Sbdj Siri 28 Kubur Berasap


Saya masih dapat mengawal perasaan. Datuk pun memadamkan api yang membakar sumbu lilin. Nyamuk mula menggigit cuping telinga dan muka. Dalam samar-samar senja itu datuk memandang wajah saya tepat-tepat.


"Kita balik saja”, kata datuk.

"Kenapa?"

"Jangan banyak soalan, ikut cakap aku."

"Tapi tok.."

"Jalan”, pekik datuk.

Saya lihat wajah datuk lain macam. Langkah datuk cukup cepat. Saya lihat tapak kakinya bagaikan tidak menyentuh bumi.

Supaya tidak ketinggalan jauh darinya, saya terpaksa berlari tanpa memandang ke kiri dan ke kanan.

Kemudian saya terdengar bunyi yang ganjil dari arah belakang, macam bunyi tapak kaki orang memburu saya.

Bila di toleh ke belakang tidak ada suatu pun yang saya nampak kecuali dedaun rumput menutup bumi yang runduk kena pijak.

Saya terdengar bunyi suara reriang rimba yang bertali-temali. Bunyinya berubah dari satu pokok ke satu pokok. Bunyinya cukup nyaring dan memanjang pula.

Kata nenek, kalau reriang rimba berbunyi dalam bunga senja dan bunyinya tidak putus, membawa alamat ada penghuni kampung yang akan meninggalkan kampung dan tidak akan kembali hingga hari kiamat.

"Siapakah yang akan mati?", timbul pertanyaan dalam hati kecil saya.

Tentu saja pertanyaan itu tidak akan menerima jawapan dari sesiapa.

Barangkali, kalau pertanyaan yang sama diajukan pada datuk kemungkinan menerima jawapannya cukup cerah.

Sayang, saya tidak berani bertanya padanya. Datuk terus melangkah. Saya renung ke kiri. Pokok getah berdaun lebat tertegun kaku. Saya toleh ke kanan, pohon-pohon koko yang berbuah rapat-rapat tidak bergerak.

"Tok”, mendadak saja memanggil nama datuk dalam warna senja yang kian gelap itu.

Datuk berhenti. Entah macamana sepasang mata saya tertumpu pada sepasang kakinya yang tidak memijak bumi.

Saya kedutkan kening dan dahi. Belum pernah saya melihat datuk dalam keadaan demikian. Hati saya mula ragu-ragu. Apakah saya berhadapan dengan datuk atau dengan satu makhluk asing yang menyerupai datuk.

Bagi membuktikan apakah datuk yang wujud di hadapan saya itu datuk yang sebenar atau sebaliknya, saya segera menarik hujung bajunya dengan sekuat hati.

Badan saya bagaikan ditarik oleh satu kuasa menyebabkan saya terdorong ke depan. Bahu sebelah kanan saya menyondol pangkal belikat datuk.

Kemudian saya terasa satu hentakan yang amat kuat mengenai pangkal telinga kanan saya. Seluruh badan terasa lemah. Saya tidak mendengar apa-apa.

Semuanya terasa sunyi dan sepi. Saya tidak tahu, berapa lama saya berkeadaan demikian.

Saya tersedar apabila badan saya digoyang oleh datuk beberapa kali. Telinga saya diasak dengan bacaan ayat-ayat suci. Bila saya membuka mata, saya lihat datuk tersenyum.

"Saya lihat datuk ber.."

"Aku faham”, datuk memotong cakap saya dan menyuruh saya bangun.

Suasana sekeliling bertambah kelam. Bunyi suara burung kuang-kuik cukup jelas kedengaran.

Kata orang tua-tua, burung itu berbunyi dari atas kepala harimau. Ada juga yang mengatakan burung itu jadi kepala jalan kepada hantu dan syaitan. Sering berbunyi waktu senja begini dan tengah malam menjelang subuh.

Saya tidak boleh bangun. Kedua belah sendi lutut saya terasa longgar, tidak mampu menahan badan saya agak gemuk ini.

Bunyi suara burung kuang-kuik semakin dekat. Saya cemas dan saya faham, kalau tidak kena caranya saya dan datuk akan jadi korban harimau.

"Kita dalam bahaya tok. Rumah Omari agak jauh tok."

"Tak apa. Sepatutnya kau tidak boleh menegur aku bila melihat aku dalam keadaan yang ganjil."

"Kenapa tok tak cakap tadi?"

