Sbdj Siri 129 Api Keluar Dari Kubur


Nenek sambut kepulangan saya dengan senyuman. Dia gelengkan kepala, bila melihat baju saya basah kuyup akibat peluh. Saya sambut geleng kepala nenek dengan senyum megah.

"Kenapa begini Tamar?"

"Saya disuruh membuat kerja berat."

"Pergi mandi, cepat."

"Mandi di perigi?"


Nenek tidak menjawab pertanyaan saya. Dahinya nampak berkerut. Jejari kanannya terus melurut rambut sebelah kanan beberapa kali. Ternyata rambut hitam sudah hampir separuh dikuasai oleh rambut putih.

"Jangan mandi di perigi, kamu mandi di sungai saja Tamar."

"Sungai jauh nek, mandi di perigi saja," saya protes cadangan nenek.

Dengan tenang nenek menghela nafas, sepasang mata tuanya tertumbuk ke wajah saya. Nenek seperti berada dalam keadaan serba salah.

"Jangan mandi di perigi, Datuk kamu ada hal di situ."

"Apa halnya nek?" nada suara saya meninggi.

"Aku tak tahu apa halnya. Pesannya pada aku, jangan benarkan sesiapa datang ke perigi waktu begini," terang nenek dengan tenang.

"Kalau kamu tak percaya dengan cakap aku, pergi tengok sendiri," sambungnya lagi.

"Hiss..." keluh saya dengan rasa serba salah.

Secara mendadak saya teringatkan Khoja Lisut. Saya berpisah dengannya di hadapan halaman rumah.

Dia menuju ke arah Datuk yang menantinya di bawah pokok manggis. Saya menuju ke arah pintu dapur kerana saya ternampak nenek tercegat di situ.

"Tak kuasa saya nak tengok sendiri nek."

"Kenapa pula Tamar."

"Takut dimarahi Datuk."

"Itu keputusan yang bijak, dia memandikan tetamunya."

"Saya tahu, tetamunya tu Khoja Lisut."

"Ya," nenek anggukkan kepala.

Tanpa banyak bicara, saya ambil kain basahan di ampaian lalu dibelitkan ke leher. Tanpa mengucapkan sesuatu kepada nenek, saya terus menuju ke sungai.

Setelah membuka pakaian, kain basahan pun saya ikat ke pinggang. Dari tebing sungai saya melakukan terjun menjunam, macam gaya seorang tarzan.

Macam biasa, bila berada dalam perut sungai, saya bagaikan seekor memerang. Berenang dan menyelam dengan bebas.

Bila kulit telapak tangan dan jari menjadi kecut, badan menggeletar kesejukan. Barulah perut sungai saya tinggalkan. Berlari-lari anak menuju ke rumah.

Saya masuk ke rumah ikut tangga bahagian tengah. Dari situ menyelinap masuk ke kamar sendiri, tanpa disedari oleh nenek yang sibuk diruang dapur.

Saya memilih kain pelekat kotak, tiga warna iaitu biru, merah dan putih. Baju Melayu potongan teluk belanga jadi pilihan untuk saya pakai pada hari itu. Rambut pun saya sikat dengan rapi.

CERMIN

Di depan cermin saya berdiri, mencipta jambul di kepala. Dua tiga kali saya melihat jambul dari pelbagai sudut.

Saya yakin, jambul saya mirip jambul P. Ramlee. Boleh menarik perhatian orang lain andainya saya berjalan ke kedai atau ke mana-mana.

Tiga empat kali saya tersengih di depan cermin, merasa diri cukup segak sekali.

"Tamarrr..."

Suara nenek keras.

Saya bergegas menuju kerang dapur. Saya lihat ada hidangan tersembunyi di bawah tudung saji. Bau dari hidangan membuka selera. Perut terasa lapar.

"Nek suruh saya makan?"

Saya terus duduk bersila di depan hidangan. Secara mendadak nenek terus ketawa terkekek melihat telatah saya.

"Belum lagi," tegah nenek.

Saya tidak jadi membuka tudung saji. Memang terasa kecewa mendengar kata-kata nenek itu.

"Habis bila lagi nak makan?" tutur saya separuh kesal.

"Sembahyang Zuhur dulu, pergi ambil air sembahyang. Datuk kamu menunggu kamu diruang tengah."

"Huh..." terpancut keluhan dari kelopak bibir saya.

