Sbdj Siri 95 Di Kunjungi Gadis Waktu Malam


Macam dikejutkan sesuatu, saya terus terjaga. Saya lihat jam tua di tangan. Sudah pukul dua pagi. Badan terasa dingin. Saya segera beredar ke katil. Sebaik sahaja saya rebahkan badan di katil, perempuan yang saya temui di kaki bukit berdiri di hujung katil.


Mempamerkan senyum seiring dengan renungan dari sepasang mata yang tajam. Saya tergamam, tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

"Ubah tempat tidur?"

Saya terus membisu.

"Sudah kamu tanya pada orang-orang di sini tentang diri aku?"

Saya gelengkan kepala.

"Cuba tanya nenek kamu, tentang anak Haji Rashid yang bernama Siha. Dia tentu dapat memberikan jawapan yang tepat."

Saya kerutkan dahi, masih belum dapat mengucapkan sesuatu. Dada saya cemas dan sekujur tubuh berpeluh di malam yang begitu dingin. Saya renung kiri kanan, atas dan bawah.

Suara Datuk dan guru agama masih kedengaran. Mereka tidak lagi berbincang masalah agama, tetapi mereka membaca Quran. Saya cuba menyebut nama Datuk, malangnya suara saya bagaikan tersekat di kerongkong.

"Kamu takut dengan aku? Kamu nak panggil Datuk kamu?"

Saya anggukkan kepala.

"Datuk kamu juga kenal aku, sampaikan salam aku padanya."

"Eh, kenapa kau tak jumpa dengannya sendiri, bukankah kamu berada di rumahnya?" secara mendadak sahaja saya bersuara. Saya renung mukanya.

Kali ini, saya merasakan diri saya seperti memperoleh kekuatan tenaga yang tersendiri. Saya cuba bangun.

"Aku segan", katanya spontan.

Perempuan yang menamakan dirinya Siha terus duduk di bibir katil. Jari-jemarinya menekan permukaan tilam. Saya resah.

"Biar aku beritahu tuk yang kamu ada di sini."

"Tak payahlah, aku datang cuma nak tengok kamu saja."

"Sebenarnya, aku tak suka kamu datang ke sini lagi."

"Baiklah, kalau kamu tak suka, biar aku balik dulu," sebaik sahaja perempuan itu mengakhiri kata-katanya dia terus ghaib dari pandangan saya. Saya terus mengucap beberapa kali.

Saya segera merasa telinga dan bibir. Saya menarik nafas panjang. Saya tidak berkhayal dan juga tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata.

Aneh, kenapa perkara yang tidak masuk di akal itu terjadi di depan saya. Kalau diceritakan pada orang lain pasti jadi bahan ketawa.

Dahi segera saya kedutkan. Badan saya mula menggigil. Saya cuba berdiri di lantai, ketika itu saya terasa badan terlalu ringan dan sepasang kaki yang bagaikan tidak mampu mengimbangi berat badan.

Saya terlayah ke kiri dan ke kanan. Saya rebah ke lantai. Datuk dan guru agama segera mendekati saya.

Apa yang saya dengar hanya bunyi kokok ayam hutan bertalu-talu memekakkan telinga. Saya juga terlihat rimbunan hutan tebal. Saya bagaikan berada di dalam hutan yang amat besar.

Saya melihat ular sawa, harimau dan gajah. Semuanya menerkam ke arah saya. Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit sekuat hati dan cuba melarikan diri dari berdepan dengan semua binatang tersebut.

Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya terasa ada telapak tangan menyentuh dahi saya.

Daun telinga saya seperti dihembus sesuatu dan diikuti dengan suara lembut mengucapkan kalimat dari Surah Al-Fatihah dan Surah An-Nas berkali-kali.

Harimau, gajah, ular dan hutan tebal yang wujud di depan saya terus ghaib. Diganti dengan lautan yang bergelombang lembut.

