Hak Milik Strata Maksud Dan Kepentingan Skim Strata
Sekiranya anda pernah terlibat dalam pemilikan bangunan bertingkat sama ada kediaman atau komersial, anda pasti pernah dengar mengenai hak milik strata.
Bangunan berstrata dibina untuk tujuan kediaman, komersial (perniagaan, pejabat dan sebagainya) atau bercampur. Contoh-contoh skim strata adalah seperti berikut:
Kediaman: Pangsapuri, Kondominium, Rumah Bandar, Petak Tanah (komuniti berpagar)
Komersial: Kedai, Pejabat, Pusat Membeli Belah, Pangsapuri Servis
Jika anda pernah membeli bangunan berstrata seperti disenaraikan di atas, maka anda wajib faham apa itu hak milik strata dan kepentingannya kepada setiap pemilik unit berstrata.
Apa itu Hak Milik Strata?
Hak milik strata adalah dokumen hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri bagi setiap unit (petak) dalam skim strata.
Terma ‘strata’ diperkenalkan pada pertama kalinya secara rasmi pada tahun 1985, kesan daripada struktur berbilang tingkat yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan, yang kemudiannya menyusul bersama pembandaran bandar-bandar besar di Malaysia.
Secara mudah difahaminya, ianya adalag hakmilik yang dikeluarkan untuk setiap unit bagi sesebuah bangunan yang mempunyai lebih daripada dua unit utama dimana kebenaran bagi memecah bahagi bangunan tersebut telah diluluskan, misalnya rumah pangsa, kedai dan pejabat.
Komponen Skim Strata
Komponen utama dalam skim strata adalah:
petak/ petak tanah (lazimnya dikenali sebagai unit kediaman/komersial yang dijual oleh pemilik tanah kepada pembeli petak); dan
harta bersama.
Namun begitu, komponen skim strata juga boleh terdiri daripada:
Petak/ petak tanah (lazimnya dikenali sebagai unit kediaman/komersial yang dijual oleh pemilik tanah kepada pembeli petak)
Petak aksesori
Harta bersama.
Petak/petak tanah – Lazimnya dikenali sebagai unit kediaman/komersial yang dijual oleh pemilik tanah kepada pembeli petak.
Petak aksesori – Petak yang digunakan bersama-sama dengan suatu petak/ petak tanah. Petak aksesori tidak boleh diurus niaga berasingan dengan petak/ petak tanah yang berkaitan. Contoh petak aksesori adalah tempat letak kenderaan dan balkoni.
Harta bersama – Kesemua sekian banyak daripada lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak/ petak tanah termasuk petak aksesori atau mana-mana blok sementara seperti dalam pelan strata yang diluluskan. Contoh harta bersama adalah lif, tangga, bilik serbaguna, rumah sampah, jalan masuk, kolam renang dan sebagainya.
Artikel menarik: Warna Cat Luar Rumah yang Sejuk & Nyaman Sesuai Untuk Anda
Jenis Skim Strata
Berikut merupakan jenis-jenis strata dan perbezaan setiap satunya:
1. Skim strata bercampur
2. Skim strata bertanah (Petak, Harta Bersama dan Petak Aksesori)
3. Skim strata bertanah (Petak dan Harta Bersamai)
4. Skim strata bertingkat
Kepentingan hak milik strata
Secara umumnya, hak milik strata adalah bukti pemilikan bagi tujuan urusniaga contohnya pindahmilik, gadaian, cagaran dan pembahagian pusaka.
Berikut adalah kepentingan khusus hak milik strata:
Bukti pemilikan kediaman/unit komersial
Alat cagaran kepada bank untuk pinjaman
Mmbolehkan penubuhan Perbadanan Pengurusan (MC) oleh pemilik apartment/kondo
Mencegah komplikasi jika pemaju berada dalam pembubaran atau tidak solven
Berfungsi sebagai bukti kawasan binaan unit anda dan pembahagian bahagian anda dalam jumlah unit agregat. Ini membolehkan pengiraan yuran penyelenggaraan oleh Jawatankuasa Pengurusan
Syarat permohonan hak mlik strata
Syarat-syarat permohonan hak milik strata bagi pendaftaran hakmilik strata di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) adalah seperti berikut:
tanah dipegang di bawah hakmilik tetap (final title) iaitu hakmilik yang telah diukur halus dan bukannya hakmilik sementara (qualified title);
tanah tidak tertakluk kepada gadaian atau lien;
permohonan tidak bertentangan dengan kategori penggunaan dan syarat nyata tanah;
baki tempoh pemilikan tanah tidak kurang daripada 21 tahun, jika tanah dipegang di bawah hakmilik bertempoh;
bangunan didirikan di dalam sempadan lot tanah;
Sijil Cadangan Pelan Strata (CPSP) telah diluluskan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM); dan
mempunyai Sijil Layak Menduduki (CFO)/Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) (mengikut mana yang berkenaan).
Urusan permohonan dan pendaftaran hakmilik strata adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri mengikut lokasi di mana hartanah tersebut terletak.
Maka, semakan status permohonan hakmilik strata boleh berhubung dengan Bahagian/Unit Hakmilik Strata di Pejabat PTG Negeri yang berkaitan.
Maklumat lanjut
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Jabatan Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan atau sila rujuk dengan peguam anda yang telah membantu urusniaga pembelian unit strata anda sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai hak milik strata.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/hak-milik-strata/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=hak-milik-strata