"Aku terlupa”, kata datuk dengan wajah yang kesal.

Tanpa diminta, datuk menerangkan pada saya bahawa, dia terpaksa berjalan atas angin untuk menghindarkan sebarang kejadian buruk.

Menurut datuk, jarak tapak kakainya dengan bumi lebih kurang satu kaki setengah ruang yang kosong antara tapak kaki dengan bumi akan dilalui oleh angin yang boleh memisahkan kuasa jahat dari meresap ke dalam tubunya.

"Apa dia kuasa jahat tu tok?", tanya saya.

"Jin tanah atau jembalang tanah."

"Ganjil benar bunyinya. Ini dah tahyul tok”, kata saya sambil tersenyum.

Belum pun datuk memberikan jawapan pada pertanyaan itu, saya tercium satu bau yang agak ganjil.

Suara burung kuang-kuik terdengar dari dahan pokok atas kepala. Datuk masih juga bertenang. Dia suruh saya berdiri tetapi saya tidak berdaya.

"Kalau aku berjalan memijak bumi tadi, tentu saja aku lumpuh semua badan. Tempat ini agak keras”, dengan mendadak saja datuk memberitahu saya.

Datuk juga menyatakan, sekiranya saya tidak menarik bajunya, perkara itu tidak berlaku pada diri saya.

Sebabnya, ketika dia berjalan tadi semangat dan perasaannya sudah disatukan dengan semangat saya.

Datuk pun memicit buku lali kanan saya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Hari bertambah gelap. Bunyi reriang rimba tidak kedengaran lagi.

Ternyata usaha yang datuk lakukan tidak dapat memberikan kejayaan. Saya tidak mampu berdiri dan saya rasa tempurung lutut sudah tidak wujud pada tempatnya.

"Kau tahu Tamar kenapa aku berjalan atas angin?"

"Tak tahu."

"Kau perlu belajar dan mengenal adat budaya dan kepercayaan nenek moyangmu yang tidak lari dari asas agama Islam."

"Maksud tok?"

"Manusia tidak dapat melarikan diri dari empat unsur ini iaitu, tanah, air, api dan angin. Begitulah yang dikatakan oleh guruku."

"Sebab apa begitu tok?"

"Kalau tidak ada benda-benda ini, manusia tidak akan dapat bergerak atas alam ini."

"Maksud tok memang saya tak faham."

"Mudah saja. Manusia berasal dari tanah akan kembali ke tanah. Air pula mesti ada dalam tubuh manusia. Api yang bermaksud darah mesti ada dalam diri manusia. Begitu juga dengan angin, jika tidak ada angin manusia tidak akan boleh bemafas."

Saya terdiam mendengar keterangan dari datuk itu. Lalu dia menyatakan makhluk lain sama ada dari jin dan sebagainya juga bergantung pada perkara-perkara yang disebutkan itu.

"Pada zahirnya, engkau nampak kakiku tidak memijak bumi. Tetapi dari segi kebatinannya aku tidak terpisah dengan bumi, seluruh pancaindera bertaut rapat dengannya.

"Kerana itu aku tidak boleh bercakap atau mengerakkan tubuhku. Bila bergerak, kuasa jahat akan meresap ke tubuhku”, datuk pun memberikan penjelasan.

Saya mahu mengerti dan faham. Apa yang saya ragukan selama ini dengan sendirinya sudah terjawap.

Datuk merenung wajah saya dengan tepat dan tajam sekali. Dari sinar matanya itu, datuk seolah-olah berkata begini:

“Jangan kau tanya lagi hai cucuku, Tamar Jalis.”

Saya terkejut dari ribuan pokok sebelah kiri, seekor harimau muncul. Misainya bergerak-gerak dan dalam samar-samar senja itu sinar matanya seakan-akan bercahaya.

"Kau datang sayang”, kata datuk.

Harimau bergerak untuk menghampiri datuk. Dengan tenang datuk menghulurkan lengan tangan kanan kanannya pada harimau itu.

Lidah harimau yang panjang dan merah itu menjilat kulit lengan kanan merebahkan bulu-bulu roma hitam dan lebat di tangan datuk yang kaya dengan urat.

Datuk lalu memeluk leher harimau. Datuk merabah-raba misai harimau, dan harimau besar itu menguap panjang. Taringnya yang tajam berwarna putih jelas kelihatan.