Lubang telinga saya terus disumbat ayat-ayat suci yang biasa saya dengar malah pernah saya ucapkan. Makin jelas kalimat-kalimat suci itu masuk ke telinga saya. Makin samar-samar gelombang air laut di depan mata dan akhirnya terus ghaib.

Saya mula melihat tubuh Datuk, nenek dan guru agama. Semua menghadap ke arah saya dengan wajah yang tenang.

Mulut guru agama terus membaca ayat-ayat suci. Dari gerak mulutnya saya yakin, guru agama itu masih membaca Ayatul Kursi dengan penuh khusyuk.

"Bangun anakku," guru agama tepuk bahu kanan saya.

"Kau sebenarnya tidak apa-apa," sambungnya dengan tenang.

Senyum terus terpamer di kelopak bibirnya. Saya segera menggosok pangkal hidung beberapa kali. Nenek segera mendekati saya, badan saya dipicitnya penuh kemesraan. Datuk tidak berkata apa-apa. Matanya tidak berkedip merenung wajah saya.

"Masa kamu tak sedar tadi, apa yang kamu nampak?" soal guru agama.

"Bila saya tak sedar, bila?" saya menyoal guru agama kembali. Datuk menarik nafas panjang. Dia terus mendekati saya.

"Apa yang kamu nampak tadi?" tanyanya.

"Saya nampak..." saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Saya cuba mengingati sesuatu.

"Kamu nampak binatang, kamu nampak laut?" tiba-tiba Datuk bersuara.

Saya segera anggukkan kepala. Datuk renung muka guru agama. Cepat-cepat guru agama melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

"Lupakan apa yang kamu ingat,"ujar guru agama penuh sopan. Saya segera mengangguk. Nenek saya lihat menarik nafas lega.

"Tidurlah, kau tak apa-apa, tidurlah," Datuk seperti memujuk.

"Tidur cu," sahut nenek.

Saya pun merebahkan badan atas katil. Datuk dan guru agama segera meninggalkan saya, tetapi nenek masih setia menunggu saya di hujung katil. Mata saya masih tertumpu kepada lelangit rumah.

Saya berpusing ke kiri, berpusing ke kanan. Perasaan terasa tidak tenteram sekali.

Nenek mengikuti gerak-geri saya dengan teliti. Sesekali dia meletakkan telapak tangan kanannya ke dahi merasa suhu badan saya. Kalau panas sudah pasti saya demam.

"Kamu tak demam Tamar. Hawa badan kamu macam biasa."

"Memang saya tak demam nek."

"Tapi kamu aku tengok resah tak tentu pasal."

"Hum..."

Saya menelentangkan badan. Nenek menyelimutkan sepasang kaki saya dengan gebar. Mungkin kerana rasa mengantuk yang amat sangat, nenek terus merebahkan badannya di lantai.

Tidak sampai sepuluh minit, nenek terus berdengkur. Saya terdengar suara perempuan memanggil nama saya di halaman rumah.

Saya segera membuka tingkap. Saya lihat perempuan yang baru mengunjungi saya sebentar tadi berdiri di tengah halaman sambil tersenyum ke arah saya.

Kali ini dia memakai baju kebaya dan kain putih bersih. Rambutnya terhurai atas sepasang sayap bahu. Tangan kanannya melambai-lambai ke arah saya.

Tingkap segera saya rapatkan. Mungkin ketika daun tingkap itu bercantum telah mengeluarkan bunyi yang menyebabkan nenek terjaga dari tidur. Dia terkejut melihat saya meninggalkan katil.

"Kenapa Tamar?"

Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Cepat-cepat saya melangkah dan terus duduk di bibir katil. Sikap membisu saya menimbulkan rasa tidak puas di hati nenek.

Dia segera mahu mendapatkan Datuk yang berada di ruang tengah rumah. Sebelum nenek melangkah hasratnya itu saya halang.

SAYU

Saya bersyukur pada Allah. Nenek masih mahu mematuhi permintaan saya. Dia duduk di bibir katil merenung sayu ke wajah saya. Saya terus didakap keresahan yang memanjang.

"Kenapa kamu bangun Tamar?"

