Rasa Bersalah Bukan Ibu Yang Baik Ini Luahan Jujur Datin Atikah Suhaime
Pertama kali bergelar ibu satu anugerah yang tak mampu diungkap dengan kata.
Itulah yang dirasai oleh pelakon cantik, Wan Atiqah Wan Ali, atau lebih dikenali sebagai Atikah Suhaime, selepas selamat melahirkan cahaya mata sulungnya, Lyla Mulan Teh, pada 6 Mei 2024, hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Datuk Lokman Teh, usahawan dan Pengarah Eksekutif produk Zaitun.
Sejak kehadiran Mulan, hidup Atiqah berubah 180 darjah. Setiap detik bersama si kecil itu membuka lembaran baru sebagai seorang ibu. Namun di sebalik senyuman dan kebahagiaan yang dikongsi, terselit juga rasa yang tak terluah.
“Saya pernah rasa ‘hilang’ peranan sebagai ibu. Persekitaran saya – ada pembantu, ibu, dan mak mertua semua bantu jaga anak. Tapi dalam hati… saya rasa kosong. Macam saya bukan ibu yang cukup bagus…”
Perasaan bersalah itu sesekali hadir tanpa diundang. Walaupun Lyla Mulan dijaga penuh kasih sayang, jauh di sudut hati Atiqah tetap rasa seolah-olah dirinya seorang ibu yang tidak sempurna.
Namun satu momen mengubah segalanya.
“Tapi at the end of the day, apa yang saya perasan… bila malam nak tidur, Mulan tetap cari saya.”
Ayat ringkas itu cukup menggambarkan betapa kuatnya naluri seorang anak terhadap ibunya. Itulah saat yang menyedarkan Atiqah – bahawa kasih ibu tak pernah salah alamat.
Biar ramai yang membantu, hati anak tetap tahu siapa yang mengandungkannya, menyusu, dan menyayanginya sejak dalam rahim.
Dari situ, Atiqah mula bangkit. Perlahan-lahan membuang rasa bersalah, dan belajar menerima diri bahawa menjadi ibu juga adalah satu perjalanan yang perlukan masa dan ruang.
Sebagai wanita dan ibu yang baru bertatih, Atiqah tidak simpan kisah ini sendiri. Malah dia sering berkongsi secara jujur di media sosial demi memberi kekuatan buat para ibu yang mungkin sedang rasa yang sama.
“Jadi ibu-ibu kalau rasa anak tak sayang, jangan rasa rendah diri. Jangan patah semangat.
Tak kisahlah siapa pun yang bantu jaga, kasih seorang ibu tetap terpahat dalam jiwa anak.”
Atikah dan Datuk Lokman Teh telah sah bergelar suami isteri pada 24 Jun 2022. Kini, dengan kehadiran Lyla Mulan Teh, perjalanan mereka sebagai ibu dan bapa bermula membawa sinar baru dalam kehidupan rumah tangga.
The post Rasa Bersalah Bukan Ibu Yang Baik, Ini Luahan Jujur Datin Atikah Suhaime appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/rasa-bersalah-bukan-ibu-yang-baik-ini-luahan-jujur-datin-atikah-suhaime/