Rodrigo Holgado Ditamatkan Kontrak Media Antarabangsa
Rodrigo Holgado Ditamatkan Kontrak – Media Antarabangsa
Selepas Gabriel Palmero, seorang lagi pemain warisan negara, Rodrigo Holgado menerima nasib yang sama apabila dilaporkan ditamatkan kontrak oleh kelab America de Cali susulan keputusan FIFA menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain negara.
Menurut portal sukan tempatan El Deportivo, kelab berkenaan terpaksa menamatkan kontrak pemain tersebut lebih awal meskipun kontraknya masih berbaki lebih setahun.
Difahamkan, penamatan kontrak antara Holgado dan kelab diselesaikan secara baik pada Selasa, 11 November lalu, memandangkan kedua-dua pihak memahami situasi yang berlaku.
“Menurut beberapa laporan media, termasuk media tempatan dan yang rapat dengan kelab tersebut, hubungan antara penyerang itu dan kelab telah berakhir pada pagi Selasa, 11 November, berikutan larangan yang dikenakan terhadapnya.
“Namun begitu, Holgado masih akan menerima gaji penuh seperti termaktub dalam kontrak,” maklum portal sukan itu.
Walau bagaimanapun, America de Cali setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penamatan kontrak pemain itu.
Jika disahkan, Holgado menjadi pemain kedua negara yang kehilangan kontrak bersama kelab selepas Palmero.
Sebelum ini, Palmero menjadi pemain warisan negara pertama yang ditamatkan kontrak oleh kelab divisyen ketiga Sepanyol, CD Tenerife.
Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).
Jawatankuasa Rayuan itu dalam kenyataan diterbitkan pada laman web rasmi FIFA mengesahkan bahawa ia telah menolak rayuan yang dibuat oleh FAM dan pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CFH350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000).
Ketujuh-tujuh pemain berkenaan turut digantung selama 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak.
Sumber: El-Deportivo
BACA: FIFA Kekalkan Hukuman Terhadap FAM, Tujuh Pemain
BACA: FIFA Dedah Asal Usul 7 Pemain Warisan Harimau Malaya
BACA: 2 Disember Tarikh Terakhir Berkhidmat Sebagai Menteri – Tengku Zafrul
The post Rodrigo Holgado Ditamatkan Kontrak – Media Antarabangsa appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/11/13/rodrigo-holgado-ditamatkan-kontrak-media-antarabangsa/