"Sengaja bangun, nek. Tak ada apa-apa nek."

"Dengan aku kamu nak berbohong?" nada suara nenek merendah.

Mengandungi rasa hampa dan kecewa yang amat sangat. Saya rasa bersalah kerana memperlakukan demikian pada nenek.

"Nek kenal tak dengan Siha, anak Haji Rashid?"

"Kenapa dengan dia Tamar?"

"Masa saya pergi ke kaki bukit menengok jerat, saya jumpa dengannya. Dia kata ayam hutan di kaki bukit kepunyaannya."

"Baa...", mulut nenek terlopong macam orang terkejut besar.

Dia renung kiri kanan. Nenek segera meraba pangkal leher dan terus termenung panjang.

"Agaknya kamu ni mimpi Tamar?"

"Tidak nek, tadi dia datang dan kirim salam pada nenek dan Datuk."

"Eh, kamu jangan bergurau Tamar."

"Saya tak bergurau nek. Kenapa nek?" saya minta satu kepastian darinya.

Nenek terus gelengkan kepala beberapa kali. Saya bertambah takjub. Kedinginan dinihari kian kuat menguasai kulit tubuh.

"Kenapa dengan perempuan tu nek, saya tak pernah dengar nama Haji Rashid dan anaknya, Siha."

"Kedua-dua manusia tu berada di kampung ni sebelum kamu dilahirkan. Aku kenal baik dengan kedua-duanya. Haji Rashid tu kawan Datuk kau. Anaknya, si Siha memang terkenal dengan kecantikannya."

"Begitu," saya segera memotong kata-kala nenek.

Saya lihat nenek tersenyum. Nenek dapat membaca rahsia hati saya yang memang minat dengan cerita yang diluahkannya itu.

"Masa zaman Jepun, Haji Rashid di tangkap kerana menentang tentera Jepun. Dia dipancung hingga mati, mayatnya dibawa ke Pulau Pinang. Sampai sekarang tidak ada sesiapa yang tahu di mana kuburnya", nenek memulakan cerita di malam yang kian mendekati siang. Saya segera melompat dari katil lalu duduk di sisi nenek.

"Anak perempuannya bagaimana nek?" tanpa sabar-sabar saya terus menyoal nenek yang kelihatan terpinga-pinga.

Perlahan-lahan nenek membetulkan silanya. Renung kiri kanan, macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.

"Apa dah jadi pada Siha, bila ayahnya mati?", saya mendesak.

Nenek menggigit bibir. Dia keberatan untuk menerangkan tentang Siha.

Kenapa? Apakah Siha sudah meninggalkan sumpahnya? Apakah cerita diri Siha memang jadi rahsia?

Macam-macam persoalan dan pertanyaan timbul dalam tempurung kepala saya. Muka nenek saya tatap.

"Panjang dan sedih ceritanya," nenek memulakan. Silanya diperkemasnya.

Kedinginan terus menggigit kulit tubuh. Suasana dinihari terasa amat sunyi. Saya tumpukan seluruh perhatian pada nenek. Saya berdoa, semoga nenek tidak akan memberhentikan cerita tentang Siha, anak gadis Haji Rashid separuh jalan.

"Sayang, gadis yang baik tu jadi korban.”

"Korban siapa nek?"

"Korban nafsu tentera Jepun. Dua bulan sesudah ayahnya hilang, ibunya pula meninggal dunia. Dia marah pada Jepun, dia berpendapat semua kecelakaan yang terjadi tu, berpunca dari Jepun."

"Jadi apa yang dilakukannya nek?"

"Dia terus menyerang pondok kawalan tentera Jepun di kepala simpang dengan pelepah kabung yang sudah ditajamkan, senjata tu dipanggil selegi kabung.”

“Berapa orang yang dibunuhnya nek?”

“Tiga orang.”

“Hebat orang perempuan bunuh tiga orang askar Jepun.”

“Bukan sebarang perempuan, dia tu pendekar. Alang-alang lelaki jangan cuba nak rapat,” nenek terus senyum panjang.

