Selangor Pinjamkan 500 000 Dos Stok Vaksin Covid Kepada Kerajaan Malaysia
Selangor mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama yang berjaya menyuntik vaksin Covid 19 dos pertama kepada 98% populasi penduduknya.
Lebih manis lagi, Selangor juga menjadi negeri pertama yang berupaya meminjamkan 500,000 dos stok vaksin kepada Kerajaan Persekutuan untuk diagih-agihkan ke negeri lain yang teruk diserang pandemik.
Menurut Menteri Besar Selangor (MB), Datuk Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri telah menghubungi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkenaan usaha berganding bahu negeri dan pusat dalam menangani Covid-19 yang semakin buruk kebelakangan ini.
“Sehingga 18 Ogos 2021, 98% warga Selangor telah menerima dos pertama vaksin. Ini berikutan penyelarasan data antara bilangan penduduk Selangor yang menerima suntikan vaksin di Pusat-Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bertempat di Selangor serta penduduk Selangor yang disuntik vaksin di PPV negeri lain seperti Kuala Lumpur.
“Sehubungan itu, saya telah berhubung dengan Ketua Pengarah Kesihatan berkenaan usaha berganding bahu dalam menangani kes Covid-19 yang mencecah 22,948 pada hari ini.
“Memandangkan situasi mendesak, Selangor telah bersetuju meminjamkan stok 500,000 dos vaksin yang dibeli bagi kegunaan SelVAX kepada CITF Kebangsaan supaya dapat digunakan di kawasan dan negeri yang mengalami peningkatan kes mendadak dengan kadar vaksin yang kurang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas MB, CITF Kebangsaan akan memulangkan peminjaman dos vaksin tersebut kemudian sebagai persediaan kemungkinan keperluan tambahan suntikan dos vaksin ataupun ‘booster dose’.
Mengenai sidang DUN yang dijadualkan pada bulan ini, Amirudin berkata, sidang tersebut akan dilakukan secara hibrid sesuai dengan Prosedur Operasi Piawai (SOP) dan kadar jangkitan harian Covid 19 yang masih tinggi di Selangor.
“Selangor dalam proses persiapan untuk sidang Dewan Negeri yang akan dimulakan dengan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 23 Ogos 2021.
“Antara usul yang akan dibentangkan adalah pindaan kepada Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor membenarkan persidangan secara hibrid. Ini juga sebagai persediaan menghadapi penularan pandemik masa hadapan atau cabaran lain yang menyukarkan persidangan secara fizikal.
“Sidang Dewan Negeri akan dijalankan dengan menepati Tatacara Pengendalian Piawai serta pengendalian saringan supaya sidang dapat berjalan dengan selamat dan lancar demi kepentingan seluruh warga Selangor,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/32868