Saya segera mengambil air sembahyang. Kemudian melangkah ke ruang tengah. Datuk dan Khoja Lisut sudah berdiri di situ.

Mereka menanti kedatangan saya untuk memulakan solat Zuhur secara berjemaah.

"Kenapa lambat Tamar?" Datuk renung muka saya.

"Haaa..." mulut saya terlopong.

"Bila masa nak sembahyang sengaja kamu buat lambat-lambat. Bila masa nak makan kamu nak cepat-cepat," cukup tajam sindiran dari Datuk untuk saya.

Apa yang terdaya saya lakukan ialah tersengih memandang ke arahnya. Dan dalam masa yang sama saya renung juga muka Khoja Lisut.

Sakit rasa hati bila Khoja Lisut melemparkan senyum sinis kepada saya. Kerana Datuk sudah bersedia untuk menjadi imam, saya segera berdiri sebaris dengan Khoja Lisut.

Selesai sembahyang dan berdoa kami terus ke ruang dapur. Duduk bersila, menghadapi hidangan yang terbuka.

Seperti biasa, sebelum menjamah makanan Datuk membaca doa pendek. Bila doa berakhir kami pun menjamu selera dari hasil kerja seni dapur nenek. Masakannya enak sekali, selesai makan saya pun bersandar ke dinding.

Pengat labu kuning yang disuakan oleh nenek kepada saya buat pencuci mulut terpaksa saya tolak.

Perut saya sudah tidak mampu untuk menampung makanan, walaupun sedikit. Saya kepenatan dan nafas terasa amat sesak sekali.

"Mari kita duduk di anjung, Khoja. Dapat sikit angin," Datuk kemukakan cadangan untuk Khoja Lisut.

Tidak ada bantahan, Khoja Lisut angguk kepala. Tanda setuju. Dia segera bangun bila melihat Datuk sudah berdiri. Saya cuba bangun tetapi, tidak berjaya.

"Kamu Tamar, nak duduk di sini?"

Datuk jegilkan matanya dan saya segera tegakkan badan. Rasa penat dan mengantuk akibat kekenyangan serta merta hilang.

Saya renung muka Datuk. Ada imbasan senyuman terpamer di wajahnya. Barangkali dia terasa amat lucu dengan telatah saya.

"Kamu tolong nenek di dapur, lepas tu kalau kamu nak tidur, bolehlah tidur," sambung Datuk, matanya tidak berkedip menatap wajah saya. "Ingat, masuk waktu Asar kamu mesti ada di surau, kita berjemaah bersama orang-orang kampung," lanjut Datuk lagi.

Dia mengakhiri kata-katanya dengan batuk kecil beberapa kali.

Datuk pun melangkah menuju ke anjung rumah dengan diikuti oleh Khoja Lisut. Saya gembira kerana Datuk sudah meninggalkan saya. Semoga Datuk tidak akan berpatah balik untuk memberi apa-apa arahan, bisik batin saya sendirian. Saya terasa aman dan berhasrat mahu baring dan terus tidur di situ.

Nenek terus mengumpulkan pinggan dan piring dalam talam. Saya perhatikan gerak-geri nenek dengan mata separuh terbuka.

Walaupun usianya sudah agak lanjut tetapi, gerak kerjanya cukup pantas macam orang muda.

"Saya tak dapat nak tolong nek."

"Tak apalah Tamar, kau pergi rehat dulu. Cuma nenek nak minta tolong satu saja...," nenek berhenti bercakap.

Saya segera meluruskan badan. Nenek membawa pinggan dan piring yang ada dalam talam ke dapur.

RESAH

Saya jadi resah, dada saya terus digayuti dengan persoalan. Kenapa nenek tidak mahu meneruskan kata-katanya?

Kerana masih ada dua cawan kosong yang tertinggal, memaksa nenek datang semula ke ruang makan.

Kedatangannya kali ini tidak harus dipersia-siakan begitu. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin. Demikian saya memutuskan dalam hati.

"Tadi nenek kata, minta saya tolong. Tolong apa nek?" tanya saya dengan nada suara yang lembut dan hati-hati.

Tiada jawapan yang terkeluar dari mulut nenek. Saya kian resah.

"Tolong apa nek?" untuk kali kedua saya bertanya.

"Kamu tolong bawakan pulut kuning dan pisang emas ke surau. Datuk kamu nak buat jamuan kesyukuran kerana tetamunya dah sembuh dari sakit," nenek memberikan penjelasan.

