Waktu Mustajab Doa Pada Malam Hari
Soalan:
Bilakah waktu yang mustajab pada waktu malam sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith?
Jawapan:
Doa merupakan senjata buat orang-orang yang beriman dan ia merupakan salah satu ibadah yang amat istimewa kerana ia menghubungkan secara terus seseorang hamba itu dengan Penciptanya iaitu Allah SWT. Bahkan kita amat dituntut untuk menghidupkan malam. Firman Allah SWT:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah (solat tahajjud) padanya, sebagai solat tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan serta menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Al-Isra’: 79)
Berdasarkan kepada soalan di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan terlebih dahulu hadith yang dimaksudkan iaitu berkaitan waktu yang mustajab untuk berdoa kepada Allah SWT pada waktu malam. Daripada Jabir bin Abdillah RA berkata, Nabi SAW pernah bersabda:
إِنَّ فِي اللَّيْلِ لَسَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ، يَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ
“Sesungguhnya pada satu malam ada satu waktu, tidaklah seorang Muslim itu memohon kepada Allah akan sesuatu kebaikan daripada urusan dunia dan akhirat, melainkan Allah SWT akan memperkenankannya. Demikian itu berlaku pada setiap malam.” [Riwayat Muslim (757)]
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan bahawa terdapat satu masa yang mustajab pada setiap malam dan hadith ini juga menggalakkan untuk sentiasa berdoa pada setiap masa (di waktu malam) dengan harapan akan terkena pada waktu yang mustajab itu. [Lihat: al-Minhaj, 6/36]
Melihat kepada syarahan para ulama berkaitan hadith ini, tidak dinyatakan bilakah waktu yang dimaksudkan oleh hadith. Selain itu juga, antara hikmah Allah SWT menyembunyikan waktu yang dimaksudkan itu agar kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencarinya. Tambahan pula, hal ini sama seperti Allah SWT menyembunyikan malam al-Qadar dan juga waktu yang mustajab pada hari Jumaat kepada kita. Ini kerana, kita amat digalakkan untuk sentiasa menghidupkan malam dengan amal ibadah seperti solat, berzikir, membaca al-Quran, berdoa dan sebagainya. Solat di waktu malam merupakan solat yang terbaik selepas daripada solat fardhu berdasarkan kepada sebuah hadith:
Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi SAW pernah ditanya apakah solat yang terbaik selepas daripada solat fardhu. Jawab Baginda SAW:
أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ
“Solat yang paling afdhal selepas solat fardhu adalah solat di tengah malam.” [Riwayat Muslim (1163)]
Tambahan pula, doa yang terbaik juga adalah doa di tengah malam, berdasarkan kepada sebuah hadith:
Daripada Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya berkaitan doa apakah yang paling didengari oleh Allah SWT. Jawab Baginda SAW:
جَوْفَ اللَّيْلِ الآخِرِ، وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ المَكْتُوبَاتِ
“Doa di tengah malam dan selepas daripada solat fardhu.” [Riwayat al-Tirmidzi (3499), Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan]
Penutup
Kesimpulannya, di antara tanda sifat pemurah dan penyayang Allah SWT kepada kita semua adalah dengan menyediakan pada setiap malam satu masa atau waktu yang mustajab buat hamba-hamba-Nya. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada kita agar sentiasa memburu atau berusaha untuk mencari waktu yang mustajab tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kesempatan serta mengurniakan kita waktu-waktu yang istimewa seperti ini kepada kita. Amin.
Wallahua’lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/07/waktu-mustajab-doa-pada-malam-hari.html