"Kau tahu aku dalam kesusahan, kau datang ya”, ujar datuk lagi.

Harimau itu terus merebahkan badannya ke atas bumi, bergerak kekanan sambiI menggerak-gerakkan ekornya penuh manja. Datuk pun mengurut-urut-urut badan harimau itu berkali-kali.

"Cucuku sakit. Kau jilatlah tempurung lututnya.”

Sebaik sahaja datuk selesai bercakap, harimau itu bangun. Harimau itu menggeliat dengan kedua belah kaki depannya mencengkam bumi.

Manakala kedua belah kaki belakangnya menendang bumi menyebabkan bahagian belakang badannya meninggi dan bahagian kepalanya rendah separas bumi.

Harimau itu mengaum kecil sambil membetulkan kedudukan badannya seperti asal.

"Kau harus membuatkan senaman macam harimau ini untuk menguatkan pinggang dan urat-urat kaki dan tangan serta belikat dari diserang lumpuh.

"Jadikan amalan setiap pagi dan petang”, kata datuk pada saya sambil menyuruh saya melihat gerak-geri harimau tersebut.

Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh datuk pada saya, lalu mengulangi perbuatannya itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

Dengan tenang harimau itu membuka mulutnya luas-Iuas lalu menjulurkan lidahnya hingga ke pangkal leher.

Dengan tenang harimau itu menghampiri saya. Apa yang saya rasai ialah rasa geli dan sejuk di bahagian kepala lutut, bila lihat harimau itu menjilat kulit badan saya dari kepala lutut hingga ke buku lali.

Sesekali saya terasa gigi harimau yang tajam itu berlari-lari lembut atas tempurung lutut.

Saya kira lebih kurang tiga minit harimau itu menjilat dari tempurung kepala hingga ke buku lali.

Harimau itu terus mengaum panjang dan menghilangkan diri dalam sekelip mata. Burung Kuang-kuik berbunyi kembali.

Datuk menyuruh saya bangun. Memang menakjubkan, saya dapat berdiri dengan cukup baik sekali. Saya boleh melangkah dengan penuh tenaga dan kekuatan.

"Bagaimana? Kau kuat sekarang?"

"Ya tok, saya kuat."

Tiba-tiba datuk mengikat kedua belah mata saya dengan kain hitam. Dia menyuruh saya berdiri betul-betul disebelah kanannya.

Datuk pun meletakan tangan ke atas bahu saya.

"Langkah setapak ke depan dengan kaki kanan”, ujar datuk.

Perintahnya itu saya patuhi. Apa yang saya alami selanjutnya ialah badan rasa melayang. Bunyi angin cukup kuat memukul gegendang telinga. Saya bagaikan terkhayal sejenak.

"Sedia.”

Saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu saya terasa sepasang kaki saya memijak bumi.

Datuk pun membuka mata. Saya dan datuk sudah pun berada di kaki tangga rumah Omari. Dengan wajah yang tenang Omari menjemput kami naik ke rumah.

Kerana waktu Maghrib hampir tiba, saya dan datuk tergesa-gesa mandi dan mengambil air sembahyang.

Datuk dan Omari berbual-bual di ruang tengah sementara menanti waktu Isyak.

Kerana Omari sudah berpisah dengan isterinya, dia hanya menyediakan untuk makan malam sekadar yang termampu olehnya.

Malam itu kami makan nasi beras bukit berlaukkan ikan kembung rebus yang sudah digoreng serta sambal belacan. Makanan yang disediakan amat menyelerakan.

Untungnya, kami makan sesudah menunaikan sembahyang Isyak, kalau tidak sudah pasti saya rasa tidak selesa untuk rukuk dan sujud.

Lebih kurang pukul sepuluh malam, saya dan datuk meninggalkan rumah Omari menuju ke masjid.

Sebelum berangkat, Omari memberi pesan supaya berhati-hati bila tidur dalam masjid tersebut. Menurutnya, sudah banyak orang dicampak keluar dari masjid kerana bercakap tidak senonoh dan ikut suka hati.

Omari juga menyatakan masjid itu dikawal oleh jin Islam. Berdasarkan dari keterangan itu, saya merasakan bukanlah satu perkara yang ganjil kalau masjid itu dipanggil masjid jin.

Satu perkara yang tidak menyenangkan hati saya ialah untuk sampai masjid tersebut, terpaksa melintas tanah perkuburan yang amat luas.

