Rasuah Selagi Boleh Akhirnya Jatuh Juga Kalau Nak Jatuh
Kes rasuah RM3 juta: Isa Samad ketahui nasibnya RabuFMT Reporters -February 1, 2021
Jika sabit kesalahan, bekas pengerusi Felda, Isa Samad boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali jumlah rasuah.KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Felda, Isa Samad akan mengetahui nasibnya pada Rabu berhubung kes rasuah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Kuching oleh badan itu enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual menyampaikan keputusannya setelah mendengar hujah lisan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan pada 24 Dis lalu.
Perbicaraan itu bermula 7 Okt 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 15 saksi dan enam saksi dipanggil pihak pembelaan.
Pada 16 Jun lalu, Nazlan memerintahkan Isa membela diri atas sembilan tuduhan rasuah, tetapi membebaskannya daripada satu pertuduhan pecah amanah.
Bagi tuduhan rasuah, Isa, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan dan bekas anggota Kabinet, dituduh menerima wang sogokan sebanyak RM3.09 juta untuk meluluskan pembelian Hotel Merdeka Palace.
Felda Investment Corporation Sdn Bhd dikatakan membayar RM160 juta pada 2014 untuk pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.
Harga itu didakwa dilaporkan sekurang-kurangnya 50% lebih tinggi daripada nilai sebenar hartanah terbabit.
Isa didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan.
Peguam Salehuddin Saidin berhujah pembelaan menolak andaian di bawah Seksyen 50 Akta SPRM yang RM3 juta didakwa diterima Isa adalah wang rasuah.
Katanya, Isa, 71, sudah menafikan menerima wang berkenaan dan lima saksi lain memberi keterangan menyokong pembelaan anak guamnya.
Peguam itu berkata, Muhammad Zahid Mat Arip, pegawai khas Isa dan saksi pendakwaan, mendakwa mengambil wang itu sebanyak sembilan kali daripada Ikhwan Zaidel, pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd yang ketika itu memiliki hotel berkenaan.
Bagaimanapun, setiausaha Isa ketika itu, Zuraidah Ariffin @ Shaari memberitahu mahkamah dia tidak pernah melihat Zahid membawa beg kertas mengandungi wang itu ke pejabat Isa.
Peguam itu berkata, keterangan Zuraidah disokong testimoni pegawai khas Isa, Kamar Bashah Shariff, kerana kedua-duanya selalu berada di pejabat tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, wang itu diserahkan kepada Isa apabila Zuraida dan Bashah tiada di pejabat.
“Ia dilakukan secara diam-diam,” katanya sambil menambah Zahid adalah orang tengah di antara tertuduh dan Ikhwan.
Kata Afzainizam, tugas pendakwaan adalah membuktikan Isa menerima wang itu dengan niat korup dan bukannya di mana dia menyimpannya serta untuk apa ia digunakan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/02/rasuah-selagi-bolehakhirnya-jatuh.html