Sekolah Dibuka Secara Berperingkat Mulai Esok Ibu Bapa Digesa Bersedia
Ahmad Mustakim Zulkifli Ibu bapa digesa peka status sekolah anak masing-masing mengikut fasa PPN. 

Ibu bapa perlu bersedia untuk  mengenal pasti status anak masing-masing menjelang pembukaan semula  sekolah di bawah Pelan Pemulihan Negara.      Menjelang pembukaan sekolah  di Kelantan dan Terengganu mulai esok, ibu bapa digesa untuk mengambil  maklum mengenai status sekolah anak-anak mereka bagi mengelakkan  tersalah hantar, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Beliau berkata, tidak semua kelas perlu pergi ke sekolah memandangkan pembukaan sekolah dilakukan secara berperingkat.
“Di negeri-negeri Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), sebagai  contoh di Terengganu ini, murid sekolah menengah yang akan hadir ke  sekolah adalah murid kelas peperiksaan iaitu murid Tingkatan Lima dan  Enam yang hadir secara bergilir, kecuali murid bagi sekolah berasrama  yang tinggal di asrama sepenuhnya dan juga murid Tingkatan Enam semester  dua,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.
  Beliau  mengadakan tinjauan di 10 sekolah di Hulu Terengganu dan Kuala  Terengganu bagi melihat persiapan akhir sekolah sebelum memulakan sesi  persekolahan secara bersemuka mulai esok.
Selain itu, katanya murid berkeperluan khas akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.
Bagi sekolah rendah, hanya murid prasekolah dan murid bekeperluan khas akan hadir secara fizikal.
“Jadi bagi ibu bapa, kami memohon supaya meneliti dan melihat negeri  dan fasa manakah sekolah anak-anak kita berada dan ikutilah ketetapan  sebagaimana yang diumumkan KPM sebum ini,” katanya.
Terengganu beralih ke Fasa Tiga PPN pada 17 September lepas, manakala  Kelantan beralih pada fasa 2 sejak 5 Julai lalu dan dijangka memasuki  fasa 3 awal bulan ini.
Bagi sekolah menengah di Terengganu, murid kelas peperiksaan  antarabangsa dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian serta  swasta akan hadir ke sekolah secara bergilir.
Dalam pada itu, katanya perkara utama yang perlu ditambah baik beberapa sekolah-sekolah di Terengganu ialah aspek pengudaraan.
  “Kita  lihat masih ada ruang untuk kita pastikan pengudaraan di dalam bilik  darjah dan bilik-bilik khas lain berada di tahap yang optimum.
“Maknanya langsir-langsir atau poster-poster yang ada ditingkap yang  menghalang pengudaraan seharusnya diketepikan atau disimpan terlebih  dahulu bagi memastikan apabila anak-anak kita hadir ke sekolah esok,  pengudaraan telah berada ditahap optimum dan berlaku dengan baik,”  katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/sekolah-dibuka-secara-berperingkat.html