Memang jadi kebiasaan pada diri datuk, dia lebih suka berjalan waktu malarn tanpa membawa pelita minyak tanah atau lampu suluh.

Sedang kami berjalan, tiba-tiba datuk berhenti. Dia bagaikan nampak tubuh manusia bergerak dalam gelap di celah-celah batu nisan yang terpacak kejap di situ.

"Datanglah. Aku kenal awak. Sama-sama anak Adam”, nada suara datuk cukup keras.

Saya lihat datuk menekapkan kedua belah tangannya ke pangkal leher. Saya segera merapatinya.

"Keluarlah”, ujar datuk lagi.

Tidak ada jawapan dan tindak balas dari makhluk yang dilawan bercakap oleh datuk. Saya dan datuk terus tegak kaku di situ.

Dalam gelap itu saya rasa ada orang bergerak, memintas di depan kami. Datuk melompat dengan mendadak kira-kira dalam jarak enam kaki tingginya.

Bila datuk berdiri semula di tempat asalnya, dia sudah pun memegang pergelangan tangan seorang lelaki tua.

"Nyalakan lampu minyak tanah kau."

Lelaki itu patuh dengan cakap datuk. Dari cahaya lampu minyak tanah itu, jelas kelihataan wajah lelaki dalam usia lima puluhan. Wajahnya pucat sungguh.

"Dari mana kau?", soal datuk.

"Saya menyiramkan air yassin ke kubur yang menjerit."

"Kubur siapa?"

"Anak Omari."

"Kau siapa?"

"Saya Mohammad Tammat. Sayalah yang menjaga seluruh kawasan kubur ini dan saya tinggal di pondok belakang masjid."

Bagi memastikan orang yang berkata itu manusia sebenar atau makhluk lain yang menjelma sebagai manusia, datuk menggengam sekepal tanah. Tanah itu datuk gosokkan ke lengan lelaki itu.

Datuk senyum, Mohammad Tammat memang manusia sebenar kerana tanah yang digosokkan ke lengannya melekat di kulit. Dan Mohammad Tammat menjerit bila tanah itu ditekan kedalam uratnya.

Datuk pun menceritakan tujuannya datang ke situ. Dengan senang hati Mohammad Tammat sendiri memasang tiga pelita minyak tanah dalam masjid tersebut.

Bila semua urusannya selesai Mohammad Tammat pun pulang ke pondoknya.

Memang ada terasa seram sejuk bila berada dalam masjid tersebut. Datuk menyuruh saya tidur di sudut masjid berhampiran dengan tingkap dan pintu.

Datuk terus sembahyang sunat masjid. Selesai sembahyang datuk terus membaca al-Quran. Saya akhirnya terlelap.

Bila saya terjaga dari tidur, di hadapan saya terdapat seorang tua berjanggut memakai serban dan jubah hijau. Air mukanya cukup bersih bagaikan ada cahaya ketenangan di wajahnya.

"Kau tidur di sana nak”, katanya tenang.

"Terima kasih."

Saya pun bangun dan menuju ke tempat yang ditujukkannya. Datuk terus membaca al-Quran.

Sila lihat di kiri kanan datuk terdapat beberapa orang lelaki memakai serban hijau dan berjubah hijau penuh khusyuk mendengar datuk membaca ayat-ayat suci.

Sebarang pembacaan datuk tersalah atau silap segera ditegur. Ruang masjid saya lihat terang benderang bagaikan ada lampu letrik.

Saya terus tidur dan bangun bila terdengar suara azan subuh memukul gegendang telinga. Saya segera mengambil air sembahyang.

Dalam sekelip mata saja, saya dapati masjid itu sudah dipenuhi dengan manusia untuk sembahyang subuh.

Sebelum memulakan sembahyang saya bersalam dengan seorang imam. Tidak banyak perkataan yang diucapkan ketika saya berjabat salam dengannya. Dia lebih banyak membaca Allahu Akbar.

Datuk saya lihat cukup tenang berhadapan dengan orang-orang yang tidak dikenali itu. Saya sembahyang agak jauh dengan datuk.

Lepas sembahyang orang-orang itu bersalaman antara satu sama lain. Akhirnya bersalaman dengan saya sebelum meninggalkan masjid.

Pak imam yang berbadan tegap adalah orang yang terakhir meninggalkan masjid. Bila sampai dihalaman masjid, dia berpatah balik mendapatkan datuk.

