Probiotik Untuk Apa Jenis Manfaat Kesihatan
Probiotik Untuk Apa? Bagi anda yang sering tertanya-tanya probiotik ini apa sebenarnya? dan bagaimana cara pengambilannya?
Berikut kami kongsikan serba sedikit penerangan berkenaan apa itu probiotik dan manfaatnya kepada tubuh kita. Pastikan anda bersama kami sehingga ke penghujung artikel ini untuk ketahui dengan lebih mendalam lagi.
Apa itu Probiotik?
Untuk pengetahuan anda, probiotik merupakan sejenis mikroorganisma hidup (bakteria baik) yang mampu memberikan manfaat kesihatan terutamanya kepada bahagian usus manusia, apabila di ambil dalam kuantiti yang sepatutnya.
Usus merupakan organ penting dalam sistem penghadaman manusia. Pelbagai masalah berkaitan usus boleh berlaku jika kesihatan usus tidak dijaga. Pengambilan probiotik yang mencukupi dapat membantu dalam menangani dan mengurangkan risiko masalah ini.
Kebiasaannya, mikroorganisma ini hidup secara semula jadi dalam sistem pencernaan, terutamanya di usus. Mereka membantu mengekalkan keseimbangan mikroflora usus, menghalang pertumbuhan bakteria berbahaya, serta menyokong sistem pertahanan badan.
Mikroorganisma ini, yang juga boleh terjadi daripada yis, selalunya boleh ditemui dalam makanan yang difermentasikan, ditambah ke dalam sesetengah produk makanan, dan tersedia sebagai suplemen diet. Walau bagaimanapun, tidak semua makanan dan suplemen diet yang berlabel probiotik mempunyai manfaat kesihatan yang terbukti.

Jenis Probiotik
Untuk pengetahuan anda, mikroorganisma baik ini terdapat tiga jenis iaitu:
Lactobacillus
Lactobacillus merupakan salah satu probiotik yang paling biasa dijumpai dalam produk tenusu seperti yogurt dan makanan fermentasi lain. Mikroorganisma jenis ini membantu dalam:
Merawat cirit-birit sama ada yang berlaku akibat jangkitan dan membantu individu yang mengalami intoleransi laktosa, iaitu ketidakmampuan untuk mencerna gula dalam susu dengan baik.
Bifidobacterium
Bifidobacterium terdapat dalam beberapa produk tenusu seperti yogurt dan susu fermentasi. Ia bermanfaat untuk:
Melegakan simptom-simptom sindrom usus merengsa (Irritable Bowel Syndrome, IBS), seperti kembung dan ketidakselesaan perut. Ia juga boleh membantu dalam pengurusan beberapa masalah pencernaan lain.
Saccharomyces boulardii
Saccharomyces boulardii adalah sejenis yis (yeast) yang digunakan sebagai probiotik dan bukan bakteria. Ia memberikan manfaat seperti:
Membantu melawan cirit-birit, terutamanya yang berlaku akibat jangkitan dan menyokong kesihatan sistem pencernaan secara amnya.
Probiotik Untuk Apa? – Manfaat dan Kelebihannya
Bagi anda yang sering tertanya-tanya probiotik ini untuk apa? Berikut kami senaraikan beberapa manfaat dan kelebihan probiotik ini:
Memperbaiki sistem pencernaan
Membantu mengatasi cirit birit , sembelit, dan sindrom iritasi usus.
Menguatkan sistem imun tubuh.
Probiotik merangsang pengeluaran antibodi dan mencegah jangkitan
Membantu individu yang mengalami intoleransi laktosa
Probiotik membantu individu yang mengalami intoleransi laktosa menghadam produk tenusu dengan lebih baik.
Mengurangkan risiko alahan dan keradangan dalam badan.
Sesetengah probiotik dapat membantu mengurangkan keradangan yang boleh mencetuskan penyakit kronik seperti radang usus
Menyokong kesihatan mental melalui hubungan usus dan otak (gut-brain axis).
Probiotik dikatakan dapat membantu meningkatkan tahap hormon gembira (serotonin) dan mengurangkan kebimbangan
Mencegah jangkitan yis dan vagina.
Probiotik boleh mencegah ketidakseimbangan flora vagina yang menyebabkan jangkitan yis dalam kalangan wanita

Waktu Terbaik Mengambil Probiotik
Bagi anda yang baru sahaja ingin mula mengambil probiotik ini, anda disarankan untuk mengambilnya ketika perut kosong, iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur.
Hal ini demikian kerana semasa perut kosong pada waktu pagi ia dapat membantu bakteria probiotik untuk lebih mudah melekat pada dinding usus dan berinteraksi dengan sistem pencernaan dan seterusnya meningkatkan keberkesanan.
Makan sebelum tidur juga sangat digalakkan kerana, semasa tidur, sistem pencernaan akan lebih perlahan, memberikan masa yang lebih baik untuk bakteria probiotik membiak dan membaiki flora usus.
Sumber: Dr. Zubaidi Haji Ahmad
Makanan Tinggi Probiotik
Probiotik boleh didapati secara semula jadi dalam beberapa jenis makanan yang diperam, antara makanan tradisional Malaysia yang kaya dengan probiotik adalah:
Tempe: Produk fermentasi kacang soya yang kaya dengan bakteria baik. Biasanya dimasak dengan cara tertentu agar mikroorganisma berbahaya pada permukaannya dapat dikurangkan tanpa membunuh probiotik yang bermanfaat.
Tempoyak: Isi durian yang difermentasi dengan garam dan disimpan pada suhu bilik selama beberapa hari. Tempoyak mengandungi kultur bakteria baik yang baik untuk pencernaan.
Tapai: Makanan fermentasi dari ubi, keledek, atau pulut yang mengandungi probiotik serta dapat meningkatkan sistem imun dan membantu pencernaan.
Acar Timun/ Jeruk: Sayuran yang difermentasi dengan garam dan air, mengandungi probiotik dan vitamin K.
Budu: Produk fermentasi ikan yang kaya dengan probiotik, asid amino, dan antioksidan.

Makanan-makanan ini membantu mengekalkan dan menyokong kesihatan pencernaan serta imun badan. Selain makanan di atas anda juga boleh mendapatkan manfaat probiotik ini daripada makanan-makanan berikut:
Kombucha : teh fermentasi yang semakin popular.
Yogurt: mengandungi bakteria baik seperti Lactobacillus dan Bifidobacterium.
Kefir: minuman susu fermentasi yang kaya probiotik.
Kimchi: sayur-sayuran Korea yang diperam.
Miso dan natto: produk kekacang yang telah difermentasi daripada Jepun.

Anda juga boleh dapatkan probiotik ini dalam bentuk suplemen. Untuk mengetahui lebih lagi baca artikel kami yang bertajuk: 10 Probiotik Terbaik Untuk Kesihatan Usus (2025)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/probiotik-untuk-apa/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=probiotik-untuk-apa