Saya Tersentuh Kata Muhyiddin
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata dia tersentuh dengan  pendirian ahli-ahli parlimen yang menyokong meluluskan Belanjawan 2021  pada peringkat dasar.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.
"Saya tersentuh dengan pendirian ahli-ahli parlimen yang menyokong belanjawan.
"Ini  sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Ke bawah Duli  Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu  ahli-ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan  belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan  negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19," katanya.
Belanjawan  2021 yang menarik perhatian ramai sejak beberapa hari lalu, akhirnya  diluluskan melalui undi suara di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun pengundian hari ini adalah kekangan pertama yang perlu dilalui belanjawan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Selepas ini ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan sebelum sekali lagi diundi.
"Saya  ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli parlimen  terutamanya ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional, BN, Gabungan Parti  Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong  Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar.
"Sokongan  ini membuktikan kematangan ahli-ahli parlimen dalam membuat keputusan  penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan  rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain," katanya.
"Belanjawan  2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan  sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan  perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar," tambahnya  lagi.
Sementara itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada  Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz  yang menyiapkan  penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan.

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz "Penambahbaikan  ini telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk  ahli-ahli parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang  Undang-undang Perbekalan 2021 ini dijalankan. 
"Ini membuktikan  kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat  responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat  memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat  pandemik Covid-19.
"Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara," katanya.
Terdahulu,  Zafrul antaranya mengumumkan pelbagai peruntukan tambahan termasuk  kebenaran mengeluarkan wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja  (KWSP) seperti yang dituntut pelbagai pihak.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/11/saya-tersentuh-kata-muhyiddin.html