini memegang Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar dan ADUN Rembia, Datuk Jailani Khamis yang memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan.
Jumaat lalu ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Sri Utama Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ayer Keroh.
Ia selepas Ketua Menteri ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/04/sembilan-adun-bn-satu-ph-dilantik-exco.html