"Awak orang baru, ada hajat datang ke sini?", soalnya.

"Memang, ada hajat besar."

"Apa hajatnya?"

"Mahu menghilangkan suara yang menjerit dari kubur."

"Dia anak derhaka, saya juga berusaha ke arah itu."

"Maksud pak imam?"

"Ada saya tinggalkan air untuk disiramkan ke atas kuburnya, tetapi orang yang menyiramnya tu, tidak berapa sempuma."

"Saya kurang faham."

"Dia jarang berjemaah subuh di sini. Sebagai orang Islam ada tempat ibadat, memang elok sembahyang jemaah banyak faedahnya.

"Dapat mengekalkan semangat persaudaraan sesama Islam. Sembahyang seorang dengan sembahyang jemaah berbeza pahalanya”, kata pak imam itu dengan senyum.

Dia lalu meminta diri dan tetap berdoa pada Allah, semoga niat baik datuk itu akan berjaya.

"Berusahalah untuk kebaikan. Tetapi apa yang harus awak ambil kira, segala kejadian yang berlaku sebagai petunjuk dari Allah untuk umat manusia di dunia”, itulah kata-katanya yang diucapkan pada datuk dan meninggalkan kesan yang amat mendalam pada diri saya.

Saya hanya dapat melihat pak imam melangkah lima tapak ke hadapan di halaman masjid.

Batang tubuhnya ghaib dengan mendadak saja sebaik sampai ke arah sebatang pokok.

Bila saya menoleh ke dalam masjid, saya lihat datuk terus membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Suasana subuh yang amat menyejukan itu membuat saya dua tiga kali menguap panjang. Sesekali menggeliat menghilangkan rasa lenguh di badan.

"Kau ambil yassin dan baca”, perintah datuk.

Saya pun terus membaca yassin dengan perlahan-lahan, pembacaan saya sering terganggu dan tidak selancar pembacaan datuk.

Akhirnya, beberapa orang kampung yang berdekatan datang sembahyang subuh di masjid tersebut.

Mereka merasa agak pelik kenapa saya dan datuk tidak turut sama sembahyang jemaah bersama mereka. Dari gerakan dan kerdipan mata mereka membayangkan kesangsian.

Agaknya, mereka mengira saya dan datuk berlainan mazhab atau menerima ajaran agama yang silap. Bila mereka selesai sembahyang, Mohammad Tammat menghampiri datuk.

"Kenapa tak berjamaah sekali?”, tanya Mohammad Tammat.

"Kami sudah sembahyang jemaah."

"Dengan siapa?"

"Tadi ramai orang datang penuh satu masjid."

"Haa.."

"Tak aneh. Saya bercakap dengan pak imam. Saya bertukar senyum dengan bilal muda."

Mohammad Tammat mengerutkan keningnya. Dia termenung sejenak. Cepat-cepat dia menuju ke sudut masjid sebelah kanan dan mengambil sebotol air jernih. Dia datang pada datuk semula.

"Awak bermimpi agaknya?"

"Saya bercakap benar air dalam botol yang awak ambil tu pemberian pak imam."

"Pelik."

Saya lihat muka Mohammad Tammat berubah lagi. Bibirnya digigit sekuat hati hingga menimbulkan bekas pada bibir sebelah bawah.

"Awak berjemaah dengan jin."

"Alhamdulillah, saya bersyukur atas kebesaran Allah”, datuk pun menadahkan ke dua belah tangannya.

Orang-orang kampung pun mula meninggalkan masjid begitu juga dengan Mohammad Tammat.

Bila matahari mula terbit di kaki langit, saya dan datuk pun keluar untuk mandi embun.

Memang diluar dugaan, dalam langkah yang punya matIamat itu kami sampai ke bahagian belakang masjid yang berhampiran dengan kawasan perkuburan.

Lubang telinga datuk dan saya mula diasak dengan suara orang menjerit dan menangis.

Saya dan datuk menuju ke arah bunyi suara itu. Matahari pagi mula memancarkan sinarnya yang lembut, air embun di hujung daun yang terkena sinaran matahari nampak bermanik-manik. Burung-burung mula melompat dari dahan ke dahan sambil berkicau riang.

Bila saya dan datuk sampai ke kubur anak Omari, saya lihat Mohammad Tammat terbongkok -bongkok menyiramkan air dari dalam botol ke atas tanah kubur.