Sebaik sahaja nenek selesai bercerita terdengar tapak kaki orang memijak dedaun kering di luar rumah. Saya renung muka nenek. Tidak lama setelah itu terdengar suara perempuan batuk.

Bulu roma saya mula tegak. Badan saya terus menggeletar bila terdengar bunyi suara orang perempuan berbisik sesuatu di luar rumah.

Saya cuba mengamati buah butir perkara yang dibisikkan. Semuanya tidak jelas dan sukar di mengertikan.

“Jangan pedulikan semuanya itu,” Datuk urut ibu jari kaki kanannya berkali-kali.

Nenek kelihatan tenang. Malah terus bangun menuju ke arah pintu. Saya kira nenek mahu membuka pintu. Perkiraan saya itu tidak tepat. Nenek hanya berdiri di situ buat beberapa ketika. Kembali mendekati saya.

“Entah macam mana, Siha dapat diberkas oleh tentera Jepun. Tujuh orang tentera Jepun menangkapnya,” sambung nenek.

“Kemudian dia dibunuh?” tanya saya.

“Tidak.”

“Dia diperkosa tentera Jepun sampai mati?”

“Juga tidak.”

“Habis, apa yang jadi padanya, nek?”

“Dia berjaya melepaskan diri dan terjun ke dalam sungai dan terus hilang sehingga sekarang.”

“Ke mana agaknya dia menghilang, nek?”

“Entah,” nenek menggelengkan kepala.

Tetapi, nenek berpendapat sebagai makhluk, Siha pasti mati. Kalau masih hidup tentu dia kembali ke kampung halamannya.

Lebih-lebih lagi bila dia mengetahui keadaan negaranya yang sudah bebas dari penjajahan Jepun dan Inggeris.

“Masa Jepun menyerah pada orang putih, ada orang melihat Siha berdiri di tepi tebing sungai waktu senja, kemudian ada orang melihat Siha bermain-main di halaman rumahnya waktu terang bulan. Bila ada orang-orang kampung menyebut namanya, dia akan datang dekat orang yang menyebutnya.”

“Berapa lama masa dia datang tu nek?”

“Sekejap aje, lepas tu dia hilang entah ke mana. Masa darurat dulu ada orang ternampak dengannya. Kemudian orang-orang kampung baca Yasin beramai-ramai. Dia terus hilang, sekarang dia datang balik. Anehnya, dia mencari kamu", nenek menamatkan ceritanya.

Dan saya tidak mahu bertanya tentang Siha pada nenek lagi.

Saya kembali atas katil semula. Nenek masih duduk sambil berdiri lutut. Perlahan-lahan saya rebahkan badan atas katil untuk beberapa detik sahaja. Saya bangun kembali.

"Apa yang kita dengar tadi nek, boleh jadi suara Siha?" saya tatap wajah nenek.

"Dia sudah tak ada, jangan fikirkan tentang dirinya. Kau tidur, jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan. Kalau dia datang biar aku selesaikan," jawab nenek.

Saya menarik nafas panjang-panjang. Rebahkan badan atas katil, kembali merenung lelangit rumah. Saya baca beberapa ayat Quran untuk mencari ketenangan dan akhirnya saya terlelap.

Bila kelopak mata saya buka, nenek sudah tiada di sisi. Rasa marah dan geram mula bersarang dalam dada. Kenapa saya ditinggalkan sendirian. Ini sudah keterlaluan? Di mana letaknya rasa kasih sayangnya pada saya?

Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, terdengar suara azan Subuh sayup-sayup menyentuh gegendang telinga.

Saya segera bangun lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, saya lihat nenek berdiri dekat pintu dapur. Dia merenung ke arah saya dengan senyum.

"Cepat, Datuk dan kawannya menanti di kaki tangga."

"Hum, saya fikirkan tadi nak sembahyang di rumah."

"Sudahlah, jangan banyak cerita. Pergi siap."

Saya terus masuk bilik. Pakai kain sarung dan baju kemeja putih. Songkok hitam saya letak melintang di kepala. Melangkah keluar menuju ke pintu.

