Jenis Data Yang Dikumpul Oleh Platform Media Sosial Cara Ia Digunakan
Jenis Data Yang Dikumpul Oleh Platform Media Sosial & Cara Ia ‘Digunakan’
Dalam dunia digital hari ini, hampir setiap individu meninggalkan jejak digital setiap kali menggunakan media sosial.
Tidak dinafikan, platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan LinkedIn memang memudahkan interaksi serta hiburan harian.
Tapi, ramai juga tidak sedar bahawa maklumat peribadi mereka boleh terdedah kepada risiko privasi tanpa disedari.
Kenapa privasi media sosial penting?
Privasi media sosial merujuk kepada perlindungan maklumat peribadi pengguna yang dikongsi sama ada secara sengaja atau tanpa sedar.
Banyak maklumat peribadi diperoleh daripada aktiviti harian di media sosial, sama ada melalui catatan, gambar, video, komen atau “like”.
Selain itu, terdapat juga penjejak digital seperti “cookies” yang merekod aktiviti dalam talian pengguna, termasuk laman web yang dilawati, sejarah pembelian dan interaksi di media sosial.
Data ini kemudiannya disusun mengikut kategori pengguna seperti ‘peminat sukan’, ‘pencinta haiwan’ atau ‘ibu bapa muda’. Maklumat sebegini amat bernilai bagi syarikat pemasaran untuk memaparkan iklan yang disasarkan dengan lebih tepat.
Namun, bukan hanya syarikat pemasaran yang berminat terhadap data ini. Penipu dan penggodam juga menggunakan maklumat yang dikongsi di media sosial untuk menipu pengguna.
Menurut laporan Federal Trade Commission (FTC), satu daripada empat kes penipuan yang dilaporkan bermula melalui interaksi di media sosial.
Jenis data yang dikumpul oleh platform media sosial
Apabila seseorang membuka akaun media sosial dan mula menggunakannya, mereka sebenarnya meninggalkan jejak digital di internet.
Setiap tindakan seperti memuat naik gambar, menekan “like” atau berkongsi pautan akan direkod oleh sistem.
Syarikat media sosial mengumpul pelbagai jenis maklumat peribadi pengguna dengan menggunakan teknologi seperti “cookies”, “geofencing” (penjejakan lokasi) dan penjejakan rentas laman web (cross-site tracking).
Bila pengguna bersetuju dengan terma dan syarat semasa pendaftaran, mereka secara tidak langsung memberi kebenaran kepada platform untuk mengumpul data tersebut.
Walaupun akaun disetkan sebagai ‘peribadi’, pengiklan dan penipu siber masih boleh mengesan maklumat tertentu seperti:
Kemas kini status — contohnya tentang pekerjaan, kehidupan atau hubungan peribadi.
Kepercayaan atau fahaman agama.
Maklumat profil — seperti nama, nombor telefon dan tarikh lahir.
Data lokasi — termasuk bandar asal, lokasi semasa atau tempat yang pernah dikunjungi.
Minat peribadi — seperti sejarah pembelian atau laman web yang sering dilawati.
Kandungan yang dikongsi — seperti status, gambar dan video.
Aktiviti media sosial — termasuk tanda suka (like), komen dan perkongsian (share).
Maklumat pekerjaan — sama ada kerja semasa atau yang pernah dilakukan.
Maklumat peribadi lain — seperti umur, bangsa dan jantina.
Selain itu, hantaran di media sosial juga boleh menunjukkan emosi dan perasaan pengguna. Contohnya, cara seseorang memberi komen atau menulis status boleh menggambarkan sama ada dia gembira, marah atau kecewa.
Data sebegini dikenali sebagai data sikap (attitudinal data) dan digunakan untuk memahami bagaimana pengguna berinteraksi dengan sesuatu topik atau kandungan.
Satu lagi jenis maklumat ialah data keutamaan (preference data). Ia menunjukkan perkara yang disukai atau disokong oleh pengguna, seperti pandangan politik, jenis makanan, muzik, filem atau kepercayaan agama.
Apa yang boleh dilakukan dengan data ini?
Banyak syarikat hari ini menggunakan data yang dikumpul daripada pengguna untuk pelbagai tujuan.
Antara tujuan utamanya ialah menganalisis pasaran, memaparkan iklan yang disasarkan, menyesuaikan perkhidmatan serta mencadangkan kandungan yang sepadan dengan minat individu.
Malah, maklumat sekecil jumlah “like” dan “dislike” turut membantu mereka membentuk gambaran tentang personaliti serta kecenderungan minat seseorang pengguna.
Berdasarkan data ini, syarikat dapat memahami dengan lebih mendalam perkara yang digemari atau tidak disukai oleh pelanggan mereka.
Kadangkala, pengguna juga akan ditanya sama ada iklan yang dipaparkan relevan atau sebaliknya. Jawapan daripada soalan ringkas seperti ini membantu syarikat memperhalus dan menyesuaikan iklan agar lebih menarik perhatian pengguna.
Selain tujuan pengiklanan, data daripada media sosial turut digunakan untuk melatih model kecerdasan buatan (AI).
Melalui maklumat yang dikumpul, model bahasa berskala besar seperti ChatGPT dapat mempelajari cara manusia berkomunikasi dan memahami trend semasa di platform media sosial.
Platform media sosial juga kerap menjalankan tinjauan atau soal selidik dalam talian bagi mengenal pasti minat pengguna.
Hasil jawapan ini direkod dan kadangkala dijual kepada syarikat lain yang menawarkan produk atau perkhidmatan berkaitan dengan minat tersebut.
Sebagai contoh, jika seseorang sering menunjukkan minat terhadap haiwan peliharaan, kereta atau permainan video, data berkenaan boleh dijual kepada syarikat yang menjual produk dalam kategori sama.
Melalui maklumat itu, pengguna akan ‘ditanda’ (tagged) agar terus menerima kandungan dan iklan yang berkaitan dengan minat mereka.
Apabila platform menyiarkan iklan berbayar atau kandungan tajaan (sponsored content), mereka akan dibayar oleh jenama yang diiklankan.
Kandungan tersebut biasanya dipaparkan kepada pengguna yang mempunyai profil data sepadan dengan sasaran pelanggan jenama itu.
Data yang digunakan ini dikumpul melalui penjejak digital seperti “cookies” atau daripada maklumat yang dikongsi sendiri oleh pengguna.
Sekiranya pengguna memberikan alamat e-mel atau nombor telefon, syarikat boleh menggunakannya untuk menghantar maklumat lanjut berkaitan produk, promosi atau perkhidmatan mereka.
BACA: Jangan Sesekali Tanya Atau Beritahu ChatGPT 5 Perkara Ini
BACA: Ramai Buat, 5 Tabiat Buruk Ni Sebenarnya Boleh ‘Rosakkan’ Otak
BACA: 10 Tanda ‘Amaran’ Awal Anak Alami Tekanan Mental
Sumber: TechTarget
The post Jenis Data Yang Dikumpul Oleh Platform Media Sosial & Cara Ia ‘Digunakan’ appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/11/02/jenis-data-yang-dikumpul-oleh-platform-media-sosial-cara-ia-digunakan/