Saya dan datuk terus menghampiri Mohammad Tammat. Dia tidak memperdulikan kedatangan kami.

Datuk terus duduk di bahagian kepala kubur. Datuk membaca sesuatu. Air yang di siram oleh Mohammad Tammat habis satu botol.

Mohammad Tammat pun meletakkan botol kosong itu dekat batu nisan. Saya terkejut, botol kosong itu bergerak-gerak bagaikan disentuh oleh manusia, akhirnya botol itu hilang.

"Perkara itu satu perkara biasa”, kata Mohammad Tammat memberitahu saya yang kehairanan.

Suara dari dalam kubur tidak sekuat tadi. Tetapi saya dapat mendengar dengan jelas apa yang terkeluar dari dalam perut bumi itu.

"Aduh panasnya. Ampunkan saya emak, ampunkan saya”, itulah yang dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya di pagi yang hening itu.

Datuk masih membisu seribu bahasa. Sinaran matahari yang memancar ke atas kubur cukup keras, walaupun hari masih pagi benar.

Saya perhatikan dengan penuh teliti, memang terdapat kepulan asap nipis keluar dari tanah kubur.

Di bahagian kaki yang berhampiran dengan batu nisan saya lihat tanah di situ bagaikan retak-retak kecil.

Saya segera menyatakan apa yang saya lihat itu pada datuk. Datuk menyuruh saya diam. Mohammat Tammat meninggalkan kami berdua di situ.

Datuk terus membaca ayat-ayat suci. Saya tetap berada disamping datuk. Bila datuk selesai membaca ayat-ayat suci dan menoleh ke kiri, saya dapati pak imam yang berjubah hijau berdiri disisinya.

Pak imam bersalam dengan datuk sambil berkata:

“Dia anak derhaka.”

Pak imam itu hilang. Suasana ditanah perkuburan terasa cukup sepi. Kicau burung tidak kedengaran, apa yang saya alami ialah rasa seram.

Bulu tenguk saya meremang tidak menentu. Suara dari dalam kubur terus hilang. Saya dan datuk pun pulang ke rumah Omari.

Di rumah Omari datuk duduk diruang tengah memakai baju dan seluar hitam siap dengan tanjaknya sekali. Datuk merenung ke arah matahari terbit.

Sebelah kanan lututnya tersusun beberapa batang pohon kayu kecil. Sebelah kiri lututnya terletak mangkuk putih tanpa air.

Datuk bertafakur kira-kira sepuluh minit. Semua yang datuk lakukan itu diperhatikan oleh Omari dan saya penuh teliti.

Datuk memejamkan matanya rapat-rapat. Saya terdengar suara orang batuk. Entah dari mana datangnya saya tidak tahu.

"Kau benar-benar mahu menolongnya?”, terdengar suara ghaib.

"Ya, pak imam."

"Dosanya akan hilang sesudah diampun oleh ibu yang melahirkannya."

"Lagi pak imam?"

"Dia harus juga meminta ampun pada ibu tirinya."

Sebaik saja suara itu hilang, datuk membuka matanya. Di tangan kanan datuk tergenggam sehelai kain berwarna hijau.

Kain itu terus dibelitkan ke lehernya. Datuk merenung ke wajah Omari tepat-tepat.

"Kau sayangkan anakmu?", tanya datuk.

"Tentu."

Maka berceritalah Omari bahawa anaknya itu pernah menendang dan memaki ibunya sesuka hati.

Malah pernah melukakan perasan ibunya yang melarang dia bercampur gaul dengan budak-budak nakal. Larangan itu tidak diperdulikan oleh anaknya.

Akhirnya anak itu terlibat dalam kumpulan penghisap ganja dan jadi peminat ekor tiga nombor (masa itu judi empat nombor masih belum ada).

"Anak saya itu membuat kerja-kerja syirik. Menyembah pokok, pergi ke kubur lama menurun nombor ekor”, kata Omari dengan wajah yang amat muram.

Datuk hanya mendengar penuh teliti. Omari juga menyatakan, ibunya menentang perbuatan itu hingga timbul pertengkaran.

Anaknya tidak dapat mengawal perasaan lalu memaki ibunya sendiri. Tiga bulan lepas peristiwa itu Omari bercerai dengan isterinya, lalu kahwin lagi.

"Anak saya akhirnya bengkak kaki tidak boleh berjalan. Isteri kedua saya merawatnya.