"Apa yang kamu tanya, apa yang kamu rasakan, semuanya sudah nenek sampaikan pada Datuk kamu", kata nenek sebaik sahaja saya melintas di depannya.

"Kenapa nenek cerita dengan Datuk?"

"Itu cara yang baik, barangkali dia lebih banyak tahu perkara begitu dari aku.”

“Tapi, saya tak suka, nek."

“Suka atau tidak, perkara tu dah terjadi.”

Saya diam dan terus menggabungkan diri dengan Datuk dan guru agama yang menanti di kaki tangga.

Kami meredah kabus pagi yang bangkit dari permukaan tanah kampung. Langkah terus dipercepatkan.

Sampai di masjid terus tunaikan sembahyang fardu dengan berimam tuan guru. Lepas itu diadakan kuliah Subuh. Kali ini memperkatakan tentang ilmu Tauhid.

Selesai mengikuti kuliah Subuh, semua para jemaah bersarapan pagi di luar kawasan ruang sembahyang. Seorang penduduk yang baik bati menyediakan makanan dan minuman untuk sarapan.

Satu hal yang membanggakan diri saya, orang kampung yang baik hati itu tidak pernah memberitahu pada para jemaah yang dia menyediakan sarapan pagi setiap kali kuliah Subuh diadakan. Hanya tuk siak dan bilal sahaja yang tahu.

Saya tidak tahu, siapakah manusia dermawan di kampung tumpah darah saya itu. Memang sukar untuk mengesaninya.

Siak dan bilal tetap bersikap tutup mulut. Bagi mereka memberitahu nama penderma pada orang lain adalah perbuatan tidak amanah dan bersubahat menggalakkan amalan riak serta takbur dalam masyarakat Islam.

Bagi orang-orang kampung, mereka menderma dengan rasa ikhlas pada saudara seagama dan sebangsa.

Bukankah meringankan beban saudara seagama itu memang dituntut oleh Allah. Tetapi, bila pertolongan itu jadi bualan atau dihebohkan, perbuatan begitu memang tidak baik dan tidak digalakkan oleh Allah dan boleh mengurangkan pahala dari amalan yang kita lakukan.

Orang-orang kampung rata-ratanya mendapat pendidikan dari sekolah atap di zaman penjajah begitu patuh dengan ajaran agama. Mereka tidak buat apa yang ditegah.

Mereka lakukan apa yang disuruh oleh Allah dengan rendah hati dan penuh kejujuran. Mereka bercakap benar. Menjaga amanah yang diberikan.

Jika ada orang hulurkan wang derma untuk surau atau masjid, wang itu tetap digunakan untuk masjid, tidak hilang di tangan atau menjadi hak orang lain.

Orang yang menderma pula tidak minta resit atau sebarang tanda yang mereka telah menderma.

Prinsip mereka mudah sahaja. Tugas mereka hulurkan derma dengan ikhlas. Tugas orang yang menerima derma mesti menjalankan kewajipan dengan betul hingga derma itu dapat di manfaat seperti yang diingini.

Kalau tukang kumpul derma menggelapkan wang derma tersebut, itu adalah urusan dirinya dengan Allah.

Orang yang menderma tak perlu mengheboh-hebohkan perkara tersebut. Tidak perlu menceritakan keburukan pengutip derma pada oran.

Perbuatan membuka pekung seseorang pada orang lain adalah perbuatan yang ditegah oleh Allah.

Orang yang wajar bertindak ialah ahli jawatankuasa masjid atau surau. Mereka boleh bermuafakat dengan orang yang melakukan kesilapan.

Minta orang yang terlibat membetulkan kesilapan yang dibuat. Kalau orang yang terlibat tidak mahu, perkara tersebut dibawa ke pengetahuan pihak yang berkuasa.

Biasanya, orang yang melakukan kesilapan akan insaf dan terus membetulkan kesilapan yang dibuat.

