Safiey Illias Karya Motivasi Buat Wanita
SELEPAS setahun tidak hadir dengan lagu baharu, penyanyi yang juga usahawan kosmetik, Safiey Illias bakal mengubat kerinduan peminatnya dan hadir dengan buah tangan berjudul Bagaikan Ratu.
Kali ketiga berkolaborasi dengan Ressa Herlambang, Safiey mengakui dia sangat selesa bekerja dengan komposer dari Indonesia itu.
"Kali pertama saya berkolaborasi bersamanya (Ressa) adalah menerusi lagu Syinta Gila pada 2018 dan kemudian Apa Salah Syinta pada tahun lalu.
"Jadi, dia tahu bagaimana corak muzik yang diingini dan hasilkan karya yang sesuai dengan saya. Maka, terhasil lagu berjudul Bagaikan Ratu ini," katanya.
Tambah penyanyi yang juga usahawan kosmetik penuh dengan kontroversi itu, dia ingin menjadikan lagu terbaharunya sebagai karya motivasi buat wanita.
"Bukan saya nak suruh pendengar jadi macam saya, tapi apa yang ingin disampaikan menerusi lagu itu adalah bagaimana wanita di luar sana perlu 'melayan' diri mereka umpama seorang ratu.
"Saya bekerja keras untuk dapatkan hasil yang berbaloi dan tidak menjadi 'wanita' yang lemah. Saya yakin, semua wanita ingin disayangi dan dilayan persis ratu," katanya.
Kerap dikecam kerana berkongsi maklumat mengenai pembedahan kosmetik dan rawatan wajah dijalani, Safiey menegaskan tujuannya adalah untuk dijadikan pengajaran.
"Saya bukan ingin mengajak orang ramai melakukan pembedahan kosmetik atau apa, sebaliknya saya mahu mereka jadikan pengalaman itu sebagai pengajaran.
"Sekiranya mereka ingin menjalankan apa-apa rawatan berkaitan kosmetik dan kecantikan, pastikan mereka mendapat khidmat perawatan daripada klinik atau pakar bertauliah.
"Namun apa yang saya cuba saya sampaikan selama ini disalah anggap. Bahkan, dijadikan bahan untuk mengecam saya dengan teruk," katanya.
Apa pun, Safiey yakin untuk lagu baharu itu pasti peminatnya tidak sabar menantikan kehadiran karya seni itu yang sarat mesej positif.
Selain dua lagu terdahulunya, Safiey juga pernah melancarkan lagu berjudul Hijrah Syinta hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun.
Bukan hanya cenderung dengan seni, Safiey juga baru-baru ini meluahkan hasrat mahu bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaikkan skil dan kemahiran atlet negara.
Tidak melihat pada cabang sukan tertentu, katanya, dia ingin jalinkan kerjasama menyeluruh dalam usaha mengetengahkan bakat atlet pelapis yang berpotensi pergi jauh.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/09/safiey-illias-karya-motivasi-buat-wanita.html