"Masa merawat itulah anak saya membaling isteri muda dengan kayu hingga dahinya luka, isteri muda saya meninggalkan saya."

"Lepas itu apa yang terjadi?", tanya datuk.

"Anak saya dimasukan ke hospital Batu Pahat dan meninggal dunia."

“Awak terlalu manjakan anak”, cungkil datuk lagi.

"Memang. Dialah satu-satunya anak saya”, suara Omari tersekat-sekat dan menangis.

Setelah mengadakan perundingan dengan Omari, datuk berusaha mencari isteri tuanya.

Akhirnya isteri tua Omari ditemui di Pontian sudah menikah dengan saudara berketurunan Pakistan.

Datuk membawa isteri tua ke rumah Omari. Isteri muda tidak dapat ditemui dan menurut beberapa orang kampung di situ, isteri muda Omari sudah pulang ke kampung halamannya di Tanjung Balai Indonesia.

Semua peristiwa yang terjadi diceritakan oleh datuk pada isteri tua Omari. Perempuan itu menangis tersedu-sedu.

Hatinya terasa pilu atas perbuatan bekas suaminya yang tidak memberitahu tentang kematian anaknya.

Malam itu, saya dan datuk tidur ke masjid jin lagi sekali. Kali ini kami datang ke masjid agak lewat. Kira-kira pukul satu tengah malam.

Kedatangan kami disambut oleh pak imam berjubah hitam dimuka pintu masjid.

"Kau sudah jumpa emaknya?", tanya imam itu.

"Ya, pak imam."

“Mana dia?"

"Dia ada di rumah adik Omari."

"Kita ke sana”, jawab pak imam berjubah hijau.

Kami pun menuju ke rumah adik Omari. Pak imam tetap berada di antara saya dengan datuk.

Suatu perkara ganjil yang saya alami, orang lain tidak dapat memandang tubuh pak imam.

Mereka hanya mendengar suaranya saja, sedangkan saya dan datuk dapat melihat gerak-geri pak imam.

Pak imam melakukan sembahyang dua rakaat di rumah adik Omari. Kemudian dia mengajak datuk dan saya membaca surah Yassin hingga subuh.

Sebelum matahari terbit pak imam itu memberi sebotol air jernih kepada datuk.

"Kau ajak ibunya ke kubur pada sebelah pagi. Suruh dia siramkan air ini atas tanah kubur itu dan suruh dia baca ayat ini”, pak imam beritahu pada datuk sambil menyerahkan sehelai kertas yang bertulis jawi.

"Lagi pak imam?"

"Sesudah selesai semuanya itu, ibunya harus melakukan sembahyang tahajud tengah malam minta Allah mengampunkan dosa anaknya.

"Tetapi, dia terlebih dulu dengan hati yang suci mesti mengampunkan perbuatan anaknya itu terhadapnya."

Janda Omari dan iparnya termanggu-manggu mendengar suara ghaib itu.

Mereka hanya nampak sekilas pandangan bentuk tubuh imam yang berjubah hijau waktu berdiri di muka tangga sebelum menghilangkan diri dari kami semua.

Tamat siri 28/284

BACA: SBDJ Siri 27: Manusia Tanpa Kepala
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2019/03/sbdj-siri-28-kubur-berasap.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 30 Ilmu Raja Kelawar

Sbdj Siri 30 Ilmu Raja Kelawar

papar berkaitan - pada 27/3/2019 - jumlah : 266 hits
Datuk pun mengeluarkan perintah pendek buat saya Jangan memancing di kolam waktu bunga senja Kalau kau bantah aku patah patahkan leher kamu begitulah datuk dalam perintah yang lembut terselit satu ugutan yang amat menakutkan Faham sergahnya...
Sbdj Siri 27 Manusia Tanpa Kepala

Sbdj Siri 27 Manusia Tanpa Kepala

papar berkaitan - pada 15/3/2019 - jumlah : 270 hits
Datuk pun membasuh kepala dan muka lelaki itu dengan air daun pisang dara Datuk juga membasuhkan seluruh tubuh lelaki itu dengan air bunga tujuh jenis dan tujuh warna Kedua belah tapak kaki dan tangan lelaki itu dibasuh oleh datuk dengan ai...
Sbdj Siri 29 Dikacau Penunggu Kolam

