Muhyiddin Dapat Sokongan Popular Tetapi Ppbm Kurang Tarikan Pengundi Kata Penganalisis
 Faye Kwan

Ahli  PPBM pada konvensyen parti tahun lalu. Satu tinjauan pendapat  menunjukkan Muhyiddin Yassin popular dalam kalangan pengundi, tetapi  partinya kurang mendapat sokongan.PETALING JAYA: Dua saintis politik bersetuju dengan satu tinjauan  yang mendapati Muhyiddin Yassin mendapat sokongan popular meluas, tetapi  partinya, PPBM, kurang tarikan pengundi dan beliau memerlukan bantuan  parti lain untuk terus berkuasa.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata,  Muhyiddin perlu terus menggunakan pendekatan “ganjaran dan hukum” serta  “pecah dan tawan” untuk PPBM mengharungi kebuntuan politik semasa.
Azmi Hassan, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia  berkata, tinjauan itu menunjukkan rakyat kurang yakin terhadap PPBM  sebagai parti yang boleh mentadbir negara tanpa bantuan lain.
Kedua-dua penganalisis itu memberikan respons mereka terhadap  penemuan satu tinjauan pendapat yang dijalankan badan pemikir Emir  Research.      

Oh Ei Sun.Tinjauan yang dikeluarkan Isnin lalu menunjukkan 65% daripada 2,000  responden memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri pilihan mereka.  Namun, PPBM hanya mendapat 8.3% sokongan, jauh di belakang 42.8% untuk  Umno dan 15.5% buat PAS.
Oh berkata, hasil itu menunjukkan PPBM “sangat kekurangan” dari segi  ideologi kuat yang boleh menawan hati lebih ramai rakyat kerana ia hanya  digunakan sebagai alat kemudahan politik, pertama untuk membantu Dr  Mahathir Mohamad dan kemudian pembelot dari Pakatan Harapan.
Beliau menolak dapatan tinjauan itu mengenai populariti Muhyiddin  kerana ia dibuat Ogos lalu dan tidak mengambil kira kejadian seperti  cubaan mengisytiharkan darurat dan lonjakan kes Covid-19 di Sabah, yang  menjejaskan reputasi kerajaan dengan serius.
Katanya, Muhyiddin “masih meningkat” ketika tinjauan itu dilakukan  kerana penurunan jumlah jangkitan Covid-19, pembukaan ekonomi secara  berperingkat dan pemberian bantuan kepada mereka yang teruk terjejas  akibat sekatan pergerakan.
“Mahathir dan Anwar Ibrahim, tidak berada dalam kerajaan, sudah tentu  tidak boleh mendapat kredit daripada peristiwa yang berlaku, tetapi  kemudian membenam euforia popular itu.”

Azmi Hassan.Azmi bersetuju hasil tinjauan itu akan berbeza jika dibuat  hari ini. Kejadian yang berlaku menggambarkan Muhyiddin secara negatif,  tetapi beliau percaya Muhyiddin masih tetap menjadi pilihan sebagai  perdana menteri, “cuma tidak setinggi 65%”.
Beliau berkata, rakyat menganggap Muhyiddin sebagai pilihan lebih  baik daripada 2 calon lain – Mahathir, yang dipersalahkan kerana letak  jawatan dan membenarkan PN mengambil alih, serta Anwar, dilihat tidak  berhenti mengejar impiannya untuk menjadi perdana menteri.
Azmi berkata, kekurangan sokongan PPBM berpunca daripada perbalahan  dalaman parti itu “sejak Muhyiddin kali pertama mengambil alih dan  sehingga hari ini”. Ahli Kabinet PPBM dianggap kurang berprestasi  berbanding seteru mereka, khasnya dari Umno.
“Tidak syak lagi, Muhyiddin memerlukan parti lain untuk terus  bertahan, dan keputusan Pilihan Raya Negeri di Sabah jelas menunjukkan  kesusahannya,” katanya sambil menambah satu-satunya jalan untuk PPBM  memenangi pilihan raya umum akan datang adalah bekerjasama dengan Umno  dan PAS melalui Muafakat Nasional.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/muhyiddin-dapat-sokongan-popular-tetapi.html