Bila perbuatannya dibetulkan, dia akan bertindak meninggalkan kampung, berpindah ke tempat baru. Malu merenung muka penduduk kampung.

Kalau tidak pindah, dia akan mengadakan majlis pertemuan dengan orang-orang kampung dalam masjid.

Dalam majlis pertemuan itu, pak imam akan bertindak sebagai kepala. Menerangkan pada orang kampung apa yang terjadi.

Kemudian, orang yang melakukan perbuatan salah itu segera bangun secara terbuka tentang perkara yang dilakukannya.

Bila orang-orang kampung memberi jawapan yang mereka memaafkan perbuatannya itu, orang tersebut akan menemui setiap orang kampung. Majlis minta maaf itu akan diakhiri dengan pembacaan doa.

Orang-orang kampung diingatkan jangan mengungkit-ungkit perkara tersebut oleh pak imam.

Biasanya, bila sudah diingati begitu, tidak ada seorang pun yang berani menyebut-nyebut perkara yang lalu.

Di kampung, imam dihormati dan buah fikirannya dikagumi. Biasanya, orang yang jadi imam orang yang sudah berumur, luas pengetahuan agamanya.

"Tamar, apa yang kamu ingat?"

Saya segera garu pangkal leher. Renung ke kanan, menatap wajah kawan yang menegur saya.

Dia ketawa kecil. Renung hidangan di depan. Nasi lemak dan air kopi masih seperti tadi, tidak berubah tempat.

"Sejak duduk tadi, aku tengok kamu menung aje, tengok orang dah selesai makan, barang makanan kau tak jamah", tambah kawan itu.

"Aku memikirkan sesuatu."

"Apa yang kau fikirkan?"

"Tentang orang yang menyediakan sarapan pagi ni."

"ltu bukan urusan kita. Itu urusan penderma dengan Allah. Urusan kita ialah makan apa yang ada di depan kita."

"Betul juga cakap kamu", balas saya.

Kami ketawa dan saya pula menjamah sarapan pagi.

Selesai sahaja bersarapan, saya terus mendekati Datuk dan guru agama yang menanti saya di halaman masjid.

Para jemaah seorang demi seorang pulang ke rumah masing-masing di bawah keramahan sinar matahari pagi.

"Datuk kamu dah ceritakan pada aku, apa yang kamu alami," guru agama itu renung muka saya dengan senyum.

Saya tidak memberikan sebarang jawapan. Saya kira kisah itu tidak wajar diceritakan pada manusia seperti guru agama. Boleh mengganggu tugasnya.

"Perkara seperti itu tidak mustahil, apa yang mesti kamu fikirkan ialah betapa Maha Kuasa Allah. Boleh mengadakan sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan," lanjut guru agama itu lagi.

Saya renung muka Datuk. ingin mendengar pendapat darinya. Datuk terus membisu.

Dalam saat-saat demikian, saya kira tidak ada gunanya mengenangi apa yang telah terjadi. Saya mahu segera pulang ke rumah.

"Syaitan tak akan berhenti dari menguji keimanan manusia. Bila dunia dah kiamat, dah hancur baru syaitan berhenti menyesatkan manusia," terdengar suara Datuk seperti orang merungut.

Guru agama yang berdiri tidak jauh darinya dapat mengikuti dengan teliti apa yang diucapkan oleh Datuk.

"Ini sudah jadi perkara biasa. Kita harus mengawal diri supaya jangan terpengaruh, terutama mengawal keinginan dan nafsu", sahut guru agama sambil meraba-raba pangkal dagunya dua tiga kali.

"Barangkali ini ujian untuk manusia."

"Perkara ini, bukannya barangkali, tetapi memang benar dihadapkan pada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuan akal fikiran manusia digunakan dengan sebaik mungkin."

"Ya, itulah kebesaran Allah," ucap Datuk setelah mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh guru agama.

Guru agama terus mendekati saya. Bahu saya ditepuknya dua tiga kali. Matanya menatap seluruh wajah. Dia senyum.

"Bila kamu diberikan kekayaan, kau jangan lupa kekayaan itu bukan milik kamu."

