Selamat Tunggu Kejutan Kami Hamzah Beritahu 6 Ahli Parlimen Bersatu Sokong Pm
freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar-03 Apr 2024, 06:00 PM
Hamzah Zainudin berkata kedudukan enam Ahli Parlimen yang menyokong Anwar Ibrahim akan ditentukan mengikut undang-undang.
Hamzah Zainudin berkata Bersatu tidak akan dedah tindakan seterusnya terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Bersatu akan menunjukkan bukti untuk mengesahkan enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim melanggar perlembagaan parti yang memerlukan mereka mengosongkan kerusi masing-masing.
Setiausaha Agung Hamzah Zainudin berkata kedudukan mereka “belum selamat” seperti didakwa Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, sambil menegaskan Bersatu akan bertindak berpandukan undang-undang, selain membuktikan kesalahan.
Hamzah bagaimanapun enggan mendedahkan tindakan Bersatu seterusnya termasuk bukti yang akan ditampilkan, dan berkata: “Seronoklah kalau orang lakukan kesalahan tahu Tok Hamzah nak kutip dia ikut pintu belakang.”
“Kalau orang itu melakukan kesalahan, saya takkan bagitahu dia pintu mana yang saya nak kutip dia.
“Tunggulah bila kita tunjuk bukti-bukti yang jelas,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
Hamzah mengulas dakwaan Suhaili bahawa beliau dan lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang beralih menyokong Anwar tidak perlu mengosongkan kerusi walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.
Dakwanya, ini kerana pindaan itu hanya berkuat kuasa 1 Apr sedangkan mereka menyatakan sokongan kepada Anwar sekitar Oktober hingga Januari lalu.
Mesyuarat agung khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan terhadap perkara 10 perlembagaan yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Jika itu terjadi, mereka perlu mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada pilihan raya.
Selain Suhaili, turut menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Hamzah menegaskan bukan kuasa Suhaili menentukan selamat atau tidak daripada mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Perikatan Nasional (PN).
“Beliau hendak dakwa selamat biarlah tetapi yang akan tentukan bukannya dia,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2024/04/selamat-tunggu-kejutan-kami-hamzah.html