Projek Mega Rm7 Bilion Di Pesisir Pantai Sabah Akan Gagal Kata Rahman Dahlan
FMT Reporters
Lakaran projek mega bernilai RM7 bilion di Kampung Meruntum, Lok Kawi yang
dijangka dapat mengubah pesisir pantai Putatan di Sabah.KOTA KINABALU: Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan Sabah membangunkan sebuah projek mega bernilai RM7 bilion di Kampung Meruntum, Lok Kawi.
Abdul Rahman Dahlan yang juga ketua Umno Tuaran memberi amaran kemungkinan Yayasan Sabah yang sedang menghadapi masalah kewangan akan terjerat dengan projek tidak berdaya saing disebabkan pasaran hartanah yang lembab di seluruh dunia.
Bekas menteri persekutuan itu merujuk perjanjian kerjasama anak syarikat kerajaan Sabah itu dan syarikat swasta, Tegas Bangsa Sdn Bhd (TBSB) yang dimeterai semalam untuk pembinaan beberapa bangunan, termasuk hotel, resort dan taman tema di tanah seluas 391 ekar dalam 12 hingga 15 tahun.
Projek mega itu dijangka dimulakan dalam tempoh 6 bulan dan diharap dapat memberi dana kepada yayasan itu untuk meneruskan pelbagai program di bawah kendaliannya.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang terang-terang sedang menghadapi kemelesetan, adalah tidak bertanggungjawab bagi kerajaan Sabah mengumumkan projek mega sebesar ini yang akan memudaratkan ekonomi Sabah dan kemampuan kewangan kerajaan Sabah jika projek ini terbengkalai.
“Sewaktu (krisis) Covid ini, banyak laporan ekonomi menyatakan lambakan hartanah yang membimbangkan di Sabah. Kenapa perlu ditambah masalah ini pada waktu sekarang?” soal Rahman.
“Kalau projek di Kampung Meruntum ini terbengkalai, tanah Yayasan Sabah bernilai RM200 juta itu akan terikat untuk sekian lama. Banyak contoh yang kita boleh lihat di seluruh negara bagaimana tanah-tanah kerajaan menjadi bermasalah tidak berkesudahan bila projek terbengkalai.”
Rahman berkata, dana kerajaan sepatutnya digunakan untuk membantu ratusan ribu rakyat Sabah yang kehilangan kerja akibat krisis Covid-19, bukannya projek mega.
“Ketika rakyat sedang menunggu pengumuman rancangan jangka pendek dan sederhana kerajaan Sabah untuk menyelamatkan ratusan ribu pekerjaan dan ribuan bisnes rakyat Sabah yang sedang menghadapi cabaran kerana Covid-19, kerajaan Sabah tidak sepatutnya mengumumkan projek mega jangka panjang yang akhirnya hanya akan memberi keuntungan kepada syarikat besar dan orang kaya yang mampu membeli hartanah projek tersebut.
“Lagipun industri pelancongan sedang berdepan keadaan hidup mati akibat Covid-19 dan semua negara mengakui industri ini akan tertekan walaupun selepas Covid-19 reda.
“Semua orang maklum penyakit seperi Covid-19 ini akan mengubah landskap ekonomi dunia menjadi tidak menentu.”
Beliau turut mempersoalkan jika kajian alam sekitar sudah dijalankan dan kerajaan negeri sudah berbincang dengan penduduk di Kampung Meruntum berhubung pembangunan projek mega itu.
Beliau juga bimbang dengan faktor keselamatan dan kebolehpasaran projek itu yang terletak di laluan penerbangan Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak mewajibkan pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan projek itu kerana ramai penduduk kampung yang akan kehilangan tempat tinggal nanti.
“Kerajaan negeri harus menjelaskan sama ada Tegas Bangsa Sdn Bhd ada meminta kerajaan membina infrastruktur seperti jalan dan laluan masuk serta sekitar projek itu yang mungkin menelan belanja ratusan juta, dengan alasan kerja pembinaan infrastruktur itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri.”
Rahman berkata, ini bukan masanya bagi Yayasan Sabah terbabit dalam projek mega itu kerana ia sedang berdepan masalah kewangan untuk membayar gaji kakitangan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF).
Beliau turut menuntut Yayasan Sabah mendedahkan butiran dan sebab perjanjian projek itu diluluskan.
Dalam memo bertarikh 15 Jun lalu, Naib Canselor UCSF, Mohamed Haleem Mohamed Razi dilaporkan meminta 200 kakitangan USCF menerima pemotongan gaji sebanyak 50% susulan masalah kewangan yang dihadapinya akibat pengambilan pelajar baru yang rendah pada April lalu.
Beliau turut memberi bayangan kemungkinan kakitangan bercuti tanpa gaji mulai Oktober ini, jika kedudukan kewangan kolej tidak bertambah baik selepas pengambilan pelajar pada September ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/projek-mega-rm7-bilion-di-pesisir.html