Program Food Bank Siswa Bantu Mahasiswa Memerlukan Untuk Mendapatkan Bekalan Makanan
Program Food Bank Siswa Bantu Mahasiswa Memerlukan Untuk Mendapatkan Bekalan Makanan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Sekretariat Food Bank Malaysia telah melaksanakan program Food Bank Siswa dalam usaha membantu mahasiswa mendapatkan bekalan makanan.
Melalui program Food Bank Malaysia, antara matlamat utama program ini adalah melibatkan komponen penyelamatan makanan (food rescue) dan lebihan makanan (food surplus) untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Melalui program Food Bank Siswa yang diselaraskan oleh KPDN sejak 2019, sebanyak 32 institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara terlibat merangkumi IPT awam dan swasta, Insitut Pendidikan Guru (IPG) dan Politeknik.
Daripada jumlah tersebut, 5 IPT merupakan IPT dari negeri Melaka. Program Food Bank Siswa dilaksanakan melalui kerjasama KPDN dengan pelbagai rakan strategik seperti pihak pengurusan universiti dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS), pihak industri serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2019 sehingga 31 Oktober 2025, Food Bank Siswa ini telah menerima sumbangan daripada 148 entiti seperti pemain industri pembuatan dan pengeluaran makanan, peruncit, rangkaian hotel dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah memberi manfaat kepada 51,200 mahasiswa yang memerlukan.
Dalam masa yang sama, KPDN juga akan memperkukuh peranan GPS sebagai salah satu pemegang taruh dalam menggerakkan kefungsian KPDN, iaitu agenda menangani isu kos sara hidup.
Antaranya, KPDN akan melibatkan GPS dalam membantu menggerakkan program Food Bank Siswa di IPT, terutamanya di IPT-IPT yang masih belum mempunyai Program Food Bank Siswa.
Sebagai rakan strategik yang mewakili golongan mahasiswa, KPDN berharap penglibatan GPS dalam program Food Bank Siswa diperkukuhkan pada masa hadapan.
Setakat ini, terdapat 195 GPS melibatkan IPT awam dan swasta, Kolej Universiti, Kolej Komuniti dan Insititut Pendidikan Guru. Selain berperanan dalam aspek konsumerisme, GPS akan memainkan peranan lebih aktif untuk menggerakkan Program Food Bank Siswa.
Pada 8 dan 9 Disember 2025 lalu, KPDN telah menganjurkan Konvensyen Food Bank Malaysia 2025 bertempat di Bangi, Selangor. Hasil dapatan atau resolusi daripada konvensyen tersebut akan dijadikan input oleh KPDN bagi menyediakan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026–2030.
Selain komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pelan ini merupakan transformasi Program Food Bank Malaysia sebagai salah satu strategi menggerakkan Tonggak Keempat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), iaitu Mempertingkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam Sekitar.
The post Program Food Bank Siswa Bantu Mahasiswa Memerlukan Untuk Mendapatkan Bekalan Makanan appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/12/program-food-bank-siswa-bantu-mahasiswa-memerlukan-untuk-mendapatkan-bekalan-makanan/