Rupanya Mandi Hujan Ialah Sunnah Yang Dilakukan Rasulullah Dan Sahabat
Saya teringat ketika zaman saya masih kanak-kanak ketika menuliskan perkongsian ini. Waktu hujan adalah waktu yang selalu ditunggu-tunggu. Saya dan kakak akan mula membuat perahu kertas untuk dialirkan di hadapan rumah. Perahu kertas siapa yang mendahului maka dialah yang akan menang.
Kadang-kadang saya akan menyelinap keluar dari rumah ketika emak tidak menyedari. Berlari-lari dalam hujan tanpa selipar. Dan tidak lama, emak akan bercekak pinggang di pintu sambil menjerit melihat anak bongsunya yang sudah lencun dalam hujan.
Saya yakin para pembaca di luar sana punya kisah lucu sendiri tentang hujan. Rasulullah SAW juga pernah mandi hujan. Ia dicatatkan seperti dalam riwayat di bawah.
عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ أَنَسٌ : ” أَصَابَنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطَرٌ ، قَالَ : فَحَسَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ حَتَّى أَصَابَهُ مِنَ الْمَطَرِ ، فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا ؟ قَالَ : ” لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى ”
Anas RA berkata: Kami bersama-sama Rasulullah SAW pernah ditimpa hujan, lalu Rasulullah SAW menyelak pakaiannya, sehingga hujan menimpa (tubuhnya). Kami bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa engkau lakukan hal ini. Baginda SAW menjawab: Kerana ia adalah makhluk yang Allah baru ciptakan.
(Sahih Muslim, Kitab Solat al-Istisqa, no. 898)
Imam an-Nawawi menghuraikan hadis di atas seperti di bawah:
معناه أن المطر رحمة ، وهي قريبة العهد بخلق الله تعالى لها فيتبرك بها . وفي هذا الحديث دليل لقول أصحابنا أنه يستحب عند أول المطر أن يكشف غير عورته ليناله المطر
Hadis ini bermaksud: Hujan adalah rahmat, ia merupakan ciptaan Allah yang baru sahaja diciptakan, maka Nabi SAW mengambil bertabarruk (ambil berkat) dengannya. Hadis ini merupakan dalil kepada pendapat ulama mazhab Syafie bahawa digalakkan untuk membuka (tubuh) yang bukan aurat pada awal turunnya hujan, agar air hujan dapat kena padanya. (Syarah Sahih Muslim)
Menarik bukan, rupanya mandi hujan adalah sunnah yang Rasulullah sendiri lakukan. Selain mandi hujan, ada juga doa yang boleh dibaca ketika turunnya hujan.
Doa Ketika Turun Hujan
Daripada Aisyah R.anha berkata, adapun Rasulullah SAW ketika melihat hujan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya: “Ya Allah Kau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 1032)
Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa yang disebutkan di dalam hadis di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat. (Lihat: Fath al-Bari, 518/2)
Waktu Hujan Ialah Waktu Mustajab Doa
Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثِنْتَانِ لَا تُرَدَّانِ: الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ، وَتَحْتَ الْمَطَرِ
Maksudnya: “Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.”
(Riwayat Al-Hakim, no. 2534) (Hadis ini menurut al-Hakim sanadnya sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Hujan ialah makhluk ciptaan Allah yang sangat magis, turunnya dari langit tempat yang tinggi dan asing. Saat hujan menyentuh badan kita, rasa nyaman menyelinap ke jiwa. Itulah hadiah ketenangan dari Tuhan buat hambaNya.
Sumber: tzkrh.com
The post Rupanya Mandi Hujan Ialah Sunnah Yang Dilakukan Rasulullah Dan Sahabat appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.islamituindah.my/rupanya-mandi-hujan-ialah-sunnah-yang-dilakukan-rasulullah-dan-sahabat-2/