Sesungguhnya, penjelasan nenek memberikan tanggungjawab baru kepada saya.

Sukar untuk saya melarikan diri dari tanggungjawab yang diamanatkan oleh Datuk, meskipun tanggungjawab itu tidak disampaikan secara terus kepada saya.

"Banyak pulut kuning yang nenek kukus? Apa lauknya?"

"Tak banyak, segantang saja, lauknya ayam."

"Sedap tu nek."

"Jangan sebut sedap sebelum makan, sekarang kamu pergi berehat, sampai masanya nenek panggil kamu."

"Baiklah, biar saya masuk bilik dulu nek."

"Pergilah."

Nenek meninggalkan saya. Dia menuju ke ruang dapur kembali. Meneruskan tugasnya yang masih belum selesai.

Sebelum bangun, saya menggeliat dua tiga kali. Menguap dengan semahu-mahunya.

Pangkal pinggang, pangkal betis dan sendi saya urut dua tiga kali hingga badan terasa selesa.

Bila terasa diri sudah cukup bersedia, saya pun segera bangun. Melangkah menuju ke kamar lalu merebahkan badan atas ranjang. Bahang panas luar terasa menyengat seluruh badan.

Entah macam mana terlintas di fikiran saya untuk membaca. Mungkin dengan membaca boleh mempercepatkan saya tertidur.

Tidak ada bahan bacaan yang benar-benar menarik minat saya. Majalah hiburan, Gelanggang Filem dan Majalah Filem yang ada di hujung ranjang sudah saya baca.

Bagaimana kalau saya mengambil buku-buku lama bertulisan jawi di kamar Datuk? Timbul pertanyaan dalam diri.

Dan Datuk pernah berpesan pada saya, kalau ada masa eloklah membaca buku-buku lama yang tersimpan dalam biliknya dari membaca majalah hiburan yang tidak begitu mendatangkan manfaat pada diri saya.

Saya terus ke kamar Datuk mengambil senaskhah buku lama tulisan jawi. Sebaik saja saya berada di atas ranjang kembali. Sehelai demi sehelai halaman buku saya buka. Mencari tajuk yang saya fikirkan menarik.

Akhirnya saya sampai ke bahagian hikayat Orang Yang Melalaikan Solat.

Saya betulkan kedudukan badan, biar selesa ketika membaca. Di samping itu, saya berharap sebaik saja tamat membaca kisah tersebut, saya akan tertidur dengan nyenyaknya.

Begini kisahnya:

PEREMPUAN

Di zaman dahulu, seorang lelaki menangis kehibaan kerana kematian saudara perempuannya yang dikasihi.

Kemudian lelaki itu bersama orang-orang kampung terus menguburkan saudara perempuannya di kawasan perkuburan.

Semasa lelaki itu menimbus mayat saudaranya itu, tanpa disedari pundi-pundi yang berisikan wang dan barang-barang lain terjatuh dalam longgokan tanah.

Tidak ada seorang pun teman-teman lelaki itu melihat yang pundi-pundi berisi wang itu jatuh dan bersatu dengan tanah.

Apa yang dirasakan oleh lelaki itu ialah rasa kesedihan dan kehampaan yang memanjang. Maklumlah, dia kehilangan seorang saudara perempuan yang amat disayanginya.

Setelah selesai menguburkan saudara perempuannya, lelaki itu bersama kawan-kawannya terus pulang. Sampai separuh jalan, baru disedarinya pundi-pundi berisi wang miliknya sudah hilang.

"Kamu balik dulu, aku nak ke kubur semula," kata lelaki itu pada kawan-kawannya.

Sudah tentu kata-kata itu mengejutkan kawan-kawannya.

"Kenapa?" tanya salah seorang kawannya.

"Pundi-pundi wang aku tercicir di kubur."

"Kalau begitu kata kamu, pergilah. Kami tak dapat bersama-sama kamu," jawab kawannya itu.

"Tak apalah, biar aku uruskan sendiri," balas lelaki itu, lalu meninggalkan kawan-kawannya.

Sampai di kubur lelaki itu terus mengais-ngais tanah di situ. Pundi-pundi berisi wang tidak juga ditemuinya.

