Rebut Peluang Pahala Penuhi Keperluan Hidup
Setiap muslim perlu berlumba-lumba mencari rezeki untuk mendapat pahala dan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. Balasan keuntungan di dunia dan pahala di akhirat melalui usaha mencari rezeki adalah menifestasi bahawa Islam tidak menolak kekayaan dan kesejahteraan hidup. Allah SWT melimpahkan kurnia kepada seluruh manusia melalui usaha yang perlu dilakukan sendiri.
Firman Allah bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagiaan hari akhirat dan janganlan engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qashash, ayat 77).
Islam memandang kekayaan sebagai alat untuk menjaga kepentingan agama, keturunan, akal, maruah dan harga diri agar bersesuaian dengan nilai-nilai manusiawi yang perlu diamalkan dalam batasan agama. Sebaliknya kemiskinan perlu dijauhi kerana ia umpama bom jangka yang boleh merosakkan ummah.
Dalam al-Quran dan hadis jelas banyak membincangkan soal tuntutan mencari rezeki, urusan perniagaan, penggunaan sumber tenaga, pengagihan kekayaan, pembendaharaan negara, tolong menolong dalam pembangunan ekonomi dan sebagainya.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” (Surah al-Mulk, ayat 15).
Sesungguhnya, setiap muslim perlu gigih berusaha mendapatkan apa yang dibentangkan oleh Allah SWT di muka bumi ini dengan sepenuh penumpuan tenaga dan fikiran. Sesiapa melakukan kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh pasti akan mendapat kejayaan. Allah SWT amat menyukai mereka yang melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang yang apabila melakukan sesuatu kerja, dilakukannya dengan penuh tekun dan sebaik mungkin. (Hadis riwayat Baihaqi).
Jelas sekali, Islam tidak hanya agama dalam bentuk sistem kepercayaan semata-mata, bahkan turut menyediakan landasan yang kukuh berkaitan memenuhi keperluan hidup manusia di dunia ini. Islam mengajar dan mengarahkan agar setiap umatnya berusaha mendapatkan kekayaan.
Mereka yang mencari rezeki berpeluang mendapat dua kali pahala jihad. Pertamanya pahala jihad bekerja mencari rezeki dan keduanya peluang membelanjakan rezeki itu untuk jalan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Berjihadlah di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka" (Surah at-Taubah, ayat 20)
Ironinya, umat Islam masih ketinggalan jauh berbanding kaum lain dalam jumlah pemilikan kekayaan. Perkara ini memerlukan anjakan paradigma untuk mencapai kejayaan yang hanya mampu dicapai jika melakukan usaha yang dicetuskan oleh pemikiran kritis, penghayatan ilmu dan ketakwaan yang tinggi.
Punca kurang mendapat rezeki disebabkan tidak tekun dalam urusan mencari rezeki. Mereka tidak merebut peluang untuk mendapat rezeki yang lebih untuk keperluan diri sendiri dan ahli keluarga. Perhatikan di kampung-kampung dan bandar di mana golongan yang banyak lepak di kedai kopi dan melakukan kerja sia-sia adalah orang miskin.
Golongan ini sepatutnya melakukan kerja yang boleh mendatangkan rezeki, bukannya berlagak seperti orang kaya dengan berbual-bual kosong. Mereka mempersiakan keupayaan akal, potensi diri dan tenaga yang dimiliki tanpa melakukan usaha yang mendatangkan kebaikan. Mereka juga menolak janji Allah SWT kepada orang mencari rezeki.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Hadis riwayat Thabrani).
Seluruh umat Islam perlu berusaha mengelakkan diri daripada berada pada paras kemiskinan. Jangan berserah kepada takdir semata-mata tanpa berusaha kerana Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum atau seseorang jika tidak berusaha sendiri mengubahnya.
Firman Allah dalam surah ar-Rad, ayat 11 bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri berusaha mengubahnya.”
Umat Islam sewajarnya melakukan pencerahan dan penjernihan pemikiran agar selari dengan tasawwaur Islam dan tidak lagi berada dalam kekeliruan berkaitan tuntutan mencari rezeki.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2018/10/jjj.html