Punca Tauke Jambu Padam Gambar Ferrari Untuk Jaga Hati Zizan
Pelawak Tauke (Jambu) berkata, dia terpaksa memadamkan gambarnya bersama
 kereta Ferrari yang difahamkan milik Zizan Razak di Instagramnya kerana
 enggan kontroversi melibatkan pelawak itu dengan Emma Maembong menjadi 
semakin parah.
Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, berkata, dia 
melakukan perkara itu kerana terlalu gembira dengan kejayaan Zizan yang 
mampu memiliki kereta mewah hanya menjadi seorang pelawak.
"Sejujurnya saya tidak tahu kereta itu antara penyebab berlakunya kontroversi antara Zizan dan Emma.
”Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk atau sengaja menghangatkan lagi 
keadaan tetapi saya berbuat demikian kerana bangga dengan kejayaan Zizan
 sebagai kawan saya," katanya.
Terdahulu, Zizan mengakui hubungan cintanya dengan Emma Maembong 
berakhir kerana kedegilaannya untuk memilki sebuah kereta mewah yang 
dihalang oleh kekasihnya itu.
Bagaimanapun Emma dalam satu status di Twitter miliknya pada Jumaat 
seolah-olah mempersoalkan kenyataan Zizan mengenai kereta itu sebaliknya
 meminta pelakon berkenaan menerangkan sebab sebenar hubungan mereka 
putus.
Dalam pada itu, Tauke berkata, apabila menyedari kesilapannya itu dia 
telah pun memadam gambar berkenaan beberapa jam selepas ia dimuat naik 
pada Khamis lalu.
Jelas Tauke, dia rasa bersalah terhadap tindakannya itu kerana masa yang
 dipilih memuat naik gambar berkenaan adalah kurang sesuai malah 
memburukkan keadaan.
"Zizan tidak meminta saya memadam gambar tersebut tetapi dia hanya 
menyatakan rasa resah terhadap reaksi peminat dan saya memahami 
situasinya dan terus padam gambar itu," katanya.
Sementara itu, Tauke berkata, sebagai sahabat dia berharap Zizan dapat 
menyelesaikan masalahnya dengan Emma dengan baik dan sentiasa mendoakan 
kebaikan mereka berdua.
"Untuk mencampuri urusan peribadi mereka itu adalah perkara paling 
terakhir yang boleh dilakukan tetapi sebagai sahabat saya mendoakan yang
 terbaik buat mereka berdua," ujarnya.
Dalam pada itu berdasarkan semakan mStar Online, harga sebuah kereta 
mewah Ferrari dari model F430 dianggarkan melebihi RM1.5 juta.
Sumber
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://sangkilas.blogspot.com/2015/01/punca-tauke-jambu-padam-gambar-ferrari.html