Lelaki itu mula menggali sebahagian dari tanah kubur. Sedang dia asyik menggali tanah (kubur), tiba-tiba keluarlah api yang menyala-nyala dari dalam kubur.

Lelaki itu terkejut dan takut. Tanah kubur itu segera ditimbusnya. Tubuh lelaki itu menggeletar ketakutan.

Dia ingin segera pulang dan mahu menceritakan apa yang dialaminya kepada ibu dan saudara-saudaranya yang lain.

Dengan rasa gementar, cemas dan tidak tentu arah, lelaki itu berlari pulang ke rumah.

Sampai saja di rumah, dia terus menceritakan kepada orang tuanya dan saudaranya mengenai kejadian tersebut.

Saudara-saudaranya agak terkejut tetapi, ibunya tetap tenang. Lelaki itu pun terus bertanya kepada ibunya:

"Ibu! Cuba terangkan, apakah perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh saudara perempuanku itu semasa hidupnya?"

"Wahai anakku! Amal perbuatan saudara perempuanmu semasa hidupnya, suka melalaikan solat dan kadang-kadang mengakhirkannya sampai habis waktu."

Setelah mendengar penjelasan ibunya, lelaki itu bermuafakat dengan saudara-saudaranya (termasuk ibunya) berdoa kepada Allah supaya dosa saudara perempuannya itu diampuni oleh Allah.

"Dahsyatnya," keluh saya lalu menutup buku lama itu.

Saya merenung sejenak dan saya segera berfikir, begitulah kecelakaan atau keburukan yang menimpa terhadap orang-orang yang melalaikan solat.

Bagi orang yang meninggalkan solat tentu lebih ganjaran yang diterimanya.

"Sesungguhnya, Allah berkuasa atas segala-galanya, tidak pernah mungkir janji terhadap hambanya," terpancut kata-kata dari mulut.

Secara mendadak saya teringatkan sepotong ayat dari Al-Quran yang bermaksud: "TidakKu jadikan manusia dan jin, melainkan semata-mata untuk beribadat kepadaKu."

Dan saya merasakan diri saya semakin kecil, bagaikan segumpal buih di samudera nan luas.

Saya tidak berhasrat untuk membaca hikayat-hikayat yang termuat dalam buku itu lagi, walaupun semuanya boleh dijadikan cermin dan teladan dalam kehidupan.

Buku lama bertulis jawi saya campakkan ke sudut kamar. Membacanya, bererti memaksa saya berfikir.

Bila sudah berfikir pasti mata tidak mahu mengantuk. Begitu rumusan yang saya buat sendiri.

PANAS

Dua tiga kali saya menguap, bahang panas di luar membuat badan saya terasa bergetah. Bagi menghilangkannya saya terpaksa menggunakan cebisan kotak untuk dijadikan pengipas angin.

Barulah terasa dingin tetapi, saya kehabisan tenaga untuk mengipas, seiring dengan itu mata saya mula terasa mengantuk.

Bunyi kicau burung terdengar sayup-sayup, begitu juga dengan bunyi pinggan dan piring yang dibasuh oleh nenek, berlaga sama sendiri.

Lama-kelamaan semua bunyi-bunyi itu terus mengilang.

Apa yang saya alami seterusnya, saya dapati diri saya berada di sebuah padang pasir yang maha besar dan maha luas.

Saya melihat ribut pasir yang amat menakutkan hingga memaksa saya berlindung di sebalik pokok kurma yang hanya tumbuh sepohon saja di situ.

Saya tidak sanggup melihat ribut pasir berserta dengan bunyi yang amat menggerunkan itu. Saya tutup mata dengan kedua belah tangan saya.

Pada saat itu, saya terasa bahu saya dipegang orang dari arah belakang. Saya tidak ada pilihan selain dari membuka mata untuk melihat, siapakah orang yang berani memegang bahu saya.

Sebaik saja mata terbuka, saya lihat seorang lelaki Arab tersenyum ke arah saya. Bermisai tebal, wajahnya berjambang dengan pedang terselit di pinggang.

Kuda putih milik lelaki Arab itu kelihatan jinak sekali dan tidak takut dengan bunyi ribut pasir.

"Assalam-mualaikum..."

"Walaikumussalam," sahut saya.

"Nama kamu Tamar Jalis?" tanyanya lagi.

"Ya."