Sbdj Siri 29 Dikacau Penunggu Kolam

papar berkaitan - pada 26/3/2019 - jumlah : 287 hits
Apa yang dikatakan oleh imam berjubah hijau itu dilaksanakan oleh janda Omari dengan sempurna Datuk tidak banyak campur tangan dalam urusan tersebut kecuali menemani janda Omari pergi ke kubur selama lapan pagi berturut turut Masuk hari yan...
Diorama Kubur Ini Memang Sesuai Dihadiahkan Kepada Rakan Yang Dah Lama Tak Jumpa Sejadah

Diorama Kubur Ini Memang Sesuai Dihadiahkan Kepada Rakan Yang Dah Lama Tak Jumpa Sejadah

papar berkaitan - pada 31/3/2019 - jumlah : 783 hits
Diorama Kubur Ini Memang Sesuai Dihadiahkan Kepada Rakan Yang Dah Lama Tak Jumpa Sejadah Tahukah anda bahawa melakukan sesuatu hobi dapat mewujudkan perasaan positif kerana kita akan mengalami perasaan gembira dan puas semasa melakukan akti...
Stres Akut Ibu Di Purwakarta Kubur Bayinya Hidup Hidup Ini Fakta Miris Di Balik Depresi Postpartum

Stres Akut Ibu Di Purwakarta Kubur Bayinya Hidup Hidup Ini Fakta Miris Di Balik Depresi Postpartum

papar berkaitan - pada 31/3/2019 - jumlah : 251 hits
Sebelum kamu komentar Salah ibunya tuh kurang beriman ada baiknya kamu baca baik baik dulu fakta miris di baliknya ini Jangan langsung menghakimi saja ya
Ibu Ini Kubur Hidup Hidup Bayi 5 Bulan Pelaku Nangis Dan Teriak Ke Warga Ngaku Anaknya Hilang

Ibu Ini Kubur Hidup Hidup Bayi 5 Bulan Pelaku Nangis Dan Teriak Ke Warga Ngaku Anaknya Hilang

papar berkaitan - pada 30/3/2019 - jumlah : 309 hits
Wartini warga Desa Pusakamulya Kiarapedes Purwakarta mengubur hidup hidup bayinya yang masih berusia 5 bulan Untuk menutupi aksinya itu pelaku berteriak dan mengaku pada keluarganya bahwa sang bayi telah hilang Dikutip dari TribunJabar com ...
Diduga Gangguan Jiwa Ibu Di Purwakarta Kubur Bayi Dalam Keadaan Hidup

Diduga Gangguan Jiwa Ibu Di Purwakarta Kubur Bayi Dalam Keadaan Hidup

papar berkaitan - pada 28/3/2019 - jumlah : 355 hits
Pelaku yang juga ibu bayi itu diduga mengalami gangguan kejiwaan sejak bayinya masih dalam kandungan hingga peristiwa terjadi jiwanya belum stabil
Adakah Sah Solat Jenazah Di Atas Kubur

Adakah Sah Solat Jenazah Di Atas Kubur

papar berkaitan - pada 26/3/2019 - jumlah : 326 hits
Soalan Adakah sah solat jenazah dilakukan atas kubur Jawapan Sah solat jenazah di atas kubur Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Abi Hurairah R A katanya Bahawasanya seorang lelaki kulit hitam atau perempuan kulit hitam yang biasa...
Siti Kasim Pas Loyalists Are Fools If They Fall For The Jihad Fundraising Drive To Save Siti Mastura S Skin

Ditch The Cubicle Your Home Office Guide

Kemalangan Di Lebuh Raya Utara Selatan Enam Mangsa Maut

Semak Bantuan Barang Dapur 2025

Lirik Lagu Doremon Atmosfera

Scammer Di Facebook

Dating Tengok Wayang Lembayung Di Palm Mall

Harry Parintang Di Hatimu Ternyata Dia Chord


echo '';
Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Curang Tanpa Niat Slot Megadrama Astro Ria

5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton


Anak Anak Belajar Dari Apa Yang Mereka Lihat Bukan Apa Ibu Bapa Katakan

Peluang Terakhir Untuk Pemberian Perkhidmatan Pelanggan Huawei Bagi 2024

120 Kata Motivasi Diri Dorongan Untuk Mencapai Kejayaan

Integral Human Development A Book By Paul Dass Sj

Diet Sihat Untuk Jantung Power

Apa Kuasa Myeg Ke Atas Worldcoin