"Sebab?" saya bertanya.

"Kekayaan itu milik Allah, kau cuma diberikan amanat, untuk menjaga dan menggunakannya. Di akhirat nanti, cara kita menggunakan dan memanfaatkan kekayaan akan disoal."

"Oh," mulut saya terlopong.

"Kekayaan yang ada itu, pada bila-bila masa saja boleh diambil oleh Allah dengan berbagai-bagai cara seperti dicuri orang, terbakar dan macam-macam lagi."

"Begitu," saya anggukkan kepala.

Senyum guru agama bertambah lebar. Datuk tetap memperhatikan dengan teliti segala tindak-tanduk guru agama pada saya. Sesekali saya lihat Datuk senyum.

"Eloklah diberikan nasihat padanya," suara Datuk meninggi.

"Bukan nasihat, kami bercerita," jawab guru agama.

"Bercerita?", saya terkejut.

Datuk terus ketawa. Saya tidak tahu apa yang menggelikan perasaannya hingga Datuk ketawa begitu.

"Saya bercerita, terpulanglah pada kamu untuk gunakan akal fikiran, apakah perkara yang saya ceritakan itu memang benar atau tidak? Kalau benar atau betul kau ikut, kalau salah kamu buang," lanjut guru agama.

"Cucu saya tu, tak faham bercakap macam tu, dia tak faham bahasa kiasan," sahut Datuk.

''Tak apa, suatu hari nanti dia akan faham," sanggah guru agama.

Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat guru agama tersebut.

Panas pagi mula beransur keras, langit nampak cerah dengan gumpalan awan putih bersih.

Guru agama segera mendekati Datuk. Hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan mereka bergoncangan.

"Saya balik dulu", lembut suara guru agama.

"Selamat jalan. Kalau ada umur kita jumpa lagi."

"Saya juga berharap macam tu. Jaga cucu awak baik-baik."

"Insya-Allah", jawab Datuk.

Kami pun berpisah dengan guru agama tersebut. Kata Datuk, rumah guru agama agak jauh. Kira-kira lima puluh batu dan terpaksa naik bas.

"Berapa dia dapat duit mengajar tuk?"

"Hum...", Datuk seperti tersentak.

Langkahnya terus dimatikan matanya merenung langit dan awan.

"Kenapa kamu tanya macam tu Tamar?"

"Setahu saya, bila seseorang itu dipanggil guru dia dapat gaji macam guru sekolah, ada kereta dan rumah tapi guru ini naik bas pula?"

Datuk menggaru kulit pipinya yang tidak gatal. Perjalanan yang terhenti diteruskan kembali.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 95/284

BACA: SBDJ Siri 94: Penjaga Ayam Hutan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2019/07/sbdj-siri-95-di-kunjungi-gadis-waktu-malam.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 96 Harimau Disangka Kucing

Sbdj Siri 96 Harimau Disangka Kucing

papar berkaitan - pada 30/7/2019 - jumlah : 270 hits
Sudah hampir lima rantai berjalan Datuk tidak juga menuturkan sesuatu Saya masih sabar menanti jawapan darinya Tetapi lama kelamaan rasa sabar itu segera bertukar menjadi rasa cemas dan takut Mungkin Datuk tersinggung atau mungkin dia marah...
Adakah Anda Mengalami Masalah Untuk Tidur Pada Waktu Malam Ini Mungkin Tips Yang Baik

Adakah Anda Mengalami Masalah Untuk Tidur Pada Waktu Malam Ini Mungkin Tips Yang Baik

papar berkaitan - pada 22/7/2019 - jumlah : 324 hits
Adakah anda mengalami masala untuk tidur pada waktu malam Ini mungkin tips yang baik Hasil dari penelitian 5 322 kajian pengkaji dari University of Texas at Austin menemui Hot shower 1 2 jam sebelum waktu tidur dapat mempercepatkan rasa men...
View Sekitar Dataran Pahlawan Di Waktu Malam