Secara mendadak lelaki Arab itu memeluk tubuh saya, pipi kami berlaga, bau peluhnya tidak begitu menyenangkan saya tetapi, kerana orang sudah menunjukkan rasa persahabatan saya wajib menerimanya dengan ikhlas.

"Aku Sheikh Abu Bakar Al-Petani," lelaki itu memberitahu namanya pada saya.

Cepat-cepat saya anggukkan kepala. Kemudian kami terus duduk di pasir berhampiran perdu kurma.

"Apa yang boleh saya tolong tuan Syeikh?" kata saya dengan tenang.

Sheikh Abu Bakar Al-Petani tersenyum sambil mengurut-urut janggutnya.

"Tunggu sekejap, bila ribut pasir berhenti kita bercerita panjang," tutur Sheikh Abu Bakar Al-Petani dalam Bahasa Malaysia yang cukup terang.

Dengan kehendak Allah yang Maha Besar, beberapa saat kemudian ribut pasir pun berhenti.

"Ya, kita sambung cerita kita Tamar," Sheikh Abu Bakar Al-Petani menghidupkan kembali cerita yang terputus.

"Apa yang boleh saya tolong tuan Sheikh?" pertanyaan yang sudah saya kemukakan, saya ulangi lagi.

Tuan Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang sukar ditentukan kerakyatannya sama ada orang Arab tulen atau orang Melayu yang sudah lama tinggal di dunia Arab dan bersikap atau berperangai lebih dari Arab.

"Kamu baru saja membaca cerita yang menarik?" soalnya dengan tenang.

"Ya, kenapa tuan Sheikh?"

"Apakah hikmah yang dapat kamu ambil untuk cermin dalam kehidupan kamu. Agar kamu jadi manusia Muslim yang baik," tanyanya lagi dengan penuh semangat. Saya terpaksa mengerutkan dahi.

Saya sebenarnya tidak suka memikirkan apa-apa tentang cerita lama yang saya baca. Aneh! Mengapa Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang tidak ku undang, harus bertanyakan perkara tersebut.

"Saya tak dapat buat kesimpulan Pak Sheikh," jawab saya tegas.

"Begini kesimpulannya, pertama Allah memperlihatkan keburukan orang yang melalaikan solat," tuturnya.

Saya segera anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diluahkan oleh Sheikh Abu Bakar Al-Petani.

"Lagi apa yang dapat kita jadikan panduan, Pak Sheikh?"

"Kejadian itu menunjukkan kekuasaan Allah untuk memperlihatkan adanya seksa kubur, supaya diketahui oleh orang ramai," sepasang biji mata Sheikh Abu Bakar Al-Petani merauti seluruh wajah saya.

Ada rasa gementar dan cemas bergolak dalam jantung hati saya. Dan saya tidak mahu mengajukan sebarang persoalan kepadanya.

"Kejadian itu bukan hanya menimpa mayat perempuan itu saja malah akan berlaku juga kepada mayat-mayat lain yang melalaikan solat.

"Cuma tidak diperhatikan oleh Allah kerana alam kubur itu adalah alam ghaib, sesungguhnya alam kubur itu bukanlah sekadar kubur melainkan alam sesudah mati iaitu alam sebelum hati akhirat.

"Walaupun seseorang mati dibaham harimau, ghaib dalam laut, pasti berada di alam kubur walaupun tubuh mereka tidak ditanam ke dalam bumi," begitu hebat sekali Sheikh Abu Bakar Al-Petani memberikan penjelasan.

Dia menepuk bahu saya berkali-kali bersama dengan ketawa parau.

"Tamar," jeritnya keras.

Saya toleh ke arahnya dengan rasa terkejut.

"Kenapa Pak Sheikh?"

"Aku nak balik, sebelum balik dengar sini..." Sheikh Abu Bakar Al-Petani menggeliat dan membetulkan hujung jubahnya yang terkena pasir.

"Kamu tahu, hikayat yang kamu baca itu memperkuatkan firman Allah dalam surah Al-Maun dalam Al-Quran, tentang seksaan bagi orang yang melalaikan solat, kamu baca dan kaji surah tu," nada suara Sheikh Abu Bakar Al-Petani cukup tinggi dan saya rasakan kata-kata yang diluahkan itu adalah sebuah arahan.

Kerana tidak mahu diri diarah atau diperintah oleh orang yang tidak saya kenali secara terperinci, saya segera memperlihatkan reaksi tindak balas.

