Projek Rtc Rm100 Juta Di Jerantut Belum Diluluskan
MALAYSIAKINI
Pengerusi  Lembaga Getah Malaysia (LGM) Ahmad Nazlan Idris hari ini memaklumkan  bahawa projek Pusat Teknologi Getah (RTC) bernilai RM100 juta yang  dicadangkan di Jerantut, Pahang masih dalam peringkat perancangan dan  belum diluluskan.
"Saya mengambil perhatian kepada beberapa  laporan di media tempatan pada 25 Mei lalu  yang memetik kenyataan  mantan menteri yang mengatakan tentang kelulusan untuk mengunakan dana  awam sebanyak RM100 juta bagi membina projek raksasa iaitu Pusat  Teknologi Getah Wilayah Timur di kawasan parlimen saya.  
"Saya  ingin menjelaskan bahawa status projek yang dinyatakan oleh laporan  media sebelum ini adalah hasil cetusan idea Lembaga Getah Malaysia (LGM)  yang masih dalam peringkat perancangan dan belum dipertimbangkan atau  diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ahmad Nazlan mengulas bidasan bekas menteri industri utama Teresa Kok berhubung projek tersebut yang didakwa dibuat secara terburu-buru.
"Projek  ini akan diangkat untuk kelulusan setelah kajian fisibiliti secara  menyeluruh berkenaan projek ini dilakukan serta impak terhadap  fasiliti-fasiliti penyelidikan lain di bawah LGM sebelum dibentangkan ke  pihak Lembaga Pengarah LGM.
"Hanya selepas mendapat kelulusan  Lembaga baru projek ini akan dibawa untuk kelulusan Kementerian  Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (MPIC) dan kerajaan," katanya.
Kok  yang juga ahli parlimen Seputeh sebelum ini menyoal keperluan membina  RTC bernilai RM100 juta di Jerantut, atas dakwaan bahawa Malaysia sudah  mempunyai beberapa pusat teknologi dan penyelidikan getah yang  beroperasi sepenuhnya di Sungai Buloh serta Pusat Penyelidikan Tun Abdul  Razak di England dan di Kota Tinggi. 

Bagaimanapun,  Ahmad Nazlan juga Ahli Parlimen Jerantut berkata bahawa objektif utama  pembangunan pusat penyelidikan teknologi di kawasan-kawasan berlainan di  serata Malaysia termasuk di pantai timur adalah bertujuan untuk  memastikan masa hadapan industri getah negara lebih maju, dengan  pendapatan di peringkat huluan dan hiliran sama-sama ditingkatkan bagi  kemampanan industri getah Malaysia.
"Keperluan penyelidikan dan  pembangunan yang berterusan dan komprehensif di pusat penyelidikan LGM  bagi teknologi-teknologi utama seperti pembangunan klon-klon terkini  sangat penting bagi menjamin produktiviti di peringkat huluan supaya  pembekalan bahan mentah yang diperolehi di peringkat pertengahan dan  hiliran dalam kualiti yang terbaik.
"Ia juga secara tidak langsung  dapat menambahkan pengeluaran getah negara melalui pengurusan model  komersil oleh perbadanan LGM disamping membantu usaha penyelidikan klon  dan teknologi untuk industri getah negara," katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/projek-rtc-rm100-juta-di-jerantut-belum.html