Ronnie Liu Panggil Mesyuarat Tergempar Gesa Ph Batal Mou Dengan Kerajaan
by - Cinca on - 4/07/2022 07:43:00 Am
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan langkah seterusnya, selepas pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti ditangguhkan sekali lagi, kata seorang pemimpin DAP Selangor.
Ronnie Liu membuat gesaan itu susulan laporan terbaharu memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai berkata, Kabinet tidak bersetuju RUU itu dibentangkan.
RUU Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.
“(Kini) masanya untuk PH mengadakan mesyuarat tergempar bagi memutuskan langkah seterusnya,” katanya kepada FMT.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek itu mendakwa penangguhan berkenaan adalah “taktik melengahkan” pembentangan RUU Anti Lompat Parti di pihak kerajaan Perikatan Nasional.
Beliau menekankan sekiranya RUU itu tidak diluluskan, maka ia boleh melemahkan keinginan dan minat pengundi untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-15, selain tindakan lompat parti adalah sindiran terhadap proses demokrasi.
Liu yang juga ahli Jawatankuasa Pusat Eksekutif Pusat DAP, turut menggesa gabungan pembangkang membatalkan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dimeterai dengan kerajaan.
“Saya sebenarnya berat hati bersetuju dengan MoU itu disebabkan kemungkinan untuk undang-undang anti lompat parti diluluskan. Saya tahu hakikatnya MoU itu membawa kerosakan besar kepada kredibiliti PH.
“MoU itu perlu dibatalkan demi melindungi imej PH atau ia berisiko hilang kredibilitinya sebagai suara pembangkang yang bertanggungjawab.”
Januari lalu, Liu menggesa PH membatalkan MoU itu, sekiranya RUU Anti Lompat Parti tidak digubal menjelang Mac kerana undang-undang itu antara perkara terpenting dalam perjanjian itu dan kekal sebagai punca utama untuk kedua-dua pihak terus menghormati MoU berkenaan.
Terdahulu, Wan Junaidi dipetik The Star sebagai berkata, RUU itu dihantar balik untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.
Bagaimanapun, katanya, sidang khas Dewan Rakyat tetap diteruskan pada 11 April ini dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bertujuan memudahkan RUU itu dibentangkan kelak.
Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat.
Kenyataan Wan Junaidi itu mengesahkan laporan FMT terdahulu yang memetik sumber sebagai berkata, Kabinet meminta semakan ke atas RUU itu, lima hari sebelum sidang khas itu diadakan.
– FMT
Read more: https://www.cinca.news/2022/04/ronnie-liu-panggil-mesyuarat-tergempar.html#ixzz7PjbXlX6y
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/04/ronnie-liu-panggil-mesyuarat-tergempar.html