"Bukan urusan saya mahu membacanya, Pak Sheikh."

"Apa kata kamu Tamar, kamu tidak mahu mengikut arahan aku yang baik ini?"

"Ya," saya segera bangun dan bersedia melepaskan penumbuk kalau Sheikh Abu Bakar Al-Petani bertindak kasar.

Ternyata Sheikh Abu Bakar Al-Petani merasai dirinya tercabar. Dia juga bangun. Undur lima tapak ke belakang.

Dia mencabut pedangnya, mata pedangnya yang tajam kelihatan berkilau-kilau bila kena sinar matahari.

"Kerana kamu tidak mahu mendengar nasihat orang untuk kebaikan kamu harus dibunuh dan ditanam dalam pasir. Biar kamu kena seksa kubur," dengan pedang di tangan, Sheikh Abu Bakar Al-Petani segera menerkam ke arah saya.

Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit dengan sekuat hati, dengan harapan jeritan itu akan dapat didengar oleh orang lain. Kemudian akan datang untuk menyelamatkan saya.

"Kamu menjerit ya," ugut Sheikh Abu Bakar Al-Petani sambil melepaskan penumbuk ke arah saya.

Tubuh saya rebah di pasir dan mata pedang Sheikh Abu Bakar Al-Petani kian mendekati batang leher saya.

Kematian di depan mata, dengan penuh khusyuk saya mengucap dua kalimah syahadat.

"Huh, nasib baik kamu mengucap," jerit Sheikh Abu Bakar Al-Petani.

Tubuhnya kelihatan menggeletar menahan kehampaan. Tanpa banyak cakap, dia terus melompat ke belakang kuda putihnya.

"Semoga kamu bahagia," tuturnya lagi sambil memasukkan mata pedang ke sarungnya.

Dengan sekali tampar dibahagikan punggung kudanya terus bergerak meninggalkan debu-debu pasir untuk saya lihat.

Dalam sekelip mata Sheikh Abu Bakar Al-Petani dan kudanya hilang dari penglihatan saya.

Dengan penuh tenaga saya cuba bangun tetapi, tidak berhasil.

Dua tiga kali saya terjatuh hinggalah ada sepasang tangan menggoncang tubuh, barulah saya terasa badan kembali bertenaga dan kelopak mata saya boleh digerakkan dan dibuka. Nenek terpaku di depan saya.

"Bangun, dah dekat waktu Asar, pergi mandi," nenek keluarkan perintah.

Saya terus pejam celikkan kelopak mata, dahi terus saya kedutkan.

Betulkah nenek yang tertonggok di depan saya atau Sheikh Abu Bakar Al-Petani menjelma menyerupai nenek.

"Ini nenek?"

"Habis kalau bukan nenek kamu, aku ni hantu. Makan terlalu kenyang tidur siang sampai mengigau terpekik terlolong, bangun pergi mandi."

"Astagh..." kata saya dan terus bangun menuju ke perigi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 129/284

BACA: SBDJ Siri 128: Rahsia Daun Seribu Kapit
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2020/03/siri-bercakap-dengan-jin-129.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Kena Ni Jadi Trauma Suri Rumah Menggigil Paip Gas Bocor Sampai Keluar Api

Kena Ni Jadi Trauma Suri Rumah Menggigil Paip Gas Bocor Sampai Keluar Api

papar berkaitan - pada 6/3/2020 - jumlah : 384 hits
Dapur sudah semestinya menjadi medan yang terpenting bagi wanita untuk menyediakan juadah kepada ahli keluarga Namun aspek keselamatan juga seharusnya perlu sentiasa dititiberatkan agar tidak berlaku kejadiaan yang tidak diinginkan Selain p...
Sbdj Siri 134 Lembaga Di Tepi Laut

Sbdj Siri 134 Lembaga Di Tepi Laut

papar berkaitan - pada 11/3/2020 - jumlah : 456 hits
Yang kamu ambil kayu arang atau buluh tanya nenek kepada saya Kayu arang jawab saya Bukan urusan kamu untuk mengetahui semuanya ini ini urusan aku kata Datuk yang secara tiba tiba memusingkan badannya ke arah saya dan nenek Dia bagaikan men...
Sbdj Siri 125 Berbalut Kain Kuning

