Sarawak Teruskan Pelaksanaan Ppsmi Iktiraf Uec Kata Annuar

PETALING JAYA: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan  Teknologi Sarawak, Annuar Rapaee berkata isu pengajaran sains dan  matematik dalam bahasa Inggeris serta pengiktirafan Sijil Peperiksaan  Bersepadu (UEC) menunjukkan kepentingan autonomi Sarawak ke atas  pendidikan.
Katanya, Sarawak kekal dengan keputusannya melaksanakan pengajaran  sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, yang juga dikenali sebagai  PPSMI.
Khamis lalu, Putrajaya mengumumkan PPSMI tidak akan diperkenalkan  semula di sekolah, tetapi Sarawak akan meneruskan pelaksanaannya bagi  pelajar Tahun 1, mulai tahun ini.
“Kami memperkenalkan semula PPSMI di Sarawak mulai tahun ini dengan  pelajar Tahun 1. Kami sudah mengkaji kritikan dan kelemahan daripada  pelaksanaan terdahulu di peringkat nasional, serta mengambil langkah  perlu untuk mengatasinya.”
     Annuar berkata, pengkritik PPSMI memetik kajian yang menyatakan dasar  itu gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, prestasi dalam 2  mata pelajaran itu dan menyebabkan polarisasi kaum.
“Saya belum baca atau meneliti kertas kajian itu, tetapi bagi saya,  kita perlu lihat kenapa dasar itu gagal dan bukan hanya melupakan  pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.”
Katanya, Sarawak percaya pelaksanaan asal PPSMI di Tahun 1 dan Tingkatan 1 tergesa-gesa.
“Jika anda perkenalkannya untuk pelajar Tingkatan 1, mereka yang  belajar subjek itu dalam bahasa Melayu dari Tahun 4 hingga 6 akan  terkial-kial. Kali ini kami melakukannya secara perlahan-lahan, bermula  dengan Tahun 1 dan seterusnya.”
   Guru turut dilatih semula untuk mengajar subjek itu dalam bahasa Inggeris.
Annuar berkata, kerajaan persekutuan tidak menyediakan peruntukan untuk program PPSMI di Sarawak.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Annuar Rapaee.“Kami membelanjakan hampir RM10 juta untuk membangunkan modul itu,  mencetak buku teks dan buku kerja, melatih guru dan memberikan bahan  sokongan kepada mereka.”
Katanya, Sarawak memilih untuk memperkenalkan semula PPSMI demi kepentingan negeri serta rakyatnya.
“Ramai graduan tempatan mendapatkan pekerjaan di sektor swasta  disebabkan penguasaan bahasa Inggeris mereka yang lemah, ini zaman  teknologi, Revolusi Industri 4.0, penguasaan bahasa Inggeris bukan satu  pilihan.
“Suka atau tidak, bahasa Inggeris ialah bahasa perantaraan  pengetahuan dan jika kita tidak dapat menguasainya, bagaimana kita  hendak bersaing?” soalnya.
Beliau berkata, Sarawak juga kekal dengan pendiriannya mengiktiraf  UEC untuk permohonan biasiswa tajaan negeri dan pekerjaan dalam kerajaan  negeri kerana ia memanfaatkan negeri berkenaan serta rakyatnya.
“Apabila berkaitan hak Sarawak, autonomi dari segi apa yang negeri  mahu bagi pendidikan sangat penting. Kami ialah negeri yang kaya dengan  sumber alam semula jadi dan untuk memanfaatkannya, kami memerlukan bakat  dan teknologi canggih.
“Jika kita tidak mempersiapkan rakyat kita untuk memiliki pengetahuan  dan menguasai teknologi, kita perlu bergantung kepada orang asing dan  ini tidak baik untuk negeri serta rakyat. Kami tidak mahu mereka  ketinggalan.”
Beliau berkata, pendidikan tidak boleh dipolitikkan.
“UEC sebagai contoh, ia memainkan peranan dalam membangunkan sumber  manusia, jadi kita menerima UEC untuk permohonan biasiswa. Kita tidak  boleh mendiskriminasi pelajar berdasarkan latar belakang pendidikan  mereka.
“Bagi orang Sarawak, apa yang penting ialah mereka mahu menyumbang  kembali kepada negeri dan negara. Kita tidak patut menafikan peluang  mereka untuk berbuat demikian.”
Isu UEC kembali menjadi tumpuan susulan dakwaan Gabungan Pertubuhan  Cina Malaysia yang Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berharap kerajaan  akan mengiktiraf UEC suatu hari nanti.
Tetapi, Pejabat Perdana Menteri berkata, beliau tidak memberikan sebarang komitmen kerajaan pimpinannya akan mengiktiraf UEC. 
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/07/sarawak-teruskan-pelaksanaan-ppsmi.html