View Sekitar Dataran Pahlawan Di Waktu Malam

papar berkaitan - pada 22/7/2019 - jumlah : 323 hits
Asslammualaikum Dunia Dataran Pahlawan waktu malamKorang yang dah datang Melaka tue mesti dah sampai ke pusat Bandar kan oleh kerana Melaka ingin dikenali sebagai bandar membeli belah memang tak heran lar kanan kiri semua nya shopping mall ...
7 Minuman Untuk Mudah Lena Di Waktu Malam

7 Minuman Untuk Mudah Lena Di Waktu Malam

papar berkaitan - pada 25/7/2019 - jumlah : 262 hits
Masalah sukar tidur pada waktu malam memang memberikan masalah terutamanya jika anda perlu bangun pagi keesokan harinya untuk ke pejabat atau menghadiri kuliah dan mesyuarat Ada beberapa jenis minuman yang boleh anda cuba untuk membantu mem...
Waktu Mustajab Doa Pada Malam Hari

Waktu Mustajab Doa Pada Malam Hari

papar berkaitan - pada 17/7/2019 - jumlah : 356 hits
Soalan Bilakah waktu yang mustajab pada waktu malam sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith Jawapan Doa merupakan senjata buat orang orang yang beriman dan ia merupakan salah satu ibadah yang amat istimewa kerana ia menghubungkan secara...
Sbdj Siri 92 Bomoh Tua Bawa Bencana

Sbdj Siri 92 Bomoh Tua Bawa Bencana

papar berkaitan - pada 19/7/2019 - jumlah : 180 hits
Kuku di ibu jari saya di gigit dan sepasang mata meraut wajah Datuk Cara yang sangat mengejutkan dan langsung tidak diduga kemudian Datuk terus menepuk bahu kanan saya Pergi ambil air sembahyang Tamar Sejuk tuk Pergilah jangan banyak cakap ...
Kalau Jumpa Sophia Waktu Malam Saya Akan Lari Seloroh Dr M

Kalau Jumpa Sophia Waktu Malam Saya Akan Lari Seloroh Dr M

papar berkaitan - pada 18/7/2019 - jumlah : 342 hits
Robot yang dihasilkan daripada Kecerdasan Buatan Sophia membuat penampilan pertama di Malaysia hari ini
Sbdj Siri 89 Cawan Bergerak Sendiri

Sbdj Siri 89 Cawan Bergerak Sendiri

papar berkaitan - pada 13/7/2019 - jumlah : 202 hits
Guru silat terus menggosok gosok batang tongkat dengan secebis kain kuning Saya hanya tersenyum merenung ke arah guru silat Saya terus ke dapur membuat air kopi Datang ke ruang tengah dengan dua cawan kopi yang masih panas Kenapa Tamar Saya...
Sbdj Siri 93 Masih Dalam Ujian

Sbdj Siri 93 Masih Dalam Ujian

papar berkaitan - pada 20/7/2019 - jumlah : 308 hits
Hujan turun mencurah curah Dentuman petir memekakkan telinga dan mengecutkan tali perut Tempias hujan terus menerpa ke kamar lalu jatuh atas halaman akhbar yang tersadai di dada meja Rasa dingin terasa menggigit kulit tubuh Tingkap segera s...
Pas Mocks Madani Gov T After Pmx Loosely Faulted Rushed Flawed Trials Of High Profile Cases Post 2018 Ge

Sah Kes Najib Razak Cacat

Icac Found No Case Rahman Dahlan Defends Musa S Appointment

Slot Qris Explained The Key To Faster And Safer Gaming Transactions

Tenure Of Sabah Sarawak S Top Judge Extended Says Source

Rahsia Kawal Gula Dalam Darah Supaya Tak Melompat Lompat Lagi

Tremendous Nadi Collaboration

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu


echo '';
Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Cinta Bukan Milik Kita Slot Samarinda TV3


Kata Kata Motivasi Tahun Baru 2025

Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun

Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Pelajari Kesalahan Trader Pemula Untuk Persiapan Trading Profit Maksimal 2025