Saudara Baru Atc Kraven 100
Inventori terakhir aku untuk 2024 ni aku tutup dengan reel baitcasting dari ATC iaitu Kraven 100 dengan nisbah karauan 6.6:1.Sedikit maklumat asas aku ada tulis dalam posting beberapa hari lepas, tapi aku rasa macam ada beberapa maklumat yang tertinggal.
ATC Kraven ni adalah pembelian spontan tanpa memikirkan masa depan. Sekali pandang aku rasa reel ni lawa dan terus tunjuk kat wife.Wife aku sudi pulak tu membelikan tanpa banyak soal,hahahah!
Barang ATC ni kalau aku berkenan jarang la aku nak fikir lama-lama. Sebelum ni pun aku dah ada dua reel baitcasting ATC, jadi reel yang ini aku yakin prestasi dan kualitinya tak mengecewakan.
Didatangkan dengan dua nisbah karauan iaitu 6.6:1 dan 8.1:1 dan kayuhan kiri-kanan macam biasalah pilihan aku semestinya nisbah 6.6:1 kayuhan kanan.
Aku tak berminat dengan nisbah kelajuan tinggi sebab aku tak pernah pun bermain lure top water. Satu-satunya reel aku yang bernisbah 8 adalah iFishband Tendershoot 101. Itupun sebab nisbah yang lebih rendah tak ada jual kat sini.
Dari sudut specsheet nampak reel ni macam ringan tapi sebenarnya tidak.
Dengan binaan kerangka badan grafit dan gigi gear aluminium, berat reel ini ialah 194 gram. Tidaklah seberat Tatula yang melebihi 200gram tetapi tidak ringan seperti reel BFS. Bagaimanapun bila dipasangkan pada rod, kombinasinya tidaklah seberat yang disangka. Agak ringan juga sebenarnya untuk tugasan casting seharian.
Dari sudut kehalusan kayuhan, gigi gear utama aluminiumnya beraksi cemerlang memberikan ‘rasa’ karauan yang lancar dan halus. Mungkin tidak sehalus reel high end tapi amat baik dengan tanda harga yang ditawarkan.
Cengkaman dragnya juga baik dengan kekuatan sehingga 7kg. Setakat ni drag berbilang platnya berfungsi seperti yang sepatutnya.
Line guidenya tidak seperti abang-abangnya yang berbentuk cone atau segitiga, orifis atau lubang laluan tali bersaiz normal memberikan satu kelebihan lain iaitu susunan tali yang lebih kemas.
Aku sebenarnya tak teruja pun dengan inovasi-inovasi lubang line guide yang kononnya membantu lontaran lebih jauh. Kebiasaannya ‘kelebihan’ tu tak dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebab goal aku dalam memancing bukanlah jarak lontaran. Aku lebih suka tali yang tersusun kemas didalam spool.
Selain dari itu, tak banyak yang aku nak ulaskan. Kelengkapan biasa yang dibekalkan ialah spool bersaiz medium, brek magnetik dengan 10 tetapan dan kemasan cat luaran yang kemas. Cetakan-cetakan pada badan amat minimum; cuma ada logo ATC , nama model dan maklumat nisbah karauan. Jimat dakwat tampo.
Harga yang ditawarkan bagi aku sangat berpatutan iaitu RM335 sahaja. Aku rasa harganya yang rendah sebab tidak dibekalkan dengan spool tambahan. Saudara dekatnya Combat CF BFS aku beli pada harga RM470 ( sekarang RM450 ) dengan fitur drag clicker, lightweight body dan tambahan shallow spool. Tambahan spool ini sahaja akan meningkatkan harga antara RM50-70.
Buat masa ni aku amat berpuashati dengan prestasinya. Dipadankan dengan Rod Asuka Marksman 6-12lb one piece 6”3in, mainline Asuka Bravo 4X 20lb dan fluorokarbon Daiwa JThread 50lb, setup ni lah yang jadi setup utama permainan kolam air masin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://blog5zal.blogspot.com/2024/11/saudara-baru-atc-kraven-100.html