Rm600juta Dibelanja Untuk Stabilkan Harga Minyak Masak
suaramerdeka.com
8.6.2021
Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta tahun ini berbanding RM528 juta tahun lalu bagi melaksanakan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak atau Cooking Oil Stabilization Scheme (COSS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, COSS adalah program subsidi minyak masak bertujuan untuk meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup mereka.
Mekanisme ini, jelas beliau terbuka kepada semua golongan untuk mendapatkan minyak masak dengan harga berpatutan.
“Subsidi ini diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket walaupun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia meningkat pada masa ini.
”Kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik ™ sebulan (atau 720,000 tm setahun) bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan (720 juta polibeg setahun) untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia semua peringkat di seluruh negara. Kuantiti tersebut berdasarkan kadar penggunaan 1.8kg seorang setiap bulan (22.0kg seorang setahun),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan tambah beliau, memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama.
Kata beliau, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.
Rakyat katanya, boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.
Pada masa ini harga CPO di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4500 tan metrik (berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2500 tan metrik sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.
”Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit.
“KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna. Kerajaan akan memaklumkan hasil dari perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui. Pihak Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari. Pihak Penguat Kuasa tidak akan teragak-agak untk mengambil tindakan di bawah AKHAP 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak. Kementerian juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi,” katanya.
Alexander berkata, KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada Kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah.
“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) adalah salah satu contoh pelaksanaan kawalan harga di setiap musim perayaan di mana KPDNHEP menjangka permintaan akan meningkat dan peningkatan itu akan menekan harga barangan seperti yang biasa berlaku dalam ekonomi pasaran bebas,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/06/rm600juta-dibelanja-untuk-stabilkan.html