Pua Kumbu Maksud Kegunaan Dan Pantang Larang
Pernahkah anda mendengar tentang seni warisan Pua Kumbu?
Pua kumbu adalah seni tenunan kain daripada masyarakat etnik Iban. Menjadi elemen penting dalam pelbagai ritual dan perayaan tradisional, kain ini turut diolah menjadi pakaian, sirat (untuk ngepan), alas meja, aksesori seperti beg, perhiasan pintu serta dinding dan sebagainya.
Seni kebanggaan rakyat Sarawak ini juga tersenarai dalam Senarai Warisan Kebangsaan 2012 dalam Kategori Warisan Tidak Ketara (Warisan Busana, Tekstil, Seni Hias Diri dan Kraf).
Ayuh kita kenali kain tenunan ini dengan lebih dekat.
Sumber : tanoticrafts.com
Maksud Pua Kumbu
Pua Kumbu adalah seni tenunan kain bercorak yang sinonim dengan kaum Iban di Sarawak.
Menurut kepercayaan orang Iban, kain ini hanya boleh ditenun oleh wanita yang mendapat arahan daripada ‘petara’ (tuhan) melalui mimpi.
Corak tenunan pula hanya boleh dihasilkan oleh wanita pakar yang digelar sebagai Indu Ngar.
Sumber : tanoticrafts.com
Sumber : Facebook Iban Rumah Panjai
Mereka juga percaya Pua Kumbu mempunyai kuasa spiritual yang tersendiri serta mempunyai hubungan dengan kuasa ghaib.
Terdapat tiga jenis benang yang terdapat dalam tenunan Pua Kumbu iaitu ‘benang kasar’, ‘ benang kapas’ dan ‘benang sutera’.
Seni warisan ini mempunyai beberapa motif atau corak khusus yang juga dikenali sebagai ‘buah’.
Antara ‘buah’ yang paling popular dalam seni tenunan ini adalah ‘engkeramba’ dan ‘rang jugah’.
Motif ‘engkeramba’ boleh dikenalpasti pada bentuk imej tubuh, kepala, kari, kaki dan sebagainya.
Motif ‘rang jugah’ pula menggambarkan penambahan ciri-ciri tertentu bagi melambangkan kehebatan atau kepahlawanan pada si pemakai seperti sayap, sisik, gigi tajam dan lain-lain.
Selain itu, terdapat juga corak utama lain antaranya ‘buah merinjang’, ‘buah keleku’ dan ‘buah baya berangal’.
Sumber : encyclocraftsapr.com
Kegunaan Pua Kumbu Bagi Masyarakat Iban
Masyarakat Iban tradisional tidak hanya menganggap tekstil ini sebagai kain tenunan semata-mata, malah Pua Kumbu dianggap sebagai suci dan memiliki kuasa ghaib.
Ia juga dianggap ‘berhantu’ dan dikuasai makhlus halus yang dikenali sebagai ‘petara’ atau roh nenek moyang.
Pada zaman dahulu, kain ini turut digunakan bagi menyambut ‘antu palak’ iaitu hantu daripada tengkorak kepala musuh yang dipenggal ketika berperang atau berburu.
Ia juga merupakan antara elemen penting dalam pelbagai ritual keagamaan, budaya serta majlis keramaian.
Antara peristiwa penting yang melibatkan penggunaan kain ini adalah ketika kelahiran anak dan pengebumian.
Dalam ritual Gawai Dayak, kain Pua Kumbu ini turut digunakan bagi berkomunikasi dengan kuasa luar biasa.
Pemakaiannya juga merupakan antara syarat utama supaya ritual yang diadakan dapat berjalan dengan sempurna.
Sumber : Facebook Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Kaum Iban juga percaya bahawa kain ini boleh menjadi perisai atau pelindung diri kepada manang (bomoh) daripada terkena musibah atau gangguan semasa ritual perubatan dilakukan.
Pantang Larang Ketika Menenun
Menenun Pua Kumbu tidak boleh dilakukan sesuka hati. Sebaliknya, ia mempunyai pantang larang dan tata tertibnya tersendiri.
Antaranya, penenun perlu mengadakan sesi ‘berpiring’ iaitu sebuah ritual bagi memastikan proses tenunan corak utama berjalan dengan lancar.
Selain itu, pembuat Pua Kumbu dilarang bergaduh dengan orang lain dan tidak boleh marah kepada sesiapa.
Sekiranya ada perasaan marah atau bergaduh ketika proses menenun, dipercayai bahawa si pemakai akan mendapat kesan tidak baik seperti lesu tubuh badan, mudah sakit dan menjadi pemarah.
Pada zaman dahulu, orang muda juga dilarang untuk menenun kain ini bagi mengelakkan musibah.
Namun, seni warisan ini turut diajar kepada generasi muda pada hari ini agar ia tidak luput ditelan zaman.
Sumber : Facebook Friends of IMPAK
Pada masa kini, kain tenunan terkenal dari Sarawak ini tidak hanya terhad sebagai tekstil utama bagi ritual dan upacara tradisional.
Malah, motif dan corak geometri Pua Kumbu juga sering digayakan pada majlis formal serta mendapat tumpuan dalam industri tekstil.
Sumber : Shopee
Seperti batik, Pua Kumbu juga semakin mendapat tempat di hati penggemar fesyen di dalam dan luar negara.
Adalah tanggungjawab kita untuk memartabatkan karya warisan tanah air supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Sumber : Harian Metro, Utusan Borneo, Rakan Sarawak, Berita Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/pua-kumbu/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pua-kumbu