Sbdj Siri 125 Berbalut Kain Kuning

papar berkaitan - pada 20/2/2020 - jumlah : 320 hits
Nenek ketawa terkekeh melihat telatah saya yang melucukan itu Saya turun ke halaman mengutip dedaun kering yang bertaburan Pergerakan yang dilakukan membuat badan terasa ringan Saya tidak mengalami sesak nafas atau rasa penat akibat kekenya...
Gunung Jerai Akan Keluar Api Sekiranya Manusia Melakukan Perkara Yang Di Larang Oleh Allah Swt

Gunung Jerai Akan Keluar Api Sekiranya Manusia Melakukan Perkara Yang Di Larang Oleh Allah Swt

papar berkaitan - pada 26/2/2020 - jumlah : 313 hits
Tragedi letusan Gunung berapi mengingatkan kepada kita semua tentang bala kemusnahan yang telah di berikan kepada manusia yang tidak sedarkan diri dan ditimpakan ke atas kaum kaum yang melampaui batas Saksikan video dokumentari kemusnahan K...
Sbdj Siri 131 Menggeletek Macam Cicak

Sbdj Siri 131 Menggeletek Macam Cicak

papar berkaitan - pada 6/3/2020 - jumlah : 342 hits
Saya mengucap panjang bila melihat kaki kiri Khoja Lisut menggeletak macam ekor cicak yang terpisah dari badannya sementara kaki kanannya bergerak macam badan ular Terlalu banyak ilmu batin salah yang dituntutnya Tetapi bila dia sakit terny...
Sbdj Siri 128 Rahsia Daun Seribu Kapit

Sbdj Siri 128 Rahsia Daun Seribu Kapit

papar berkaitan - pada 3/3/2020 - jumlah : 286 hits
Bila air yang dijerang sudah masak Datuk suruh saya buat secawan kopi tanpa gula Dua tiga helai daun seribu kapit anak dipetik dan dimasukkan ke dalam cawan kopi bersama beberapa buku garam Sebahagian daripada air panas itu dituangkan ke da...
Sbdj Siri 132 Bukan Muntah Darah

Sbdj Siri 132 Bukan Muntah Darah

papar berkaitan - pada 9/3/2020 - jumlah : 271 hits
Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata kata itu dia terus menarik tangan Khoja Lisut mengajak ke kaki tangga surau Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut Saya terus mengekor dari belakang khoja Lisut Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terh...
10 000 Ahli Pkr Kelantan Bakal Keluar Parti

10 000 Ahli Pkr Kelantan Bakal Keluar Parti

papar berkaitan - pada 27/2/2020 - jumlah : 310 hits
KOTA BHARU Lebih 500 ahli Parti Keadilan Rakyat melibatkan tiga cabang utama di negeri ini mengisytiharkan keluar parti itu hari ini Tiga cabang tersebut ialah Kubang Kerian Rantau Panjang dan Ketereh Pengumuman tersebut dilakukan dalam sat...
Asyik Bawa Bayi Keluar Sinar Matahari Boleh Buat Kulit Terbakar

Asyik Bawa Bayi Keluar Sinar Matahari Boleh Buat Kulit Terbakar

papar berkaitan - pada 28/2/2020 - jumlah : 409 hits
Ibu bapa yang mempunyai bayi sudah tentu mahukan perlindungan terbaik buat Si Manja Ketika dibawa keluar keselamatan serta kesihatan anak sangat dititikberatkan Tambahan pula dengan cuaca yang tidak menentu boleh mendatangkan menyebabkan ir...
Pas Mocks Madani Gov T After Pmx Loosely Faulted Rushed Flawed Trials Of High Profile Cases Post 2018 Ge

Sah Kes Najib Razak Cacat

Icac Found No Case Rahman Dahlan Defends Musa S Appointment

Slot Qris Explained The Key To Faster And Safer Gaming Transactions

Tenure Of Sabah Sarawak S Top Judge Extended Says Source

Rahsia Kawal Gula Dalam Darah Supaya Tak Melompat Lompat Lagi

Tremendous Nadi Collaboration

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu


echo '';
Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Cinta Bukan Milik Kita Slot Samarinda TV3


10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Pelajari Kesalahan Trader Pemula Untuk Persiapan Trading Profit Maksimal 2025

Helikopter Terhempas Di Hospital Di Turkiye Empat Maut

Nigeria Tragedi Rempuhan Sempena Agihan Makanan Pra Krismas Ragut 67 Nyawa

Razer Umum Koleksi Squid Game